Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Luahan jiwa belia dalam muzik eksperimen

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Luahan jiwa belia dalam muzik eksperimen

its
Nov 07, 2019 | 05:30 AM



IRAMA persis ombak membelah pantai cukup menenangkan bagaikan membawa minda anda menerawang jauh ke alam mimpi indah belum kesampaian.



Kadangkala dikesan luahan hati yang ingin jadi diri sendiri dalam persada seni penuh saingan dan tanggapan orang sekeliling.



Ada masanya lontaran kata itu mengisahkan jerih payah yang perlu diharungi pemuzik muda dalam mencipta nama menerusi muzik eksperimental yang mempunyai penggemar tukikan sendiri.



Begitulah rumusan yang boleh dibuat mengenai lagu-lagu yang disajikan tiga pemuzik muda daripada pelbagai latar belakang yang menggelar diri mereka The Its.



Baru-baru ini, band rok alternatif yang terdiri daripada penggubah lagu dan penerbit Harith Redzuan, pemuzik gamelan dan vokalis Rosemainy dan gitaris Rudy Swandi ini menjayakan program seni dan budaya, Cita Seni: Sonic Spaces and Sonic Seas, di The Arts House.



Cita Seni merupakan wadah perkongsian seni yang diusahakan bersama The Arts House dan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS).



The Its yang ditubuhkan pada 2017 dipengaruhi muzik rok Timur dan Barat dengan tumpuan dan pendekatan diberi pada penerokaan muzik Nusantara secara spontan. Dalam berseni, unsur-unsur alam khususnya lautan biru yang dalam dijadikan sumber inspirasi dalam mencipta landskap bunyian positif dan membina untuk dinikmati.



Awalnya, ia merupakan band kampus yang menyajikan lagu saduran dan pernah disertai vokalis Hazwani Suryani yang meninggalkan band itu bagi komitmen peribadi. Salah sebuah lagu The Its, Kami, boleh dinikmati di gedung digital Spotify.



Ketika ditemui, Harith, 25 tahun, yang juga wartawan Berita Harian, melahirkan rasa besar hatinya dapat terlibat dalam program Cita Seni yang sebelum ini dijayakan penggiat seni mapan seperti Rafaat Hamzah dan cendekiawan seni Dr Faisal Tehrani.



"Sebagai anak muda yang masih baru lagi dalam bidang seni, kami mengharapkan wadah seperti Cita Seni ini sebagai ruang berkongsi muzik dan pandangan kami tentang seni bersama orang ramai.



"Besar harapan kami suatu ketika nanti, kami juga dapat berkembang secara bertahap-tahap dalam memasyarakatkan seni melalui hasil karya kami sebagaimana yang dilakukan seniman dan sasterawan mapan.



"Sebagai penulis lirik, saya juga berharap dapat menyampaikan penulisan berunsur kritikan membina terhadap kehidupan bermasyarakat yang boleh dijadikan pengajaran bersama," ujarnya.



Menurutnya, The Its ditubuhkan sebagai band kampus di NUS dengan lagu pertama mereka, Nasib, dihasilkan dalam bengkel penulisan lirik Merdu. Ia adalah luahan rasa terhadap persada seni Singapura dengan keterbatasan peluang menjadi diri mereka sendiri.



Bengkel itu dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Nasional Singapura (PBMUKS).



"Kami mengikut format yang ditekankan dalam bengkel tersebut di mana setiap yang disampaikan dalam lagu juga harus memiliki kesantunan bahasa dengan penyampaian lebih beralas.



"Kami bayangkan seorang pemuda yang baru tamat pengajian dan ingin menunjukkan kepada dunia bahawa dia ingin berjaya tetapi tersepit dengan sekeliling yang memandang remeh dan penuh sindiran.



"Kebetulan pada waktu itu, vokalis kami adalah gadis ceria yang penuh dengan pengamatan dan rungutan tentang keadaan sekeliling. Kami sesuaikan tonasi suaranya itu dengan konsep lagu berunsur sindiran sosial ini. Nasib menggambarkan perjuangan dalam dunia dengan jurang generasi. Ia ibarat keluhan 'Apalah nasib aku?'," tambah Harith.



Persembahan The Its tempoh hari banyak menekankan kespontanan dan sinergi tiga anggotanya.



Setiap persembahan disampaikan dengan iringan visual, baik slaid tentang pemandangan indah ataupun keratan video tentang landskap sekeliling.



"Antara lagu yang kami sajikan adalah Jalanan yang mengisahkan tentang satu pengembaraan. Ia juga simbolik dengan proses melarikan diri dari masalah tetapi kenyataannya, kesulitan itu tetap akan ikuti kita ke mana-mana kita pergi.



"Lagu ini menyorot satu perjalanan yang nampak indah dari segi pemandangan tetapi sebenarnya mengandungi banyak kesusahannya. Kami menggunakan tajuk Jalanan dengan memikirkan tentang bahasa Indonesia yang membawa konotasi kurang enak seperti anak jalanan sebagai gambaran tentang pasang surut kehidupan," jelas Harith lagi.



Beliau akur tidak semua orang condong ke arah muzik eksperimental yang dianggap terlalu kesenian dan abstrak berbanding muzik komersial.



"Namun, saya fikir tidak salah menjadi pemuzik yang memperjuangkan kelainan dan memiliki gaya sendiri. Saya pernah menyertai program kembara seni ke daerah Nusantara dan bertemu pemuzik Indonesia, Amerika, Jepun dan Malaysia.



"Dalam suasana bilik kecil yang sempit, kami bertukar-tukar fikiran dan terasa keakrabannya apabila dapat berseni bukan kerana hiburan tetapi bagi sama-sama bermuhasabah diri dan membentangkan misi kami secara seiringan.



"Perkongsian juga dapat dilakukan secara spontan tanpa menanti bengkel seni diadakan secara formal.



"Pernah seorang pemuzik yang membuat sendiri alat muziknya daripada buluh mengenalkan kami pada budaya muzik yang dikembangkan menerusi alat muzik tradisional itu secara spontan. Pertukaran budaya sebegini amat saya hargai dalam berseni," katanya lagi.



Rudy, 26 tahun, seorang guru sains yang mula bermain gitar dengan alat penggesek muzik tradisional pula menghargai proses bereksperimen dengan muzik melalui penglibatan dalam The Its.



Rosemainy, 31 tahun, pula menambah:



"Saya teruja menyertai bekas pelajar saya dalam modul gamelan di NUS, Harith dan rakannya Rudy dalam The Its bagi meneroka sumbangan saya sebagai pemuzik gamelan.



"Seronok mencuba terapkan bunyian Timur dan Barat mahupun menggabungkan bunyian Nusantara ini dalam satu proses spontan menghasilkan kerja seni yang menarik.



"Harapan saya bagi persembahan akan datang, kami bukan sahaja dapat menampilkan seni visual (fotografi dan lukisan) tetapi kerja seni lain seperti tarian dan bacaan puisi bagi menghidupkan lagu-lagu kami."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >