Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Khadijah Ibrahim 'takut' kali pertama temu Ramli

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Khadijah Ibrahim 'takut' kali pertama temu Ramli

Aug 12, 2018 | 05:30 AM



SEKILAS diminta menjelaskan pengamatan peribadinya tentang Datuk Ramli Sarip kali pertama mereka bertemu, Datuk Khadijah Ibrahim dengan bersahaja berkata:



"Dia lelaki gila-gila!"



Beliau malah berkongsi kisah bahawa dirinya begitu takut untuk bersua dengan pemuzik rok berambut panjang itu.



Mereka bertentang mata buat pertama kali ketika Sweet Charity menjadi artis jemputan di konsert Datuk Khadijah di Stadium Negara (Malaysia) sekitar 1978.



"Saya tertanya-tanya siapakah band rok dari Singapura ni... siapa vokalisnya? Kita berada di bawah label rakaman yang sama tapi tak pernah bersua sebab mereka di Singapura, saya di Malaysia.



"Terperanjat betul apabila saya jumpa Abang Ramli. Rambutnya panjang. Dia pakai seluar ketat persis bintang rok di Barat!



"Saya tengok pun takut dan menyorok di belakang ibu saya. Maklumlah saya masih remaja belasan tahun ketika itu.



"Di fikiran saya, mesti mat rok ni ganas dan garang, melihat pada gaya mereka dan muzik mereka. Saya tidak pernah terdedah kepada muzik sebegitu.



"Tapi apabila dengar dia nyanyi, memang bertenaga. Apabila berbual dengannya dan lama-kelamaan mengenalinya, saya senang dan selesa berbual dengannya.



"Orangnya gemar berbual tentang isu semasa, agama dan muzik. Pengetahuannya banyak sebab dia suka membaca. Kami malah bertukar-tukar buku yang membuka minda. Saya orangnya lebih mudah menghadam daripada pendengaran. Ilmunya itulah yang membuatnya benar-benar penghibur legenda," cerita Khadijah, 58 tahun.



Mereka juga paling seronok berkongsi maklumat tentang tempat makan paling sedap untuk dikunjungi. Beliau malah tahu kegemaran Ramli iaitu nasi goreng kampung, sambal belacan dan ikan kembung.



Buatnya, Ramli adalah rakan duet paling senang diajak berunding.



"Kami tidak merasakan diri kami masing-masing adalah bintang. Tak ada isu siapa lebih bagus sebab kededuanya ingin berikan yang terbaik dalam setiap persembahan," ujar Khadijah.



Banyak kenangan manis yang melucukan dan masih terpahat di ingatan beliau apabila menyentuh tentang pengalaman berduet dengan Papa Rok.



"Saya masih ingat ketika kami merakam klip video Doa Buat Kekasih di Kampung Janda Baik di Pahang.



"Abang Ramli pakai kain, saya pakai baju kurung dan sempat ikat rambut tocang dua. Kami bukan kaki motosikal. Apabila disuruh naik motosikal, Abang Ramli teruskan sahaja dengan saya memboncengnya.



"Tahu-tahu, motosikal laju turun bukit! Saya dahlah takut, bimbang kalau tercampak dari motosikal dan muka tersembam ke bumi. Habislah muka calar-balar nanti.



"Justeru, kalau anda lihat keadaan saya ketika itu, memang nampak macam manja di belakangnya. Konon tutup muka malu-malu tetapi sebenarnya ketakutan!" selorohnya.



Khadijah masih ingat tempoh kededuanya bagaikan 'merajuk' seketika - Ramli kerana tidak boleh muncul di kaca televisyen Malaysia kerana berambut panjang dan dirinya pula bertukar angin ke Christchurch di New Zealand bagi membuka restoran makanan Melayu di situ.



"Detik itu, kami masing-masing perlu fikirkan sejenak langkah selanjutnya. Tapi merajuk-rajuk pun, lagu tetap laris dan diterima baik," katanya lagi.



Mengenai album Inggeris yang dihasilkan, Khadijah menjelaskan wujud permintaan bagi penyanyi Melayu pada ketika itu menghasilkan lagu Inggeris buat pendengar dalam masyarakat majmuk.



"Alhamdulillah, lagu-lagu Inggeris saya pun diterima baik oleh pendengar bukan Melayu. Saya malah berkesempatan bersama bintang Amerika bersuara emas, Roberta Flack (penyanyi lagu Killing Me Softly With His Song).



"Beliau suka lagu Inggeris saya, Everyday Girl. Dalam konsert akan datang, saya akan menyanyikan lagu itu. Mudah-mudahan konsert ini akan jadi nostalgia buat ramai dan juga bagi anak muda, ruang belajar daripada perjalanan saya dan Abang Ramli," katanya lagi.



Khadijah lahir daripada keluarga seni. Bapa saudaranya, Hussein Abu Hassan, adalah pelakon manakala kakak dan abangnya, Sophia Ibrahim dan Latif Ibrahim, pula penyanyi dan pelakon.



Kerana seni begitu menebal dalam dirinya, beliau sentiasa terbuka membimbing generasi penyanyi pelapis ataupun mereka yang sudah lama menyepikan diri.



"Saya bersyukur ada program seperti Gegar Vaganza. Tengok Siti Nordiana. Tamat sahaja program dan bergelar juara, dapat tawaran menyanyi, berlakon dan mengacara. Aishah yang dah lama tak muncul pun masih bertenaga. Saya suka lihat perkembangan positif sebegini.



"Saya mungkin mengulas secara bertapis di dalam program televisyen itu tetapi di balik pentas, saya selalu berikan teguran membina, mana aspek yang perlu mereka perbaiki," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >