Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Lulusan Sosiologi bangun arca lumbung interaktif

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Lulusan Sosiologi bangun arca lumbung interaktif

Jan 14, 2018 | 05:30 AM



MINAT Encik Gerald Leow terhadap warnawarni rantau Nusantara termasuk unsur seni binanya yang unik lagi simbolik tercetus sejak beliau menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Walaupun bukan lulusan seni lukis malah tidak pernah bersekolah di institusi seni, pemuda berusia 34 tahun itu amat dekat dengan kerencaman dunia seni khususnya dalam penghasilan arca.



Kecenderungan terhadap budaya Nusantara termasuk Dunia Melayu itu lebih bertambah apabila beliau terlibat dalam tugas pembikinan prop seni selepas tamat pengajian Sosiologi di NUS.



Meskipun harapan melihat arca berupa lumbung padi berdiri megah di Taman Warisan Melayu tidak menjadi kenyataan suatu ketika dahulu, struktur itu bakal tersergam indah di halaman Muzium Seni Singapura (Sam) sempena Minggu Seni Singapura (Saw).



Saw yang terisi dengan pelbagai kegiatan seni di pelbagai tempat dibuka tirainya pada Rabu ini. Ia berlangsung hingga 28 Januari ini.



Encik Leow ditugaskan menyiapkan karya lumbung interaktif bertajuk Harvest itu oleh Sam.



Karya serupa pernah dibawa 'terbang' ke pusat seni kontemporari Palais de Tokyo di Paris, Perancis, beberapa tahun lalu.



Kali ini, ia disejajarkan dengan sejarah daerah Bras Basah (tempat letaknya Sam) sebagai kawasan yang dahulunya mempunyai lagun yang menjadi laluan bot yang membawa beras. Ada juga beras yang dikeringkan di tebing sungai.



Mengulas tentang arca lumbung tersebut, Ketua Bersama Kuratorial di Sam, Cik Joyce Toh, berkata:



"Sam terletak di kejiranan yang kaya dengan sejarah. Bangunan muzium ini sendiri mempunyai seni bina penjajah yang tersendiri.



"Tidak ramai yang tahu bahawa daerah Bras Basah ini pernah dikenali sebagai 'beras basah'.



"Maka karya Harvest oleh Encik Leow melambangkan sejarah kawasan Bras Basah dan bangunan muzium itu sendiri.



"Beliau memberi takrifan artistik kontemporari tentang lumbung yang biasa kelihatan di sawah padi sekitar Asia Tenggara."



Tajuk Harvest itu juga amat simbolik kerana ia terkait rapat dengan idea tentang 'berbuahnya' hasil bumi dan terjananya hasil tanah.



Menceritakan pengalaman menghasilkan arca lumbung itu, Encik Leow yang pernah menghasilkan ukiran keris yang mengupas tentang identiti kemelayuan, berkata:



"Lumbung ada di mana-mana baik Indonesia, Thailand mahupun Vietnam. Ia bahkan turut ditemui di Eropah seperti Austria meskipun strukturnya tidak setinggi lumbung di rantau Asia.



"Rasanya, kita lebih banyak persamaan daripada perbezaan walaupun berada di tempat berbeza. Wujud juga adang tikus pada setiap lumbung yang menarik perhatian saya."



Struktur ini diperbuat daripada bahan kayu terpakai daripada peti kayu barangan yang dibuang tetapi masih kelihatan kesan cop yang menunjukkan perjalanannya dari satu negara ke negara lain.



"Bagi saya, setiap karya yang dihasilkan itu menampakkan minat saya terhadap sejarah Singapura dan juga budaya asli sesebuah kaum.



"Dengan penggunaan peti kayu ini, saya melihat peranan silam dan masa kini Singapura sebagai hab pengangkutan dan kota pelabuhan," ujar Encik Leow yang gembira pemerintah menyediakan lebih ruang dan program bagi seniman berkarya.




ACARA SENI MUZIUM



Bawa bakul berkelah anda sambil mengimbas nostalgia di perkarangan Muzium Seni Singapura (Sam) dengan menonton wayang lama.



Ini yang dapat orang ramai lakukan sempena Minggu Seni Singapura (Saw).



Selain itu, pelbagai bengkel kerja tangan akan dikendalikan.



Anda juga boleh merakam gambar bagi dimuatnaikkan ke Instagram di kaunter foto yang tersedia.



Bagi yang meminati kerja seni, anda boleh mendapatkan barangan artistik kegemaran anda di beberapa gerai khusus.



Antara pameran yang boleh dikunjungi di Sam ialah Cinerama: Art and the Moving Image In Southeast Asia.



Karya 10 seniman kontemporari dan kolektif seni yang berupa kenangan, identiti dan politik boleh ditinjau.



Acara sempena Saw ini berlangsung hingga lewat malam pada 20, 21, 27 dan 28 Januari ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >