NEW YORK: Rangkaian televisyen internet terkemuka dunia, Netflix, menggugurkan pelakon Kevin Spacey, yang semakin tergugat kerjayanya susulan tuduhan serangan seksual.
Pada masa sama, polis mengumpul bukti untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap penerbit Harvey Weinstein atas dakwaan merogol.
Spacey, pemenang Oscar dua kali yang dianggap pelakon paling berbakat pada zamannya, kini dilabel sebagai sampah hiburan.
Dilapor disiasat polis Britain kerana menyerang seorang lelaki di London pada 2008, Spacey dituduh secara terbuka cuba merogol remaja lelaki 15 tahun di New York dan cuba menggoda seorang lagi remaja 14 tahun.
Pegawai publisiti dan ejennya sudah memutuskan hubungan dengan Spacey manakala Netflix menjadi entiti terbaru berbuat demikian.
Netflix tidak lagi terbabit dalam penerbitan seterusnya siri popular 'House of Cards' yang turut dilakonkan aktor berusia 58 tahun itu.
Penerbitan musim terakhir yang dijangka ditayangkan pada 2018 sudah digantung.
"Netflix tidak akan terbabit lagi dengan sebarang penerbitan masa depan 'House of Cards' yang dilakonkan Spacey," kata jurucakap syarikat itu. - AFP