Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

MIRA FILZAH buat jejaka tergila-gila

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MIRA FILZAH buat jejaka tergila-gila

Di sebalik populariti, artis baru 'MeleTOP' tegas mencorak masa depan kerjaya dan perniagaan
Apr 03, 2016 | 05:30 AM



FENOMENA Mira Filzah 'menyerang' dan membuat ramai teruna terpaku seribu bahasa di Dewan 5, Singapore Expo, minggu lalu.



Ramai yang berpeluh-peluh dek darah gemuruh dan sanggup bertunggu tangga menanti untuk merakam selfie bersamanya di acara Halal 2016: Food, Lifestyle, Wedding, anjuran MegaXpress.



Ada seorang jejaka juga datang lengkap dengan kemeja-T lengan panjang Cinta Si Wedding Planner (drama yang menaikkan nama Mira yang baru-baru ini meraih Anugerah Artis Baru MeleTOP).



Apabila dipanggil berlakon bersama Mira, 23 tahun, di atas pentas, bukan main lagi mereka tampil tanpa dipaksa. Tidak jemu juga mereka merakam selfie berulang kali bersama si manis yang bersabar melayan kerenah peminatnya.



Senario sebegini membabitkan seorang pelakon wanita dari seberang Tambak memang jarang penulis saksikan.



Biasanya, berpusu-pusu peminat wanita 'menyeberangi' lautan pengunjung Expo apabila pelakon lelaki 'meletup' seperti Remy Ishak, Aiman Hakim Ridza dan Beto Kusyairy menjadi selebriti undangan malam itu.



Teruja juga ingin tahu apakah yang membuatkan Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badiozaman begitu popular dengan namanya bermain di bibir ramai jejaka dan gadis yang melihatnya sebagai idola.



Dengar khabar, ada juga lelaki yang berangan atau sengaja bikin jeles teman-teman dengan meletakkan wajah Mira sebagai foto latar penyelamat skrin komputer riba mereka.



Tidak kurang pula yang menyunting foto mereka dengan menempelnya bersama foto Mira persis beliaulah temanita setia.



Laman Instagramnya sudah memiliki 853,000 pengikut - bilangan yang melebihi sebilangan artis mapan.



TIADA PEMINAT 'OVER'



Apabila ditanya mengenai perkara ini dalam kesempatan bertemunya di Singapore Expo, Mira, anak kedua dalam tiga beradik, yang dibawa ke sini oleh Impact Music & Entertainment tertawa seraya berkata:



"Memanglah saya rasa kelakar apabila dengar cerita macam ini. Saya hargai sokongan mereka yang suka pada lakonan atau kehadiran saya dalam industri hiburan yang mencabar ini.



"Terharu rasanya apabila dihargai dan dikenali. Alhamdulillah, keadaannya masih terkawal lagi... tak adalah sampai ada peminat melampau yang mengekori.



"Kalau ditanya apa yang membuatkan nama saya dikenali, saya kira peranan utama dalam drama Cinta Si Wedding Planner yang buat orang semakin kenali Mira Filzah. Tambahan pula, saya digandingkan dengan hero lama yang popular, Adi Putra. Beliau ramai pengikut, maka keserasian antara kami itulah yang membuatkan drama itu 'hit'."



Mira, anak kelahiran Perak, yang mula berlakon sebagai Lola dalam drama tajaan jenama syampu Sunsilk, Dunia Lola, pada usia 17 tahun, akui mulanya gentar apabila dipasangkan dengan Adi.



"Dia 'otai'. Kita masih baru. Dia nampak macam garang. Tapi apabila sudah lama mengenali, orangnya ramah dan suka beri tunjuk ajar.



"Kalau ada kesilapan yang berlaku dalam lakonan, dia akan tegur di situ juga. Dia akan ajar Mira cara memperbaiki lakonan. Kami sama-sama berbincang bagaimana ingin mewujudkan keserasian," cerita lulusan ijazah perniagaan antarabangsa daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu.



TEGAS DENGAN PRINSIP PERIBADI



Walaupun Mira akui dirinya jenis yang berani mencuba dengan pegangan 'belum cuba, belum tahu', beliau mengekalkan ketegasan dalam soal prinsip lakonan.



Prinsipnya yang menetapkan 'tiada sentuhan dengan pelakon lelaki' walau dalam apa jua situasi, membuatkannya lebih dihormati peminat.



Ditanya mengenai perkara ini, Mira menjelaskan: "Mungkin tak ramai yang tahu bahawa Mira nampak sahaja lemah lembut tetapi tegas dalam menekankan prinsip hidup saya.



"Orang ingat Mira ni 'boleh makan'... tapi jangan cuba. Selagi Mira suka sesuatu, Mira cuba bersungguh-sungguh mendapatkannya. Tapi kalau tak nak, tak naklah jawabnya.



"Memang pada mulanya, Mira terfikir bagaimana nak jayakan drama cinta suami isteri selama 28 episod tanpa ada babak sentuhan?



"Tapi takkan nak duduk termenung dan diamkan orang arah kita buat benda yang kita tak suka. Jadi, Mira duduk berbincang dengan pengarah dan minta pemahamannya. Ini kerjaya Mira.



"Mira bukan berlagak atau besar kepala tapi setakat luahkan keprihatinan saja. Kalau kita tak cuba, kita tak tahu. Kita harus rajin ambil inisiatif. Ternyata pengarah boleh terima saranan Mira. Segalanya 'menjadi' juga tanpa babak sentuhan."



INGIN DIKENALI SEBAGAI USAHAWAN



Walaupun popularitinya kian meningkat, ditambah dengan pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dalam kategori Artis Baru Popular, Mira tidak memikirkan semua itu akan kekal lama.



"Mira lebih ingin dikenali sebagai usahawan produk kecantikan More Essential dan tudung MF Shawls.



"Yalah, kita tak tahu sampai bila kita diperlukan untuk berlakon, lebih-lebih lagi sebagai wanita. Apabila dah kahwin dan ada anak, mungkin kita perlu kreatif memikirkan kerjaya lain yang lebih membina.



"Sungguhpun begitu, Mira akui dengan pengetahuan tentang perniagaan, Mira banyak belajar memasarkan bakat dan kebolehan. Mira juga minat mengacara bahkan itulah cinta pertama dalam bidang hiburan sebelum kenali dunia lakonan," jelasnya yang merupakan bekas pelajar cemerlang dan penari kebudayaan di sekolah.




NAK TAHU FASAL MIRA FILZAH?



  • 'Hantu filem Hindustan'

Mira Filzah peminat setia Shah Rukh Khan dan Salman Khan. Pelakon wanita sanjungannya ialah Kajol yang kekal malar segar walaupun pelakon seangkatan lain seperti Karisma Kapoor tidak lagi aktif.



Filem kegemarannya ialah Bajrangi Bhaijaan kerana ia mengisahkan tentang semangat waja seorang lelaki membantu budak perempuan bisu.



Beliau mula jatuh cinta dengan filem Hindustan sejak menonton



Dilwale Dulhania Le Jayenge dan Yes Boss.



  • 'Kaki kopi'

Harinya rasa tidak lengkap tanpa kopi. Beliau gemarkan latte yang tidak terlalu manis bagi menceriakan hari sibuknya.



  • Suka menari

Sejak di bangku sekolah, Mira menantikan peluang naik ke pentas dan menari.



Apabila sudah berhijab, beliau tidak ligat menari tetapi kadangkala rasa rindu dengan cabang seni itu.



  • Ingin kahwin pada usia 26

Usia 26 tahun atau sebelum 30 tahun dirasakan sesuai baginya menamatkan zaman bujang.



Mengenai jejaka idaman, beliau berkata: "Tak adalah nak tetapkan jangkaan tinggi. Asal sedap mata memandang, ada pendidikan dan kerjaya yang mantap."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >