Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Bukan Padang jarak padang tekukur

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bukan Padang jarak padang tekukur

Feb 26, 2018 | 05:30 AM



KEDENGARAN alunan bacaan ayat suci Al-Quran dari masjid berhampiran membuat saya tersedar daripada lena di Aie Angek Cottage, Bukit Tinggi, Indonesia.



Waktu menunjukkan beberapa minit sebelum 5 pagi - masih belum masuk waktu subuh.



Saya buat keputusan keluar dari bilik hotel untuk menikmati suasana sebelum orang lain memulakan hari mereka.



Angin dingin dan embun pagi menjadi teman sambil saya menghirup udara segar.



Suhu 14 darjah Celsius pagi itu cukup nyaman.



Hotel terletak di cerun gunung - Gunung Singgalang di sebelah kanan, Gunung Merapi di sebelah kiri.



Kedua-duanya gunung berapi. Merapi masih aktif tetapi sebaliknya pula bagi Singgalang.



Selain gunung tersebut, kebun sayur menjadi sebahagian pemandangan.



Pengalaman itu permulaan yang baik bagi lawatan empat hari saya meneroka Padang, Indonesia.



Saya dan teman media lain pergi ke Padang menaiki pesawat AirAsia yang kini menawarkan penerbangan langsung ke Padang, Sumatera Barat.



Penerbangan kami tidak lama.



Dari Singapura ke Padang, penerbangan hanya mengambil masa sejam. Bukit Tinggi terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Padang.



INDAHNYA INDONESIA



Indonesia memiliki pemandangan alam menakjubkan dan Sumatera Barat tidak terkecuali.



Lembah Anai dan air terjunnya yang orang Padang panggil 'Aia Mancua Lembah Anai' di Sepuluh Koto cukup indah.



Setinggi 35 meter, air terjun itu menjadi tarikan pengunjung dari luar yang turut bermandi-manda di dasarnya.



Selain air terjun, sawah padi menghijau, gunung-ganang dililit awan serta kebun jagung, cili dan tomato menjadi santapan mata sepanjang perjalanan.



Sempat juga kami berhenti di Puncak Kawa di Pariangan untuk menikmati pemandangan sawah.



Warga Indonesia yang saya temui sepanjang empat hari di situ menambahkan kenangan manis di negara tersebut.



Saya perhatikan ciri wajah orang di Padang, bahasa daerah yang digunakan (bahasa Minang) serta perilaku mereka berbeza daripada warga kota lain seperti Jakarta atau Bali.



Namun, di situlah terletak indahnya Indonesia, yakni dalam kepelbagaiannya.



Perbezaan sedemikian memang dijangka daripada negara yang mempunyai lebih 300 kumpulan etnik dan 742 bahasa daerah serta loghat.



JEJAK WARISAN MINANGKABAU



Saya jenis pelancong yang suka mempelajari adat dan budaya penduduk tempat yang saya kunjungi.



Oleh sebab itu, saya begitu teruja mengunjungi Istano Basa Pagaruyung di Tanah Datar.



Seni bina 'istana' tersebut cukup menyerlah dengan keunikan tersendiri yang sinonim dengan masyarakat Minangkabau.



Dengan bentuk bumbung melengkung yang kelihatan seperti tanduk kerbau serta tiang senget yang menegakkan bangunan tersebut, Istano Basa Pagaruyung mesti dikunjungi jika ke Padang.



Tatkala melangkah masuk ke dalam istana, saya terhidu bau kayu meranti dan suri yang digunakan untuk membinanya.



Dalaman istana dipenuhi ukiran kayu cukup rumit, kain berwarna-warni yang mempunyai pengaruh India dan Arab serta cermin yang dipasang di siling semuanya menjadi bukti bahawa masyarakat Minang cukup terbuka menerima pengaruh budaya lain.



"Sesuatu budaya itu akan berkembang apabila terdapat interaksi dengan budaya lain," kata pemandu kami apabila saya menyuarakan pemerhatian.



"Cermin yang diintegrasikan dalam hiasan kami berasal dari budaya Cina. Bezanya, kalau orang Cina memasang cermin untuk menghalau roh jahat, orang Minang pula jadikan peringatan mencerminkan diri sendiri dulu sebelum mengata orang lain".



SESUAI SEBAGAI DESTINASI PERCUTIAN SINGKAT



Melebihi destinasi kunjungan bagi mempelajari budaya atau menikmati pemandangan alam, Sumatera Barat sesuai dikunjungi mereka yang mahu mengembara.



Kami sempat ke Lubuk Alung di Padang Pariaman untuk berakit redah jeram kelolaan L.A Rafting.



Bagi saya, pengalaman berakit di Bali lebih menarik mungkin kerana waktu itu saya melakukannya buat kali pertama.



Sungguhpun begitu, pemandangan di Lubuk Alung lebih hebat berbanding di Bali dan air sungainya juga lebih jernih.



Anda boleh juga singgah ke Pantai Air Manis untuk melihat batu Malin Kundang daripada legenda tidak asing lagi tentang anak derhaka itu.



MAKANAN



Antara makanan yang patut dicuba ialah bika, sejenis cemil-cemilan yang dibuat daripada kelapa dan gula lalu dibakar menggunakan kayu api.



Bika juga dikenali sebagai 'kuih neraka' disebabkan cara makanan itu dibakar. Pembuat membakar kayu api lalu memasak kuih antara api atas dan api bawah. Rasa bika seiras kuih gandus.



Jika tekak terasa kering dan teringin pencuci mulut dingin, pelancong boleh mengunjungi Es Durian Iko Gantinyo di Jalan Pulau Karam No. 9 di Kota Padang untuk menikmati segelas ais durian. Ais diparut ke dalam mangkuk, lalu ditambah sos, jagung, durian dan isi lain.



Semestinya, tidak sah ke Padang kalau tidak makan Nasi Padang. Nasi Padang di Padang berbeza daripada Nasi Padang di Singapura.



Bermacam lauk dihidangkan, kebanyakan agak pedas, tetapi semuanya enak belaka.



Sebahagian daripada lauk unik ialah gulai cancang atau gulai daging dan organ dalaman; dan dendeng batokok.



Kami berpeluang mengalami sendiri 'makan bajamba', iaitu cara makan tradisional orang Minang di Rumah Makan Sawah Laman, di Jalan Ahmad Yani No. 446 Pincuran VII.



Konsepnya seiras makan hidang, di mana kami makan beramai-ramai sambil duduk di lantai.



Yang tak dapat saya lupakan ialah rendang daging yang dihidangkan.



Sekali makan, terus tidak terkata. Rempah nan harum serta kelembutan daging lembu seolah-olah membawa saya ke alam lain. Memang tidak salah Padang terkenal dengan rendangnya.



Itulah rendang paling sedap yang pernah saya rasa seumur hidup. Rendang daging Hari Raya nenek saya pun kalah. Maaf, Nenek!



  • Penulis wartawan bebas. Lawatan penulis ke Padang baru-baru ini ditaja AirAsia.


JOM KE PADANG!



Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan penerbangan dari Terminal 4 Lapangan Terbang Changi langsung ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang, setiap hari dengan harga tiket serendah $49.



Maklumat lanjut boleh didapatkan dengan melayari laman airasia.com.




Kirim pengalaman melancong anda



ANDA mempunyai kisah serta foto menarik yang ingin dikongsi?



Halaman ini mengalu-alukan sumbangan sukarela anda.



Kirimkan pengalaman melancong atau lawatan anda ke luar negara dalam bentuk rencana ke e-mel bhgah@sph.com.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >