Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Kumpulan Qasidah turut serikan pesta muzik kerohanian di Esplanade

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kumpulan Qasidah turut serikan pesta muzik kerohanian di Esplanade

Apr 18, 2019 | 05:30 AM



BACAAN zikir dan selawat kedengaran syahdu berkumandang.



Saban minggu, kegiatan sebeginilah yang menjadi pencetus ketenangan buat Encik Muhammad Noorfathie Muhammad Sanusi, 30 tahun, dan tiga adiknya.



Mereka merupakan antara anggota Kumpulan Qasidah Al Khidmah yang bakal terlibat dalam pesta muzik kerohanian, A Tapestry of Sacred Music, anjuran pusat seni Esplanade mulai hari ini hingga Ahad.



Ini merupakan edisi ke-11 pesta yang menyatukan kumpulan seni daripada berbilang agama dan ideologi di bawah satu bumbung.



Ia dilancarkan pada 2009 bagi membolehkan semua orang mengalami sendiri keindahan ekspresi penduduk berbilang budaya dari serata dunia.



Pengatur program The Esplanade, Encik Tan Xiang Hui, berkata:



"Anda berpeluang melihat dan merasakan kegembiraan dan kepiluan, kehitaman dan cahaya serta lambangan si baik menentang si kejam dalam pelbagai persembahan yang disajikan.



"Buat kali pertama, Dewan Konsert Esplanade juga akan menampilkan persembahan seni dengan hanya bunyian berkumandang dalam suasana serba kegelapan."



Semasa dihubungi, Encik Muhammad Noorfathie menjelaskan:



"Saya dan tiga beradik lelaki saya terdedah pada pergerakan kumpulan qasidah ini kerana ibu bapa kami adalah anggota jemaah Al Khidmah. Kami dibawa ke upacara cukur rambut dan majlis kahwin di mana bacaan selawat dan zikir kedengaran.



"Dari situ, kami berusaha mengembangkan qasidah dalam kalangan anak muda. Alhamdulillah, kebanyakan anggota kumpulan ini terdiri daripada belia di bawah usia 25 tahun.



"Mereka begitu bersemangat mengamatinya dan mendapat iktibar daripada terlibat dalam undangan mingguan ke majlis cukur rambut, keagamaan atau majlis perkahwinan. Kami pun sering mengalu-alukan anggota baru dalam kalangan generasi muda yang boleh diajak ke arah kebaikan."



Kumpulan ini akan menyerikan persembahan Qasidah: Poems of Praise di Teater Luar Esplanade pada 8.15 malam ini, 8.30 malam di ruang legar Esplanade esok dan 9 malam lusa.



Dalam pada itu, satu persembahan kompang jidor yang unik dapat anda nikmati hari ini (7.45 malam) dan esok (9 malam) di halaman Esplanade sempena pesta ini.



Persembahan kompang besar yang dipanggil jidor oleh Persatuan Kompang Kampung Parit Madirono itu dibawakan khas daripada Pontian, Johor.



Satu sesi bengkel kompang jidor juga akan diadakan pada 2 petang lusa di Studio Latihan Esplanade.



Pengasas kumpulan, Allahyarham Selamat Ahmad, membangun kumpulan ini selama lima generasi.



Ia adalah satu-satunya kumpulan kompang di Johor yang membuat persembahan dengan 12 irama kompang yang berpanca diiringi dengan bacaan selawat daripada Kitab Berzanji dari abad ke-18.



Kumpulan yang menyertai beberapa peraduan kompang peringkat negeri kini dipimpin Encik Mahni Jais dengan badan budaya, Pusaka (Malaysia), membantu mempromosikan kumpulan ini termasuk ke Singapura.



Cik Pauline Fan, pengurus projek Pusaka, memberitahu:



"Kumpulan ini lama bertahan dengan 12 rentak yang diperjuangkan termasuk jidor, babon, banggen, nelon, ngelimo, ngorapati, anak babon, paron, ngapati, ngentong, nyalahi dan nyelangi. Ia merupakan satu unsur paluan tradisi daripada Jawa."



Dalam pada itu, bayangkan suasananya apabila puak Bunun di Taiwan yang biasanya memburu sambil menyanyi di kawasan pergunungan tampil di Singapura.



Pemain selo, Cik Annie Chang, yang membuat persembahan bersama mereka pada 6.45 petang di ruang legar Esplanade, Sabtu ini serta 9.20 malam di Teater Luar Esplanade pada Ahad ini, memberitahu penulis:



"Sebelum ini, saya bermain selo di konsert artis ternama. Kali ini, saya tertarik dengan usaha puak Bunun ini mengekalkan warisan mereka.



"Biasanya, mereka menyanyi sebagai satu unsur luahan hati tatkala mereka berjaya memburu atau ketika menuai tanaman yang subur. Ini juga satu tradisi lisan mereka dalam menggambarkan pengalaman yang bermakna," katanya lagi. HARYANI ISMAIL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >