Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Lagu 'Haram' bawa gelaran juara lagi bagi Hael Husaini

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ANUGERAH JUARA LAGU

Lagu 'Haram' bawa gelaran juara lagi bagi Hael Husaini

ajl
Feb 07, 2019 | 05:30 AM



KALAU suatu ketika dahulu namanama komposer seperti Ajai, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan dan Saari Amri menguasai pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), nama Hael Husaini kini disebut-sebut sebagai pengganti mereka.



Ini memandangkan dua kali berturut-turut Hael, yang nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, 31 tahun, menjuarai AJL dengan lagu fenomenanya - Jampi (tahun lalu) dan Haram (tahun ini).



Malah, selain lagu Haram yang menggandingkannya dengan Puteri Runut Bunyi (OST) Drama Popular, Dayang Nurfaizah, beberapa lagu finalis pada malam Ahad lalu merupakan hasil ciptaan Hael dan rakan baiknya, Ezra Kong.



Hajat (lagu yang beliau nyanyikan sendiri) dan Nisan Cinta (dendangan Siti Nordiana dan Jaclyn Victor) terhasil daripada minda kreatifnya.



Gabungan Hael dan Dayang yang dipaparkan ibarat menyanyi dalam hujan di Axiata Arena, Bukit Jalil, sambil berkongsi payung, membawa pada ganjaran RM50,000 ($16,523) dan trofi.



Hael, yang bagaikan tidak menduga kemenangan dua tahun berturut-turut sebagai juara AJL dalam peraduan anjuran saluran TV3, memberitahu media Malaysia:



"Saya nak ucapkan tahniah kepada semua finalis. Anda semua terbaik tetapi mungkin rezeki ini milik kami.



"Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam projek Haram ini."



Dayang, 37 tahun, pula bersyukur dirinya dipilih Hael sebagai rakan duet dalam lagu tersebut.



Tempat kedua jatuh pada penyanyi muda yang ramai pengikut, Ara Johari. Ara, 21 tahun, bagaimanapun, masih memerlukan masa bagi mengasah vokalnya untuk dilontarkan bagi persembahan secara langsung.



Beliau mendendangkan karya Hang Nadim, Laq dan Kadok, Bunga.



Tempat ketiga pula milik 'otai' (orang lama), Misha Omar, 37 tahun, yang juga memenangi kategori Vokal Terbaik AJL.



Beliau menghampakan peminat penyanyi muda, Syamel, 25 tahun, yang memenangi Vokal Terbaik tahun lalu.



Lagu Sampai Bila oleh Misha, merupakan ciptaan Bin Shamshiri Mohammad Shahriza, Sharon Anne Paul dan Yahya Fedtri, malah disebut-sebut sebagai pemenang AJL sebelum ini.



Sufian Suhaimi, 26 tahun, pula membuatkan ramai terkesan dan menitiskan air mata menerusi paparan lagu Di Matamu.



Beliau nampaknya menggunakan pengalaman peribadinya dan kontroversinya yang putus cinta dengan pelakon Elfira Loy sebagai bahan persembahan yang mengusik jiwa.



Namun, di sebalik segalanya, AJL tempoh hari,yang turut mengetengahkan penyanyi popular Khai Bahar, vokalis bertenaga Siti Sarah, nama besar Jaclyn Victor dan Siti Nordiana serta trio De Fam (yang menggantikan penyanyi rap yang bersara, Altimet), tidak sepi daripada kecaman masyarakat siber atau netizen.



Ramai yang tidak memanfaatkan pentas pada hari itu bagi mengetengahkan vokal yang baik. Kedengaran suara sumbang penyanyi pada lagu-lagu popular yang disusun semula tetapi menjadi lebih tidak menarik dan menjenuhkan untuk didengar.



Terbaca komen-komen seperti:



"Mengapa Ara yang suara ke laut dapat nombor dua? Apa jadi pada dua 'Siti' harapan pada malam itu - Siti Sarah dan Siti Nordiana?"



Kekerapan beberapa penyanyi menggunakan sisipan suara soprano juga membosankan penonton.



Mengapa perlu ada nyanyian opera dalam lagu Melayu? Kalau dahulu ia merupakan satu kelainan, tetapi sekarang apabila beberapa penyanyi menggunakannya bagi AJL, ia menjadi perkara biasa lagi menjenuhkan sehingga penulis sendiri terasa apakah ini Anugerah Juara Soprano (siapa boleh nyanyi dengan nada lebih tinggi)?



Penggubah lagu legenda, Azmeer yang mewakili panel pengadil AJL, mengulas dalam sesi sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di YouTube:



"Tak banyak beza antara markah juara, naib juara dan pemenang ketiga AJL.



"Saya kira keadaannya akan berbeza jika setiap penyanyi mampu menunjukkan kebolehan sebenar mereka dan menjulang lagu agung mereka itu. Sayangnya tidak.



"Ada beberapa lagu yang bagus dalam AJL kali ini tetapi tewas kerana ketidakupayaan penyanyi lagu itu mendendangkannya.



"Saya menasihati penggubah lagu agar mencari penyanyi yang hebat dan mampu menjulang karya anda ke tahap yang terbaik. Kerana anda yang mengarang lagu itu, tidak semestinya lagu itu harus anda dendangkan sendiri."



Mungkin perlu ada semakan semula dari segi kriteria pemilihan lagu atau perlu dikenalkan kategori baru seperti penulis lirik terbaik atau susunan irama terbaik sebagai menghargai lebih karyawan belakang tabir daripada sang penyanyi semata-mata. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >