BAHANG MEDIA SOSIAL

Mahligai selebriti Malaysia Fizo Omar, Mawar Karim hancur

LEBIH seminggu lalu, video pelakon dan usahawan Malaysia Fizo Omar bermain dengan anak tunggalnya Wan Maryam menular.

Mereka kelihatan tidak boleh berenggang walau seketika sekali gus menyentuh perasaan warganet.

Namun, ramai dikejutkan dengan berita keretakan rumah tangga Fizo, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 33 tahun, bersama usahawan tudung dan peragawati, Mawar Abdul Karim, 30 tahun, kelmarin.

Laman Free Malaysia Today melaporkan mahligai enam tahun mereka gagal diselamatkan.

Mawar menjelaskan bahawa mereka sudah cuba memperbaiki keadaan, namun terpaksa mengorbankan kasih sayang demi kebahagian bekas suami sekeluarga.

Fizo melafazkan cerai talak satu terhadap Mawar di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Mawar sebelum itu memfailkan permohonan cerai pada 5 Julai. Hak penjagaan Wan Maryam, dua tahun, diberi kepada Mawar.

Fizo juga mengakui terkejut apabila dimaklumkan isterinya sudah mendapatkan nasihat daripada peguam mengenai masalah rumah tangga mereka.

Perkahwinan pasangan itu dikatakan berdepan dengan masalah dan menjadi bualan hangat warganet apabila Fizo menyambut Aidilfitri berasingan dengan Mawar dan Wan Maryam.

Pos Fizo mengenai perceraiannya menarik lebih 78,000 tanda 'Like' di Instagram.

"Terima kasih saya nak ucapkan kepada semua yang mendoakan yang baik-baik buat saya dan Mawar. Semoga Allah memberkati niat baik anda semua buat kami.

"Apa yang berlaku antara saya dengan Mawar ini ialah dengan izin-Nya setelah pelbagai usaha dilakukan dan kami sepakat berpisah dengan cara baik. Sesiapa yang berumah tangga mengharapkan kebahagiaan hingga ke akhir hayat. Tapi perancangan Allah buat kita adalah yang terbaik," ujar Fizo.