KESUKARAN mencari bantuan kewangan bagi pengajian muzik di luar negara sudah dilalui Cik Nabillah Jalal sebelum ini.
Beliau akur perlu tebalkan muka dan gigih memohon kepada beberapa pihak bagi meringankan bebanan kos pengajian di Royal College of Music (RCM) di London yang mencecah sekitar £22,900 ($45,214) setahun ketika itu.
Namun, selepas melalui onak duri mengejar cita-citanya mengikuti kursus ijazah persembahan piano, Cik Nabillah, 26 tahun, bersyukur setiap keperitan yang dilalui mengajarnya erti kerja keras dan bersabar.
Setelah tamat pengajian di RCM dua tahun lalu, beliau kembali ke Singapura bagi menabur bakti kepada masyarakat menerusi program memperkaya dan memperkasa belia di Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM) menerusi muzik gamelan.
Program ArtSee yang diasaskan dengan dua lagi teman itu dikendalikan dengan kerjasama penggiat seni daripada Alunan Enterprise.
Baru-baru ini, anak-anak RKM itu diundang bagi satu persembahan gamelan sempena pesta seni PassionArts 2018, kendalian Persatuan Rakyat (PA) di ruang Festive Arts Theatre di Our Tampines Hub (OTH).
Lebih menggembirakan Cik Nabillah, impian memiliki sebuah studio butik piano bagi tujuan mengajar pencinta muzik lain dan berbincang idea seni dengan rakan seiring jalan, tercapai akhirnya.
Sabtu lalu, NJ Studio yang bertempat di hab pusat pengayaan pelajar The Yards sekitar Joo Chiat Place dirasmikan.
Cik Nabillah membangunkannya bersama rakan karib beliau, Encik Huey Lin, 29 tahun.
The Yards mengambil alih lokasi lama Sekolah Rendah Telok Kurau East.
Ketika ditemui Gah! baru-baru ini, Cik Nabillah berkata:
"Usia saya baru 18 tahun apabila saya memikirkan secara serius impian saya ke RCM.
"Pada usia semuda itu, saya perlu meminta bantuan daripada satu badan ke satu badan kerana kos pengajian memang terlalu mahal.
"Terpaksalah buat muka tembok kerana benar-benar inginkan pengajian bermutu yang dapat mencorak saya menjadi anak seni berilmu.
"Alhamdulillah, apabila apa yang dicita-citakan menjadi nyata, saya tidak mahu mudah lupa dengan matlamat hidup saya iaitu berkongsi ilmu dan menyumbang kepada masyarakat.
"Sekembalinya ke Singapura, saya perlu fikirkan sesuatu yang konkrit untuk dibangunkan."
Kerana beliau mengajar piano kepada anak-anak dan juga orang dewasa termasuk warga emas dan perlu meronda serata Singapura, ada yang menyarankan agar studio muzik dibuka bagi tujuan ini.
"Sekali lagi, isu kewangan menjadi masalah buat saya. Mana nak cari duit buat modal? Alhamdulillah, saya bertemu teman karib yang mempunyai pelan jangka panjang dalam bidang kreatif dan niaga.
"Huey Lin sudi membantu saya dalam perihal pemasaran dan pencarian penaja bagi studio ini. Beliau juga berkongsi misi memberi kepada masyarakat," dedahnya.
Menerusi NJ Studio itu, Cik Nabillah kini mengenalkan program memperkasa pelajar dengan teori asas muzik.
Tiga pelajar yang menerima bantuan kewangan di sekolah lamanya, Sekolah Menengah East Spring, dipilih bagi program ini.
Mereka, ujarnya, diajar teori asas muzik dan kemudian bebas memilih alat muzik apa bagi mahirkan diri, baik piano, biola atau alat genderang.
"Saya yakin seni buat semua. Tiada yang harus dikecualikan daripada menimba ilmu muzik hanya kerana dia kurang berkemampuan. Anak ini juga boleh menyentuh alat muzik mahal lagi bermutu tinggi di studio ini.
"Apabila saya memilih untuk bekerjasama dengan penghuni RKM, saya meminta mereka memilih antara muzik klasikal barat, seni halus atau muzik tradisional Melayu.
"Mereka nampaknya cenderung pada muzik tradisional berbaur kemelayuan maka gamelan kemudian diajarkan kepada mereka.
"Di sebalik semangat berani dan keyakinan diri saya, jiwa seni saya mudah terkesan dan merintih. Ada juga ketikanya tatkala belia bermasalah yang diajar hilangkan diri dengan pengajian muzik mereka terbengkalai, saya jadi tertekan.
"Namun, ibu selalu berkata, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Bukan mudah nak dapat pahala. Yang penting, saya harus bekerja keras, sabar dan cekal," ujarnya.
NJ Studio itu juga diharap dapat menjadi ruang penggiat seni sepertinya berbincang atau bekerjasama bagi projek yang bermanfaat buat masyarakat.