Lukisan papar semangat tidak mengalah walau teruk dibelasah

TUBUH sasa seorang petinju dilakar Encik Abu Jalal Sarimon.

Bagaimanapun, kelihatan raut wajah yang teruk dibelasah dan dicederakan. Kadangkala muka yang kelihatan jauh lebih besar daripada tubuh si manusia itu tampak seperti penggiat sarkas yang berdandan penuh warna-warni bagi persembahan nekadnya.

Tetapi, apakah yang tersirat di sebalik nikmat kejayaan petinju itu?

Inilah karya Encik Abu Jalal, 52 tahun, yang disajikan untuk Pameran Seni Lukis Kontemporari anjuran Persatuan Seni Lukis Moden Singapura.

Pameran di Galeri Seni Ion, Orchard Road, itu melabuhkan tirainya pada 29 Disember tahun lalu.

Setiap lukisan seniman mapan yang telah menjelajah ke luar negara bagi kembara seninya itu memang dikenali sarat dengan warna-warni.

Encik Abu Jalal pernah berkata beliau gemar meneroka kekayaan, keceriaan dan keharmonian warna. Ikon popular, manusia, alam dan objek sekelilingnya turut dijadikan subjek menarik untuk diterokainya.

Kesegaran dan kespontanan dalam meniti hidup harian menjadi teras perjalanan seninya.

40 PELUKIS

Bagi pameran lalu yang turut dijayakan sekitar 40 pelukis lain, Encik Abu Jalal menghasilkan lukisan menarik lagi simbolik bertajuk Battered, Bruised, Triumphant.

"Sebelum kejayaan singgah dalam hidup manusia, beliau pasti akan bertembung dengan kekalahan sementara atau mungkin beberapa kegagalan. Apabila merasai tewas mengatasi segalanya, perkara paling mudah dilakukan adalah berundur diri sahaja.

"Kebanyakan orang akan buat begitu. Tetapi kejayaan paling besar adalah satu langkah berani dan pasti yang boleh diambil apabila menemui kegagalan.

"Sebagaimana ada pepatah berbunyi 'Ciri keperibadian sebenar seseorang itu hanya akan didedahkan ketika dia tumpas dan hanya yang teruk 'dibelasah' dalam kehidupan mengetahuinya'.

"Segalanya terletak pada cinta mendalam dan kesungguhan yang ada dalam setiap pertempuran pertama. Pasti dalam pertempuran itu akan ada yang 'lebam' dan 'cedera', tetapi tidak akan mengaku kalah sewenang-wenangnya demi perjuangan selanjutnya," cerita Encik Abu Jalal tentang lukisan yang dihasilkan dalam catatan Facebooknya.

KEJATUHAN KUNCI KEJAYAAN

Menurutnya lagi, kejatuhan atau kekalahan itu sebenarnya kunci kejayaan di mana individu tadi akan mengharungi kecederaan, diherdik dan dipersenda.

Sekilas pandang, lelaki yang dilukisnya tampak lemah, tetapi di sebaliknya tubuh bertenaganya itu mengandungi semangat, keberanian dan stamina untuk berdepan dengan apa jua batu halangan.

Dia lebih bersedia dan lengkap tampil ke medan perjuangan dengan peralatan pertahanan sewajarnya.

Sebagai salah sebuah karya bagi pameran penutup tirai 2016 itu, lukisan Encik Abu Jalal adalah hasil seni yang memberi semangat dan kekuatan agar manusia terus kekalkan jiwa positif dalam setiap perjuangan.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:51
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 17
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.