Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Kelakar 'Hantu Kak Limah' menjadi, tersisip unsur pengajaran umum

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ULASAN FILEM

Kelakar 'Hantu Kak Limah' menjadi, tersisip unsur pengajaran umum

Aug 21, 2018 | 05:30 AM



MEMANDANGKAN filem Hantu Kak Limah boleh disifatkan sebagai genre kelakar seram, kerisauan yang timbul di fikiran sebelum menonton filem ini ialah karya itu kelak membawa jalan cerita merapik lantas membuang masa.



Namun, jauh daripada tergolong dalam kategori filem 'kelakar bodoh' atau 'slapstick', yang membodoh-bodohkan watak dan penonton sekali gus, filem arahan Mamat Khalid itu akan membuat anda tidak henti-henti geli hati dan 'melekat' pada layar pawagam.



Hantu Kak Limah kesinambungan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.



Sejak ditayangkan di seluruh Malaysia pada 9 Ogos dan kini di Singapura, filem tersebut sudah berjaya mengutip lebih RM20.5 juta ($6.9 juta) dalam tempoh tayangan 11 hari.



Ini bermakna Hantu Kak Limah dinobatkan sebagai filem Malaysia dengan kutipan tertinggi bagi sesebuah filem tempatan.



Rekod itu pernah dipegang filem Abang Long Fadil 2, yang mengutip RM19.04 juta sepanjang tayangan 28 hari di Malaysia, Singapura dan Brunei.



Jalan cerita mudah dihadam walaupun anda tidak menonton dua filem terdahulu dalam siri ini.



Husin (lakonan Awie) pulang ke kampung setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia bekerja dengan sahabat karibnya Khuda (TJ Isa), Wani (Sharwani NS) dan Yeh Sekupang (Rab Khalid) di kilang arang. Janda yang berusia, Kak Limah (Delimawati), baru berkahwin dengan Khuda yang lebih muda. Usia perkahwinan baru seketika apabila Kak Limah ditemui mati dalam keadaan ngeri.



Sejak itu, bermacam peristiwa ngeri menghantui Kampung Pisang. Guru silat Solihin (Zul Ariffin) kemudian menjadi orang penting yang diamanahkan membantu penduduk yang tidak keruan dek kemunculan hantu Kak Limah.



Bagi penulis, daya tarikan filem ini terletak pada sulaman jalan ceritanya yang turut membentangkan kisah sampingan tentang dunia makhluk ghaib atau alam bunian.



Ini berlaku dek percintaan antara Husin dengan puteri bunian bernama Eton (Uqasha Senrose).



Kewujudan bunian juga membuka lipatan plot rahsia tentang siapa sebenarnya hantu dalam filem ini. Pendedahannya pasti mengejutkan.



Dimensi baru itu ibarat kisah dongeng yang membawa anda lari seketika daripada kecelaruan Kampung Pisang.



Pujian wajar diberi kepada semua pelakon yang menjayakan filem ini dengan berkesan.



Ropie Cecupak memulakan momentum lawak dalam filem ini selaku Nayan yang ditugaskan menjaga jenazah Mak Limah.



Alangkah terkejutnya Nayan apabila melihat jenazah Mak Limah terkulai layu kerana sebelum itu dia baru menumpangkan wanita mirip Kak Limah yang ditemui di sungai.



Dengan bahasa Inggeris berterabur dan kekerapan menyanyikan lagu iklan minuman jus Joy bagi menghilangkan tekanan, Ropie berjaya membuat ramai ketawa. Lebih-lebih lagi apabila hantu Mak Limah kerap mengusiknya dengan jelingan mengerikan.



Pelakon veteran Delimawati mungkin tidak banyak dialog. Namun, beliau sebagai Mak Limah, si hantu kelakar seram berambut gerbu persis rambut kembang Beyonce, berkesan membuat penonton ketawa terbahak-bahak.



Mamat Khalid banyak menyisipkan pengamatan sosial. Menerusi watak bekas ketua kampung yang gila kuasa, kita selami dunia kepimpinan yang kerapkali goyah kerana pemimpin yang hanya mempercayai dirinya sahaja, mementingkan kepopularan dan bukan kebajikan penduduk.



Ada juga kisah Solihin, guru 'serba tahu' tetapi sebenarnya gagal selesaikan masalah. Akhirnya, dia tetap memerlukan sokongan orang.



Sebagai bonus, anda disajikan lagu nostalgia Black Dog Bone Hati Ku Luka serta kehadiran jelitawan Erra Fazira dan usahawan Datuk Seri Vida dalam filem.



Ingin tahu mengapa dan bagaimana unsur tersebut diselitkan dalam Hantu Kak Limah? Saksikan filem ini di pawagam Cathay serata Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >