Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Menyasar panah hingga muncul juara di Slovakia

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Menyasar panah hingga muncul juara di Slovakia

Oct 17, 2017 | 05:30 AM



Sukan memanah tradisional memperkasa jiwa wanita bukan sahaja dengan keyakinan diri, fokus dan tenaga meluap-luap dalam perjuangan hidup. Jika wanita lain mengembara ke Eropah untuk membeli-belah sakan, seorang ibu dua anak kecil yang merupakan pencinta sejarah menjelajah benua itu demi bersaing dalam sukan memanah tradisional. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



ADA yang menggelarnya Katniss Everdeen, wirawati novel trilogi popular tulisan Suzanne Collins, The Hunger Games, yang sudah pun difilemkan dan dijayakan bintang Hollywood, Jennifer Lawrence.



Namun, Cik Nazima Salleh, 39 tahun, secara berseloroh berkata:



"Jangan panggil saya Katniss, tapi Kak Naz!"



Watak wirawati Katniss yang sering tampil berjuang dengan busur (kayu dilengkung dan bertali) dan anak panah itu disamakan dengan Cik Nazima kerana beliau merupakan pemanah tradisional yang sudah merantau ke beberapa negara Eropah bagi pertandingan.



Baru-baru ini, pengurus pengiklanan itu muncul sebagai juara di satu pertandingan sedunia yang berlangsung di Slovakia, Eropah tengah, bulan lalu.



Ibu dua anak lelaki berusia 11 tahun dan sembilan tahun itu mencapai kejayaan tersebut di kesyahduan sambutan Hari Raya Haji di rantauan.



Anak-anaknya, Nuh Ahmad Zuhairi dan Ahmad Rumi, juga diiktiraf sebagai juara dan naib juara kategori kanak-kanak.



Mereka diberi pengiktirafan meskipun mereka sahaja yang bertanding kerana keberanian mencuba dan daya kekuatan yang dikagumi penganjur.



Kejayaan Cik Nazima itu menyusuli pencapaian membanggakan beliau sampai ke peringkat separuh akhir satu lagi pertandingan memanah tradisional di Hungary, selang beberapa hari sebelum itu.



Bersama suaminya, Encik Ahmad Zuhairi Sa'at, 41 tahun, seorang pereka grafik, mereka merantau ke serata dunia bagi misi penting menyertai pertandingan memanah yang mengasah minda agar lebih fokus.



Kebanyakan pertandingan yang disertai merupakan anjuran Persekutuan Memanah Tradisional Sedunia.



Encik Ahmad Zuhairi pula merupakan pengasas bersama pasukan pencinta sukan memanah tradisional, Traditional Archers Singapore.



Seorang lagi pengasas kumpulan ini ialah Encik Mohammad Alfyan Ariff Bahari.



Kumpulan ini sudah mewakili Singapura ke beberapa pertandingan di luar negara, mengendalikan latihan di sini dan menganjurkan pertandingan setempat.



Menceritakan kisah cintanya dengan sukan memanah tradisional yang bermula pada lewat 2014, Cik Nazima berkata:



"Saya seorang pelari pecut dalam zaman sekolah. Selepas melahirkan anak, saya tidak begitu aktif bersukan kerana komitmen rumah tangga dan kerjaya.



"Suami pula giat memanah sejak 2012 sebagai satu kegiatan mengikut sunah Nabi saw. Daripada selalu menunggu beliau berlatih, saya rasa lebih baik saya juga belajar memanah."



Melihatkan kesungguhan dan kebolehannya memahirkan diri dalam sukan yang memerlukan tenaga fizikal dan minda itu, Encik Ahmad Zuhairi mengajak Cik Nazima sama-sama bertanding sambil mengembara ke luar negara sejak 2015.



"Saya suka menghirup udara bersejarah di negara-negara Eropah apabila bertanding.



"Apabila bertanding di pekarangan istana lama dan bersejarah, terasa bagaikan terperangkap dalam dunia filem epik yang sarat dengan babak serang-menyerang dan perang dengan busur dan anak panah," kongsinya.



Pertandingan di luar negara yang terbahagi kepada pelbagai kategori kadangkala memerlukan peserta berjalan jauh dari satu lokasi pertandingan ke satu lagi, pada jarak sekitar satu atau dua kilometer.



Sasaran anak panah pula berbeza dan tidak semuanya berpandukan papan bulat tetapi boleh wujud dalam bentuk watak haiwan tiga dimensi.



Beliau melihat betapa sukan memanah tradisional begitu popular di Poland sehingga ada pemanah wanitanya yang memiliki kelab sendiri dengan lelapang khas bagi kegiatan itu.



Walaupun sesetengah pesaing lain dari negara seperti Hungary, Poland dan Romania tidak tahu berbahasa Inggeris, ia bukan hambatan apabila perbualan dengan menggunakan bahasa isyarat atau bahasa Inggeris asas perlu digunakan.



"Mereka semua ramah-ramah belaka dan teruja ingin tahu tentang masyarakat Melayu dari Singapura.



"Apabila bertanding dengan pemanah antarabangsa dalam suasana persaingan sihat, saya mula merenung dan menghargai identiti saya sebagai anak Melayu.



"Mengenakan pakaian tradisional Melayu menebalkan semangat kemelayuan saya anak-beranak.



"Ketika bersembang dengan peserta lain, kami lebih menghargai keselesaan dan keamanan di Singapura serta peluang bangkit di negara kecil ini," jelasnya.



Di Slovakia pula, Cik Nazima sekeluarga teruja apabila mereka bertemu peserta beragama Islam dari Republik Bashkortostan yang merupakan sebahagian daripada Russia.



"Mereka juga gembira apabila bertemu saudara seagama dan kebetulan tempoh itu jatuh pada Hari Raya Haji. Masyarakat ini tampak asing tetapi bertemu mereka merupakan pengalaman membuka mata," ujarnya.



Cik Nazima akur menyertai pertandingan memanah yang biasanya dikuasai pemanah wanita dari Poland banyak mengubah hidupnya.



"Saya lebih peka tentang pemakanan. Saya jalin persahabatan dengan peserta asing hingga ke hari ini melalui Facebook. Saya juga bertambah sayang pada Singapura dan rasa bersyukur dilahirkan di negara ini," katanya.



Lebih mustahak lagi, hubungan kekeluargaan beliau dengan suami dan anak-anak juga semakin akrab.



"Walaupun ruang latihan di Singapura agak terbatas, ia bukan masalah bagi saya terus memupuk minat terhadap sukan ini.



"Peluang mengembara dan melihat dunia sambil bertukar pendapat dengan peserta lain amat saya hargai. Dengan membawa anak-anak pula, saya dapat menjelaskan kepada mereka tentang kerencaman masyarakat dunia dan toleransi budaya yang diperlukan," dedahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >