Kata-kata perangsang buat bekas penagih dadah

Video CNB terbitan BH disambut baik

DUA video terbitan Berita Harian (BH) yang disokong Biro Narkotik Pusat (CNB) mendapat sambutan positif penonton.

Berjudul Pengakuan Bekas Penagih Dadah, ia dimuatnaikkan ke laman bh.sg dan Facebook Berita Harian Singapura hujung minggu lalu.

Video tersebut membongkar kisah dua bekas pesalah - Encik Ramli Abdullah, 45 tahun, dan Cik Norli Ismail, 41 tahun.

Dalam video pengakuan Cik Norli, beliau berkongsi bagaimana beliau tidak dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu kerana terlalu khayal memburu dadah.

Ramai penonton mengucapkan tahniah dan amat bersyukur kerana Cik Norli berjaya pulang ke pangkal jalan.

"Saya tumpang gembira bahawa awak (kembali) ke pangkal jalan... anak-anak sentiasa ingin awak di sisi. Semoga awak tabah menghadapi dugaan hidup. Syabas," kata seorang penonton, Cik Junainah Juna yang menulis dalam komennya di Facebook.

Video selama tiga minit itu ditonton 6,800 kali dan dikongsi 164 kali sejauh ini.

Dalam video tersebut, Cik Norli berkongsi beliau mula terjebak dalam penyalahgunaan dadah seawal usia 13 tahun selepas kematian ibunya.

Beliau keluar masuk penjara lima kali hinggakan tidak dapat menjaga keperluan anak-anaknya.

Pada 2012, anak bongsunya terlantar di hospital kerana demam panas.

Detik itulah yang membuat Cik Norli bertekad untuk berubah.

Apatah lagi apabila mendapat tahu bahawa anak sulungnya tidak dapat menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) kerana terpaksa menjaga adik-adiknya.

Cik Norli sendiri telah memberi komen pada video tersebut untuk mengucap terima kasih.

"Terima kasih atas kata-kata sokongan, saya amat menghargainya," katanya.

Dalam video Encik Ramli pula, beliau berkongsi bagaimana ibunya yang menjadi tunggak dalam perjalanan perubahannya.

Ramai penonton yang mengucapkan tahniah dan bersyukur bahawa Encik Ramli sudah pun berubah.

"Syukur... Selamat maju jaya. Saya gembira untuk anda," tulis seorang lagi penonton, Cik Suriah Atan, yang juga memberikan komen di dalam Facebook.

Dalam video yang ditonton 7,700 kali dan dikongsi 170 kali itu, Encik Ramli memberitahu bahawa beliau telah mula menyalahguna dadah pada usia 12 tahun.

Beliau dimasukkan ke penjara tujuh kali.

Semasa di penjara, tidak seorang rakan pun yang menjenguknya.

Ibunya, Cik Norfitri Amat Tamil, 75 tahun, sering menjenguknya di penjara walaupun keadaan Cik Norfitri tidak begitu sihat.

Encik Ramli mengaku beliau banyak buat salah terhadap ibunya seperti mencuri wang dan telefon bimbit ibunya apabila beliau masih seorang penagih dadah.

Pada 2013, beliau sedar kesilapannya dan bertekad untuk berubah dan membuat ibunya bangga.

Kini, beliau sudah bebas dadah selama enam tahun dan kembali ke Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah) sebagai pegawai operasi.

Beliau membimbing bekas pesalah dadah dan menubuhkan kumpulan sokongan yang dipanggil Reforming Support Group (RSG) atau Kumpulan Sokongan Perubahan.

Kumpulan yang dianggotai bekas pesalah dadah berkumpul memberi bantuan kepada masyarakat dan keluarga penagih dadah yang lain.

Encik Ramli ingin orang ramai untuk menghentikan stigma yang sering dikaitkan dengan penagih dadah.

Beliau menasihati anak muda di luar sana agar tidak terjebak dengan gejala dadah kerana ia memusnahkan masa depan dan kehidupan seseorang.