LANGKAHNYA mungkin tidak selincah zaman mudanya dulu. Namun, Encik Sharif Ali, 83 tahun, masih berdaya menjalankan kerja yang dilakukan sejak hari pertama bertugas.
Bapa tujuh anak itu sudah bekerja di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sebagai atendan kesihatan selama 60 tahun.
Encik Sharif, juga datuk 30 cucu dan moyang 20 cicit, masih ingat di mana alat menyuntik, jarum suntikan dan tiub perlu disimpan di klinik. Beliau pun masih bertenaga menolak kerusi roda pesakit.
"Saya masih ingat tarikh saya mula bekerja di TTSH - 2 April 1957. Sejak itu, tidak pernah saya bertukar kerjaya atau tempat kerja kerana amat selesa bekerja di hospital," katanya.
Encik Sharif berkata beliau tiada masalah menyahut permintaan jururawat yang memerlukan pesakit duduk di kerusi roda.
Baginya, selagi bertenaga dan sihat, beliau akan terus menumpukan perhatian kepada pekerjaan.
Beliau bekerja sambilan sebagai atendan kesihatan sebanyak empat hari seminggu, selama tujuh setengah jam sehari.
Encik Sharif perlu berdiri sekurang-kurangnya lima jam sehari.
Menurut beliau, sejauh ini kerja tidak menjejas lututnya.
Dalam sehari, beliau dapat menguruskan hingga 30 bilik doktor, misalnya membersihkan dan menokok jumlah perkakas.
Mungkin juga gaya hidup sihat yang diamalkan sejak muda membantunya pada usia senja.
Menurutnya, semasa muda, beliau aktif bermain sepak takraw dan badminton.
"Alhamdullilah, sejauh ini saya terus diberi kesihatan baik, melainkan perlu makan ubat sedikit bagi masalah darah tinggi," katanya, yang juga baru dimasukkan ke hospital kerana sakit perut.
Demam biasa juga biasa dialami, tambahnya.
Encik Sharif tinggal bersama anaknya, Cik Latifah, suri rumah berusia 52 tahun, dan suaminya Encik Osman Abdullah, juga 52 tahun. Pasangan itu mempunyai tiga anak dewasa.
Isteri Encik Sharif pula meninggal dunia tujuh tahun lalu.
Encik Osman, yang bekerja sebagai penolong pejabat, berkata bapa mentuanya itu gemar menonton filem lama karya P. Ramlee.
"Apabila isteri saya pergi ke pasar, beliau akan ikut. Bagi kami, itulah cara terbaik beliau mengekalkan kesihatan jasmani dan minda," ujar Encik Osman.
Apa pula rahsia Encik Sharif mengekalkan pekerjaan dan bekerja dengan satu majikan selama lebih 60 tahun? "Tiada rahsia sebenarnya. Yang penting, kuatkan semangat, kerja dengan jujur, berikan komitmen, berdisiplin dan akhir sekali, amalkan gaya hidup sihat," ujarnya.
Encik Sharif juga sering menantikan kehadiran anak cucu setiap hujung minggu.
Apabila mereka melawat, beliau akan menyelitkan nasihat tentang amalan pekerjaan yang dilaluinya hingga dapat kekal lama.
"Mereka masih muda, jadi apa juga pengalaman yang saya lalui, saya cuba kongsi dengan mereka agar kita semua meraih pengajaran," ujar Encik Sharif, sambil menambah bahawa beliau tidak tahu bila akan bersara.