Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Ketulusan, keperkasaan raja rimba serlah The Lion King

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ULASAN FILEM

Ketulusan, keperkasaan raja rimba serlah The Lion King

Jalan cerita penuh nilai kemanusiaan, masih setia pada kisah asal yang membuat peminat animasi Disney terpegun
Jul 18, 2019 | 05:30 AM



BIAR berpuluh kali menonton kisah The Lion King, baik dalam versi animasi, muzikal Broadway mahupun animasi komputer fotorealistik, diri ini tidak mudah jenuh.



Malah, ketika menyaksikan filem perjuangan si anak singa Simba menjadi Raja Belantara itu dalam sesi pratonton media, Isnin lalu, bagaikan ada dimensi baru yang diteroka.



Sekilas pandang, terasa ibarat berada dalam set dokumentari hidupan liar Our Planet dan The Living Planet, arahan sutradara terkenal, Richard Attenborough.



Animasi komputer yang digunakan bagi filem arahan Jon Favreau itu begitu realistik sehingga kesannya membuatkan beberapa kanak-kanak dalam pawagam tersenyum riang ibarat berada di taman safari.



Paparan singa mengaum, burung berterbangan, kera terpacak di atas gunung batu-batan dan dubuk ketawa mengilai dengan renungan mata menggerunkan membawa anda lari daripada stres tinggal di hutan batu.



Jalan cerita The Lion King (Versi 2019) yang penuh nilai-nilai kemanusiaan (walau berkisah tentang binatang) ini tidak diubah. Ia masih setia pada kisah asal yang membuatkan lautan peminat animasi Disney terpegun menyaksikannya di pawagam.



Filem animasi awal dihasilkan pada 1994 dengan versi pentasnya menjelajah dunia dengan prop raksasa dan barisan pelakon yang mengagumkan.



Kisah Simba yang mengagung-agungkan bapanya, Mufasa, yang memerintah di rimba menghijau menjadi sandaran.



Simba ingin mengambil-alih amanah bapanya sebagai Raja Rimba.



Namun, dia dihalang oleh pak ciknya, Scar yang gila kuasa dan iri hati terhadapnya.



Scar bersama sekawan dubuk bersekongkol bagi merancang kematian Mufasa. Dia mendakwa Simba membunuh bapanya dalam satu rempuhan yang tiba-tiba berlaku apabila anak singa yang suka merayap itu merayau tanpa pengetahuan bapanya.



Kerana dipaksa meninggalkan rimba tersebut, Simba mencari haluannya sendiri. Dia hanya kembali setelah bertemu kawan-kawan sejati, Timon dan Pumbaa serta cinta hati yang merupakan teman bermainnya, Nala.



Secara peribadi, setiap kali menonton The Lion King, setiap kali itu saya cuba mengupasnya dalam konteks kehidupan bermasyarakat.



Dalam kehidupan seharian, kita akan ketemu kisah si bapa penyayang yang menjadi sumber inspirasi kepada anaknya.



Dia baik hati malah tidak berburuk sangka dengan adiknya yang gila kuasa.



Air dicencang takkan putus. Namun, kerana rebutkan kuasa, adik-beradik boleh bertelagah.



Jalan mencapai jaya bagi si anak singa yang belajar erti ketulusan bersahabat hanya dapat dilalui kalau ada kawan-kawan sehati sejiwa.



Simba menemui haiwan kecil pengorek lubang, Timon dan babi hutan, Pumbaa yang lucu tetapi sedia membantu.



Bagaimana pula dengan teman lama yang sudah mengetahui peribadi Simba seperti Nala?



Nala adalah lambang kewanitaan yang berani kerana benar dan memperjuangkan haknya sebagai penduduk rimba yang diancam bahaya kerana kekejaman Scar.



Semangat setiakawan menjadi teras filem ini juga, sesuatu yang baik dihargai anak-anak ketika menonton filem ini.



Berbanding Simba dan rakan-rakannya, Scar pula jenis kawan yang berani 'makan kawan' hanya bagi menyelamatkan dirinya sendiri. Jasa si dubuk pada misinya boleh dilupakan tetapi situasi itu bak buku bertemu dengan ruas. Dubuk pun boleh membalas dendam dan memainkannya semula.



Selebihnya, The Lion King juga sarat dengan lagu pembina semangat yang menyegarkan.



Selain lagu-lagu dari runut bunyi asal, Circle of Life dan Can You Feel The Love Tonight yang menjadi malar segar dalam tempoh 25 tahun animasi awal dihasilkan, anda juga boleh dengar lagu baru Spirit oleh jelitawan Beyonce, yang meniup semangat baru.



Esok, Beyonce malah menghadiahkan peminatnya dengan album berasingan, The Lion King: The Gift, yang boleh dimuatturunkan dari gedung digital.



Ia dihasilkan setelah Beyonce meraih inspirasi daripada terlibat dalam projek besar Disney itu.



Kalau inginkan santapan halwa telinga dan sajian filem pencetus inspirasi, The Lion King 2019, tetap pilihan terbaik meskipun tidak banyak yang dibentangkan tentang kisah cinta Simba dan Nala buat si jiwa romantik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >