Subuh
5:36
Syuruk
6:52
Zuhur
12:57
Asar
4:02
Maghrib
6:59
Isyak
8:07
Gaya Hidup

BAKAT SETEMPAT

Lagu 'Formula Ku' rumusan muzik eksperimental

Oct 17, 2019 | 05:30 AM

BAKAT muda Singapura, Mai Dhaniyah, yang sudah merakam tiga 'single' senangi pengalaman menyanyi secara akapela tanpa iringan alat muzik.

Bersama lima rakannya yang membentuk kumpulan The Vybes, lulusan kursus sebaran am dari Politeknik Republic (RP) ini sudah mengasah bakat ke peringkat pertandingan akapela nasional dan meraih tempat ketiga.

Dalam usaha menyebarkan keindahan muzik akapela kepada masyarakat Melayu, The Vybes turut dilibatkan dalam 'single' keempat dan terkininya, Formula Ku.

The Vybes yang ditubuhkan hampir tiga tahun lalu terdiri daripada lulusan RP, Muhammad Noor Haqim Tahir, 23 tahun; Nadia Asyikin Abdul Malik, 21 tahun; Muhammad Afiq Mohamed Khairani, 24 tahun, Yusuff Asyraff, 22 tahun dan Aimee Nur Sabrina Suhaimi, 23 tahun.

Ketika ditemui di pejabat Berita Harian baru-baru ini, Mai, 22 tahun, yang nama sebenarnya, Maisarah Dhaniyah Noorsham Affandi, berkata:

"Formula Ku adalah muzik eksperimental yang diusahakan penggubah lagu Faizal Sapuan yang juga pencipta lagu bagi dua 'single' Mai sebelum ini, Pasir Berbisik dan Kasih.

"Lagu ini menceritakan tentang bagaimana seseorang dapat bangkitkan diri daripada segala kesuraman kehidupan, misalnya, pertelingkahan dengan keluarga dan teman-teman.

"Namun, dalam setiap episod hitam, pasti ada huraian yang dapat diraih daripada formula mengekalkan kehidupan secara positif."

Unsur positif ini, ujar Mai, datang dalam bentuk semangat waja dan keceriaan sekumpulan anak muda milenial iaitu The Vybes yang memandang ke arah masa depan yang cerah.

Memberi penjelasan lanjut tentang usaha menyisipkan suara akapela The Vybes, Mai berkata:

"Muzik akapela mungkin belum lagi ditebar luas dalam masyarakat Melayu.

"Bagi saya, ia satu wadah menghiburkan lagi menekankan kesenian vokal itu sendiri dengan suara si penyanyi menjadi ibarat alat muzik.

"Tambahan pula, rakan-rakan saya dalam The Vybes adalah yang bersemangat positif. Kami sentiasa gembira dengan susah senang dihadapi bersama tanpa perselisihan faham.

"Memandangkan Abang Faizal juga adalah seseorang yang suka mencuba sesuatu yang baru, kami berbincang bagaimana ingin jadikan Formula Ku sebagai sesuatu karya seni yang menyerlah.

"Kami adunkan muzik, dendangan secara akapela dan lontaran lirik mengikut irama rap.

"Bagi saya, ia pembaharuan yang amat saya nanti-nantikan sebagai penyanyi muda."

Kerjasama padu bersama Faizal adalah sesuatu yang Mai senangi kerana beliau menyifatkan penggubah lagu itu sebagai seseorang yang mengenali warna suaranya.

"Beliau tahu apa yang Mai inginkan dalam sesebuah karya seni. Lebih penting lagi, Abang Faizal tahu kekuatan Mai," tambahnya.

Sebagai satu cara mengasah kemahiran menyanyi secara berharmoni, The Vybes yang menyertai acara seni Merdu, anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (NUS), melihat banyak peluang terbentang dalam memperkasa seni akapela.

"Alhamdulillah sejak ditubuhkan sekitar tiga tahun lalu, kami gembira menjana karya seni bersama.

"Merdu peluang kami memperhalusi kemahiran menghasilkan lagu Melayu.

"Walaupun belum sempat merakam dan menerbit lagu Singa yang kami cipta dengan pesanan positif buat belia, kami yakin menghasilkan lagu-lagu positif akan menjadi tumpuan kami.

"Singa adalah lagu yang berpesan agar seseorang tidak mudah berputus asa.

"Simbolisme haiwan singa sebagai yang berani berdepan dengan apa sahaja walau apa jua rintangan mendatang mencerminkan keinginan kami sebagai anak muda yang ingin terapkan kegagahan dalam menentang badai kehidupan," ceritanya yang ingin menyertai acara akapela serantau atau antarabangsa jika terbuka peluang berbuat demikian.

Secara peribadi, Mai melihat semangatnya kian diperkasa bagi mewarnai persada seni Singapura dengan tekad baru.

Beliau pernah menjadi penyanyi latar bagi konsert sedekad bintang Singapura yang sudah ke seberang Tambak, Imran Ajmain.

Jika dahulu beliau kurang peka tentang tuntutan dunia hiburan, beliau kini lebih akur pada kepentingan menjaga suara, kesihatan dan kecergasan.

"Saya berusaha susutkan badan bagi penampilan diri lebih yakin dan demi stamina vokal saya.

"Suara yang lunak sahaja tidak mencukupi. Dalam dunia hiburan, penampilan diri dan kecergasan itu mustahak.

"Saya kini melalui latihan gimnasium secara tetap dan mengangkat berat. Saya juga aktif dalam kegiatan 'kettlebell' (bola besi bertangkai persis cerek). Saya juga lebih peka soal pemakanan dengan mengelakkan makan nasi putih atau roti putih. Saya makan nasi beras perang, lebihkan protein dan sayur.

"Memang banyak cubaannya lebih-lebih lagi ada makanan kegemaran yang tidak mampu disentuh lagi. Tapi sekarang ini, ayam masak merah pun terasa muak nak dimakan.

"Lebih menarik lagi, seorang teman menyarankan agar saya menyertai pertandingan 'kettlebell'.

"Apa yang saya suka tentang sukan ini adalah ia menekankan kekuatan kaki dan bukannya tangan dalam mengatur pergerakan kita," jelas Mai.

Apakah perubahan yang dilihat dalam dirinya selepas melalui rutin senaman sebegini?

Mai menambah:

"Sekarang ini, saya lebih mampu mengawal pernafasan saya ketika menyanyi. Kalau tidak dahulu, terasa lelahnya lebih-lebih lagi apabila bergerak ke sana sini."


"Lagu (Formula Ku) ini menceritakan tentang bagaimana seseorang dapat bangkitkan diri daripada segala kesuraman kehidupan, misalnya, pertelingkahan dengan keluarga dan teman-teman. Namun, dalam setiap episod hitam, pasti ada huraian yang dapat diraih daripada formula mengekalkan kehidupan secara positif."
- Maisarah Dhaniyah Noorsham Affandi, atau lebih dikenali sebagai Mai dari kumpulan The Vybes.

"Muzik akapela mungkin belum lagi ditebar luas dalam masyarakat Melayu. Bagi saya, ia satu wadah hiburan menghiburkan lagi menekankan kesenian vokal itu sendiri dengan suara si penyanyi menjadi ibarat alat muzik... Kami adunkan muzik, dendangan secara akapela dan lontaran lirik mengikut irama rap. Bagi saya, ia pembaharuan yang amat saya nanti-nantikan sebagai penyanyi muda."
- Maisarah Dhaniyah Noorsham Affandi, atau lebih dikenali sebagai Mai dari kumpulan The Vybes.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian