Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Meriah, nostalgia di konsert artis filem Melayu 50-an, 60-an

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Meriah, nostalgia di konsert artis filem Melayu 50-an, 60-an

Acara anjuran Kelab Peminat P. Ramlee Singapura di Wisma Geylang Serai tampilkan antaranya seniwati Zaiton dan Hashimah Yon
Jul 16, 2019 | 05:30 AM



SAMBIL bersorak riang dan sebahagiannya menari dan menyanyi, lebih 300 peminat artis-artis filem Melayu klasik silam begitu terhibur di Konsert Malam Bersama Selebriti era 50-an dan 60-an di Wisma Geylang Serai (WGS) Ahad lalu.



Acara meriah selama lebih tiga jam anjuran WGS dan Kelab Peminat P. Ramlee Singapura itu telah menampilkan beberapa artis legenda termasuk seniwati Zaiton Abdullah, Hashimah Yon, K. Fatimah, Habibah Haron (pelakon utama dalam filem 'Lela Manja'), Sureini Sani dan seniman M. Wari.



Pelawak terkenal dengan julukan Jerry Lewis Malaya, Wahid Satay, yang diharapkan muncul, tidak dapat hadir kerana kurang sihat.



Namun, penonton tetap terhibur kerana dapat turut menyaksikan pelakon mapan Malaysia, Dato' Jalaluddin Hassan, hadir sebagai hos utama bersama Dato' Syukry Ismail dan pelawak tempatan, Yusof Maruwi.



Hadirin yang kebanyakannya dalam usia 50-an dan 60-an tahun dan sebahagiannya lebih muda itu begitu teruja dengan pelbagai gelagat dan aksi spontan artis-artis silam itu, seperti dialog romantis popular yang diungkapkan semula oleh Hashimah Yon bagi filem ikonik Nujum Pak Belalang arahan P. Ramlee.



Filem itu dikeluarkan oleh Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas. MFP telah melahirkan ramai artis versatil lagi berbakat besar, dan walaupun ramai sudah berpulang, sumbangan mereka yang masih ada masih diingati hingga ke hari ini.



Turut hadir di acara itu selaku tetamu terhormat ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, bersama isterinya, Cik Sadiah Shahal.



Mengulas, Dr Maliki berkata, acara santai di WGS merupakan salah satu wadah bagi artis baru dan lama mendekati peminat mereka di sini.



"Hari ini kita telah melihat bagaimana WGS telah membawa artis-artis lama kita untuk mendekati para penyokong dan peminat mereka.



"Ini juga dapat memberi peluang kepada masyarakat dan anak muda kita mengenali muzik dan lagu-lagu Melayu lama. Secara tidak langsung, bakat-bakat muda ini boleh mengadaptasi dan bekerjasama dengan legenda-legenda lama ini supaya kita dapat terus menyemarakkan lagi suasana dan nilai ketimuran dan kemelayuan dari aspek muzik kita," kata Dr Maliki.



Menurut pengerusi jawatankuasa penganjur acara itu, Encik Yusof Ahmad, 73 tahun, selain berhibur, acara itu juga memberi peluang kepada peminat mengenali kehebatan filem-filem Melayu lalu, sekali gus beramah-mesra bersama bintang filem dan srikandi legenda yang telah membawa kegemilangan di Shaw Brothers dan Cathay Keris.



"Selain mengenang jasa ikon filem Melayu dari zaman 1950-an ini, kami juga rasa bertanggung jawab untuk mengiktiraf dan terus mengingati pengorbanan dan sumbangan mereka selama ini.



"Mereka telah mencorak dunia perfileman Melayu kita dan semuanya ini berlaku di Singapura. Negara kita telah menjadi sebuah hab hiburan dan perfileman yang cukup hebat dan dikagumi ramai ketika itu.



"Jadi, diharapkan anak muda dan generasi akan datang terus dapat mengetahui dan prihatin dengan perkembangan dan sejarah perfileman kita. Ini semua merupakan khazanah yang cukup berharga untuk kita semua," kata Encik Yusof, yang juga pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Singapura.



Salah seorang primadona di Jalan Ampas yang ditemui di acara itu ialah Hashimah Yon, kini 79 tahun. Beliau telah menceburi dunia seni lakon sejak berusia lapan tahun dan telah membintangi hampir 30 filem Me layu termasuk bergandingan dengan nama-nama besar seperti S. Kadarisman, Aziz Jaafar, Ahmad Mahmud dan P. Ramlee.



Hashimah Yon berkata, beliau dilahirkan dalam keluarga seni. Ibunya, Habsah Buang, juga merupakan pelakon bangsawan yang hebat dan beliau dibesarkan di kawasan Boon Teck Road.



Beliau menceritakan, suasana bekerja pada zaman dahulu memang berlainan jika dibandingkan pada zaman sekarang. Semuanya perlu dikendalikan dengan teliti secara manual dan tiada jalan pintas. Beliau mendedahkan, walaupun perlu bekerja keras, pendapatan untuk anak seni, khususnya bagi mereka yang memegang peranan heroin atau peranan utama, memang agak lumayan.



"Sejak kecil mak (gelaran untuk dirinya) telah didedahkan dengan dunia lakonan. Secara jujurnya menjadi anak seni ini memang banyak cabarannya. Kami bukan hanya perlu berlakon, malah kena menyanyi dan adakala menari. Ini semua tidak termasuk dubbing dan latihan yang begitu menyeluruh di setiap sesi penggambaran.



"Walaupun penat, artis-artis lama pada zaman dahulu memang cukup profesional dan begitu tinggi tahap kerja seni mereka.



"Orang dulu mementingkan mutu dahulu dan bukan faktor wang atau menjadi glamor semata-mata. Mereka juga ikhlas bekerja.



"Mak dulu mendapat gaji dalam $400 sebulan dan komisen sehingga $400 juga. Jumlah sebegini memang besar pada waktu dahulu - boleh beli kereta sendiri dan bermacam-macam lagi. Memang agak mewah, tetapi mak rasa memang setimpal dengan kerja keras yang kami telah lakukan ketika berkarya dahulu," katanya.



Dalam acara itu, yang mendapat sambutan penuh dengan semua tiket habis dijual, hadirin juga telah dihiburkan dengan persembahan oleh artis tempatan seperti Mahani Mohd, Kamaliah Latiff dan A. Mahady bersama beberapa penyanyi daripada Kelab Peminat P. Ramlee Singapura.



Selain berhibur, hadirin juga berkesempatan memenangi pelbagai hadiah dalam cabutan bertuah, termasuk pakej umrah untuk pemenang utama tajaan syarikat Zahra Arianna.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >