Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Keadaan disleksia anak kian baik selepas jalani program bantuan awal

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Keadaan disleksia anak kian baik selepas jalani program bantuan awal

Mar 14, 2018 | 05:30 AM



BILAL Nasrallah Naina Mohamed, enam tahun, dikesan mengalami disleksia sejak dua tahun lalu.



Pada ketika itu ibunya, Cik Bibi Zulaikha Md Zubaid, mendapati anak keduanya itu sukar membaca dan menulis.



Ini meskipun Bilal tiada masalah dengan pertuturannya.



"Saya lihat perkembangannya yang agak perlahan semasa menulis dan membaca, berbanding kanak-kanak sebayanya.



"Dia tidak dapat membaca dengan jelas atau menulis dengan baik, meskipun tiada masalah bertutur.



"Itu buat saya rasa prihatin, langsung saya bawanya ke hospital buat pemeriksaan lanjut," kata ibu tunggal dua anak itu lagi.



Semasa di hospital, doktor mengesahkan bahawa anak lelakinya itu mengalami disleksia.



Punca disleksia tidak dapat dipastikan.



Namun, kajian menunjukkan bahawa ia mungkin ada kaitan dengan perbezaan saraf yang wujud dalam keluarga.



Perbezaan itu menjejas kemampuan memproses bunyi berkaitan huruf yang kemudian menjejas pula kemampuan membaca, menulis dan mengeja.



Mereka yang menghadapi disleksia mempunyai kesukaran dalam aspek menggabungkan perkataan bagi menulis, membaca dan bertutur.



Bilal kemudian dirujuk kepada Persatuan Disleksia Singapura (DAS) di mana dia menjalani program seperti mempertingkat kemahiran membaca, dan menulis - seminggu sekali selama dua jam lamanya.



Sesi dikendalikan pakar yang mahir dalam isu berkaitan disleksia.



Selain itu, Bilal, yang kini bersekolah di sebuah tadika, juga menjalani program bantuan awal yang mengukuhkan pula kemahiran motornya, kendalian sebuah lagi pertubuhan kebajikan berasingan.



Selepas hampir dua tahun, Cik Bibi Zulaikha, 42 tahun, mendapati terdapat perkembangan dari sudut bacaan fonik dan penulisan anak keduanya itu.



"Kalau dulu dia akan memekik sahaja dalam usaha menarik perhatian atau menyampaikan sesuatu tapi kini dia lebih tenang.



"Dia tahu bagaimana untuk luahkan perasaannya dengan lebih baik," kata suri rumah itu lagi.



Mujur bagi Cik Bibi Zulaikha, program yang dihadiri mendapat subsidi sepenuhnya.



Anak sulungnya, Fatimah Amir Naina Mohamed, 11 tahun, tidak mengalami disleksia.



Namun, Cik Bibi Zulaikha mengakui dirinya dahulu hanya mulai membaca semasa dalam darjah tiga.



"Masa itu, saya tidak dibawa menjalani pemeriksaan, jadi tidak dapat disahkan sekiranya saya benar-benar mengalami disleksia juga," katanya.



Menurut DAS, sejak ditubuhkan pada 1991, pertubuhan itu telah membantu lebih 10,000 pelajar.



Kanak-kanak yang menghidap disleksia ini mempunyai latar belakang berbeza, termasuk dari sudut pendapatan keluarga.



Dalam e-melnya kepada wartawan, Pengarah Perkhidmatan Pendidikan Khusus, DAS, Encik Nor Ashraf Samsudin, berkata pihaknya mengesan perkembangan trend pelajar yang mendapat bantuan kewangan dari DAS bertambah daripada 30 peratus pada awal 2000, kepada 50 peratus pada masa ini.



Pada masa ini, beliau menganggarkan sekitar 3,500 pelajar yang berdaftar dengan DAS - terdiri daripada kanak-kanak prasekolah kepada mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi.



"Program yang dikhususkan bagi kanak-kanak prasekolah mengambil sehingga 300 pelajar.



"Kami menganggar sekitar 17 peratus daripada mereka adalah pelajar Melayu dan sekitar 90 peratus daripada pelajar Melayu ini menerima bantuan kewangan," ujarnya.



Perangkaan antarabangsa menyatakan terdapat sehingga 4 peratus daripada seluruh penduduk dunia yang akan mengalami disleksia yang memerlukan bantuan awal.



Malah, Encik Nor Ashraf mendapati terdapat semakin ramai pelajar yang dirujuk ke DAS bagi khidmat yang disediakan persatuan itu sejak beberapa tahun lalu atas sebab kesedaran yang bertambah di sekolah dan orang ramai.



Pelajar yang diletak di bawah Program Literasi Utama dan program Matematik.



"Kededuanya dianggap asas di sebalik kejayaan akademik di sekolah.



"Program prasekolah, dengan komponen utamanya merupakan literasi, mempunyai sekitar 300 pelajar setiap tahun," katanya.



Program tersebut, tambah beliau, dikendalikan pakar terapi dan psikologi pendidikan selain pakar pertuturan dan bahasa yang telah menjalani latihan menyeluruh dan dapat memenuhi keperluan seorang kanak-kanak disleksia.




"Program yang dikhususkan bagi kanak-kanak prasekolah mengambil sehingga 300 pelajar. Kami anggar sekitar 17 peratus daripada mereka adalah pelajar Melayu dan sekitar 90 peratus daripada pelajar Melayu ini menerima bantuan kewangan."
- Pengarah Perkhidmatan Pendidikan Khusus Persatuan Disleksia Singapura, Encik Nor Ashraf Samsudin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >