PELBAGAI permata kini dipamerkan dalam satu pameran barang kemas, Ekspo Barang Kemas Antarabangsa Singapura (SIJE 2016), yang kini berlangsung di Dewan Pusat Persidangan A & B di Marina Bay Sands.
Antara permata yang menjadi perhatian ialah sebuah loket Zamrud yang diukir dan dibentuk oleh Fortunato Pio Castellani pada kurun ke-19 dan diberikan oleh Napoleon III kepada kekasihnya, Countess of Castiglione.
Permata bersejarah ini kini dipamerkan dalam satu koleksi persendirian milik Roberto Sciaguato.
Satu lagi ialah berlian 27 karat yang begitu seni dan jernih dan bernilai $3.5 juta.
Sesebuah batu berlian yang seni dan bersih bersaiz besar amat sukar didapati.
Di samping itu, pengunjung juga boleh menyaksikan pelbagai lagi batu-batu permata nilam melebihi 100 karat setiap satu di pameran tersebut.
Acara yang berlangsung antara 21 hingga 24 Julai ini menarik sekitar 15,000 pengunjung yang dapat melihat koleksi dari 200 pakar permata dari 25 negara serata dunia.
Pameran ini mengetengahkan barang kemas dan permata bernilai lebih AS$150 juta($203 juta) di ruang persidangan tersebut.