Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Anak-anak selebriti gigih bina kerjaya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak-anak selebriti gigih bina kerjaya

Jan 05, 2020 | 05:30 AM



Dilahirkan sebagai anak kepada penyanyi terkenal tidak semestiya memberi keistimewaan anak-anak artis meraih laluan ekspres mencipta populariti. Bahkan antara cabaran terbesar adalah anak-anak artis lagenda itu adalah untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai bakat tersendiri tanpa perlu bersandar pada nama bapanya. BERITA MINGGU tampilkan tiga anak penyanyi popular yang gigih membina kerjaya muzik mereka.




OSAMA YAMANI



MINATNYA dalam bidang muzik begitu mendalam dan Osama Yamani mempunyai bakat semulajadi dalam bidang nyanyian.



Sedang teman-teman sebaya yang seminat bebas menyertai pertandingan di televisyen, anak kepada penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah itu ditegah daripada menyertainya.



Osama, 18 tahun, berkata menjadi anak Jamal tidak memberi keistimewaan untuk beliau meraih 'laluan ekspres' mencipta populariti.



Bahkan antara cabaran terbesarnya adalah untuk membuktikan beliau mempunyai bakat tersendiri tanpa perlu bersandar pada nama bapanya.



Akui Osama, meskipun mempunyai banyak ruang untuk memperkenalkan bakatnya, termasuk menyertai program realiti, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana bapanya tidak merestui.



"Bapa menegah saya menyertai program realiti kerana tidak mahu orang pertikai penyertaan saya. Andai kata saya menang, tentu ada yang kata, dia anak Jamal mesti boleh menang. Bapa cuba elakkan semua itu.



"Dahulu, saya pernah berhasrat menyertai Ceria Pop Star. Apabila bapa dapat tahu, dia terus cakap jangan merepek. Saya tahu dia tidak suka dan mempunyai alasan tersendiri mengapa saya tidak harus menyertai program realiti. Jadi, saya terus membatalkan hasrat," katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).



Berdasarkan video-video nyanyiannya yang boleh ditonton di YouTube, mungkin ramai yang bersetuju suaranya mempunyai persamaan dengan Jamal.



Osama berkata, bapanya mahu dia berusaha sendiri mencari ilmu dan memperbaiki kekurangan sebagai penyanyi, namun sering berpesan supaya tidak lupa diri.



"Dia turut menasihatkan saya supaya turunkan berat badan. Bukan untuk mengejar glamor atau hendak jual rupa, tetapi bapa kata, apabila ada pakej, lebih senang peminat nak terima.



"Bapa juga selalu berpesan supaya saya melakukan sesuatu yang dapat membanggakannya. Alhamdulillah, bapa pernah memberitahu, dia bangga berduet dengan saya dalam beberapa konsert sebelum ini, seperti Konsert Duo Lagenda tahun lalu," katanya.



Osama yang kini menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam pengkhususan gitar moden bernaung di bawah syarikat rakaman, MVM Music, sejak Julai lalu. Single pertamanya, Bunga Seroja, akan menemui peminat, tahun depan.



"Saya masuk bidang ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, sebaliknya hanya ingin menyambung legasi Jamal Abdillah. Saya mahu ketengahkan bakat dan bersaing secara sihat.



"Biarlah saya tidak popular atau tidak mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial kerana bagi saya, semua itu berupa sementara. Saya mahu peminat nampak kualiti dan bakat yang ada pada saya. Itu sahaja," katanya.



KAYDA



Ibunya dikenali dengan lagu pop jazz dan R&B tetapi si anak lebih selesa dengan rap - bukan sahaja dalam bahasa Melayu, bahkan Inggeris dan Cina.



Kayda Aziz, anak sulung Datuk Sheila Majid, juga bekerja keras untuk berdikari membina kerjaya seni tanpa bersandar kepada populariti ibunya, bahkan bapanya Roslan Aziz memang dikenali juga sebagai penyusun dan penerbit lagu.



Baru-baru ini Kayda tampil dengan rap 'rojak' dalam single-nya bertajuk Macam-Macam yang mengangkat tema memperkasakan wanita, ciptaan Lucka Sickta dengan lirik nukilan beliau sendiri.



Kali pertama menghasilkan lirik penuh dalam bahasa Melayu, Kayda atau nama penuhnya Wan Nur Khaleda Aziz menganggap single berkenaan adalah luahan peribadi, selain menunjukkan kematangan diri.



"Saya mahu mengajak wanita lebih berani dan kuat dalam menghadapi pelbagai rintangan.



"Selain membawa mesej memperkasa wanita, golongan Hawa usah cepat 'cair' dengan kata-kata manis lelaki. Wanita mesti mampu berdikari dalam membuat keputusan hidup.



"Sebagai wanita, kita ada kelemahan diri tetapi jangan biarkan ia menjadi penghalang dalam mengejar cita-cita," katanya.



Kayda pernah bekerjasama dengan ibunya dalam lagu Call On Me dan membintangi drama Mr Grey.



AFIFAH YUSUF



Kalau ibu bersuara lantang yang boleh mencapai nota tinggi apabila menyanyi, sang anak pula lebih malu-malu dan lembut suaranya.



Afifah Qamariah Yusuf, 23 tahun, anak penyanyi Indonesia, Hetty Koes Endang, semakin mendapat perhatian kerana menampakkan sisi yang berbeza daripada keperibadian ibunya.



Dalam konsert Hetty di Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya, Afifah dikenalkan kepada penonton Singapura.



Bagaimanapun, dalam satu temu bual dengan Berita Minggu baru-baru ini, Afifah berkata beliau sebenarnya tidak pernah merancang untuk mengikut jejak ibunya sebagai penyanyi, sebaliknya membuat persembahan secara suka-suka apabila ada permintaan.



Baru selesai pengajian semester pertama jurusan ekonomi di Universitas Prasetiya Mulya tahun lalu, Afifah berkata beliau sejak kecil memang kagumi ibunya yang beliau rasakan hebat menghiburkan penonton.



"Maka, saya juga ikut menyanyi dan suka lagu-lagu yang ibu persembahkan dalam festival lagu di luar negara seperti Damai Tapi Gersang dan Sayang."



Orang ramai mula memberi perhatian kepada Afifah kerana beliau rajin memuatnaik nyanyian "suka-suka"nya di Instagram.



Tanpa diduga ramai yang memuji ia lunak didengar. Lantas, stesen televisyen turut mengundangnya menyanyi setiap kali ibunya diundang ke stesen tersebut.



"Namun, pengalaman mengikut ibu saya ke California memberi saya satu semangat baru kerana alhamdulillah, penonton senang dengan apa yang saya sampaikan.



"Meskipun lagu-lagunya bukan asli daripada saya, saya fikir ia baik sebagai pengenalan diri saya. Suatu hari nanti memang saya menanti single saya sendiri yang mampu didengar orang ramai," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >