Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Konsert sorot laluan hidup, seni Rahimah

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Konsert sorot laluan hidup, seni Rahimah

Apr 17, 2019 | 05:30 AM



PERJALANAN hidup biduanita legenda Rahimah Rahim yang membesar dalam keluarga seni tidak sepi daripada jerih payah mahupun onak dan duri.



Di sebalik senyuman yang terukir di bibirnya mahupun gurauan yang secara bersahaja dilontarkan kepada sahabat handai mahupun peminatnya, pastinya ada kepiluan dan iktibar yang tersirat dalam lagu-lagunya.



Beliau menggagahi semuanya dan hari ini boleh disifatkan sebagai penyanyi Melayu setempat yang mampu mengharumkan nama Singapura di Nusantara mahupun ketika diundang bagi acara Hari Singapura di London.



Sabtu lalu, Rahimah, 63 tahun, membuktikan usia hanyalah angka apabila beliau muncul bertenaga di hadapan penonton bagi konsert Hidupku Seniku (My Life. My Art) di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.



Wang ringgit pula bukan menjadi keutamaan apabila beliau tampil menghiburkan orang ramai tanpa dibayar bagi konsert amal anjuran Giant Steps & Entertainment.



Konsert bagi mengumpulkan dana buat Persatuan Pandu Puteri Malaysia (Cawangan Perlis) itu diusahakan pasangan suami isteri, Datuk Mokhzani Ismail dan Tengku Datuk Shireen Tengku Suleiman.



Awal sebelum ini, satu konsert serupa diadakan di Esplanade, Singapura pada November 2017.



Dengan menampilkan adiknya Rozie Rahim dan bakat muda yang popular, Khai Bahar, konsert itu disifatkan sebagai satu kejayaan dek faktor hiburan yang disajikan.



Biduanita Salamiah Hassan dan pengacara serta pelawak Dee Dee pula hadir sebagai satu kejutan manakala peniup saksofon Jari pula memberi sentuhan magisnya dalam segmen pembuka tirai konsert.



Orkestra RTM yang mengiringinya pula menyuntikkan semangat gah dalam persembahan lagu malar segar yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.



Nostalgia mengisi ruang dewan apabila lagu-lagu era 1970-an berkumandang.



Beliau sering menyifatkan dirinya lebih sebagai penghibur dan bukan penyanyi.



Sebagai artis serba boleh, beliau turut mendendangkan lagu irama Melayu, Joget Si Mandi Mandi, lagu dengan sisipan bahasa Jepun, Choto Matte Kudasai (bermaksud Usah Ucapkan Selamat Tinggal), beberapa lagu Cina, lagu Inggeris dan lagu asal Tony Bennett, The Shadow of Your Smile.



Harapan seorang kekasih dalam lagu Cabaran Cinta menjadi santapan halwa telinga penonton.



Ini disusuli dengan lagu Semalam ciptaan rakan baiknya yang dipanggil 'boyfriend' dalam industri muzik, Fauzi Marzuki serta hasil tulisan lirik adiknya sendiri, Rahman Rahim.



Semanis-Manis Gula, Jika Begini, Masih Adakah Cinta, Cinta Mu dan Bebas - lagu-lagu yang kerap berkumandang di corong radio kemudian disajikan buat yang sudah lama merindukan suaranya.



Rahimah turut berduet dengan adiknya Rozie bagi beberapa lagu lain manakala Raja Smule, Khai pula meminjamkan vokal bertenaganya bagi lagu popular Hati Yang Rapuh bersama Rahimah.



Dua lagu wajib Rahimah, Doa serta Gadis Dan Bunga pula menyusuli, menyentuh jiwa dan sanubari mereka yang mendengar mahupun membawa kembali kenangan silam.



Sebagai seseorang yang menghargai teman yang banyak menyokongnya, Rahimah mengakhiri konsert ini dengan lagu tentang indahnya persahabatan, You've Got A Friend (dendangan asal James Taylor) dan That's What Friends Are For (Dionne Warwick).



Tiada yang dapat menafikan daya tarikan Rahimah yang mesra dengan panggilan 'Kak Gerl' sejurus beliau berada di pentas dan menguasainya penuh yakin.



Itulah erti kata seorang legenda mapan yang diharap dapat menyebar ilmu buat generasi penghibur muda.



Banyak pujian di media sosial yang diperolehinya daripada mereka yang datang pada malam itu.



"Rahimah Rahim kekal Rahimah Rahim 'superstar' yang pernah menawan rantau Asia malah pernah ke Eropah seangkatan dengan Kak Anita Sarawak dan Frances Yip.



"Saya perlu tabik 'spring' dengan daya tenaga beliau khususnya ketika menyanyi dan berkomunikasi.



"Demikianlah harga sebuah pengalaman dan bakat semula jadi anak Allahyarham Rahim Hamid (Nat King Cole Singapura) dan Seniwati Mariam.



"Jelas dialog dan usikan beliau persis penghibur zaman dahulu yang ingin dekat dengan penontonnya.



"Cara Rahimah imbas balik cerita peribadinya dengan mereka secara berseloroh dipanggil bekas 'skandalnya' serta kisah Fauzi Marzuki yang kuat merokok dalam studio begitu menghiburkan dan lucu," tulis pelukis yang ingin dikenali sebagai AbgSien Kedah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >