Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

PAPA ROK terkilan tiada album Inggeris

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

PAPA ROK terkilan tiada album Inggeris

Aug 12, 2018 | 05:30 AM



Perjalanan seni sepanjang 30 tahun dua legenda akan diimbas semula dalam konsert 'Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018' di Dewan Konsert Esplanade, Oktober ini. Papa Rok, Datuk Ramli Sarip dan penghibur malar segar, Datuk Khadijah Ibrahim, membuka kisah-kisah lucu yang membawa kepada keserasian mereka sebagai rakan duet. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



WALAUPUN sudah bergelar legenda, malah terkenal dengan jolokan Papa Rok, ada perkara yang membuatkan Datuk Ramli Sarip rasa tidak lengkap dalam kerjaya seninya yang mencecah hampir 40 tahun.



Melihat rakan duet serasinya, Datuk Khadijah Ibrahim, memiliki empat album Inggeris penuh, timbul rasa terkilan lagu Inggeris dengan daya cipta sendiri tidak berkesempatan dirakamnya.



Ini dikongsi Ramli, 65 tahun, bersama Gah! dalam sesi santai dan makan tengah hari bersama media di restoran makanan Sweden halal, Fika, di Beach Road.



Sesi tersebut diadakan di ambang Konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Dewan Konsert Esplanade pada 17 Oktober ini.



Konsert bagi menyalur dana kepada Persatuan Ain itu menggabungkan sinergi dan keserasian Ramli dan Khadijah, 58 tahun, yang popular dengan lagu Doa Buat Kekasih.



Di Malaysia, siri konsert jelajah di beberapa negeri di Malaysia seperti Johor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Pahang turut diadakan sebagai menyingkap nostalgia.



Ramli berkata: 'Dalam konsert kami nanti, saya berharap bahan yang tersimpan lama dan belum pernah didengar ramai dapat disajikan. Sayang, kalau ia tidak diketengahkan.



"Harapan saya, Kat (panggilan buat Khadijah) dapat menyanyikan sekurang- kurangnya satu lagu Inggeris.



"Pada tahun 1970-an dahulu tidak ramai penyanyi Melayu yang bertuah dapat menghasilkan lagu Inggeris dan memiliki album penuh. Itu yang buat saya sendiri terkilan kerana tiada album Inggeris.



"Kat bertuah sebab bekerjasama dengan penerbit dan penyusun lagu handalan bertahap antarabangsa dari Singapura, Ricky Ho. Lagu Everyday Girl amat popular dan sedap didengar."



CEDOK PENGALAMAN



Sepanjang sesi itu, Ramli banyak berkongsi kebolehan luar biasa Khadijah yang disifatkan sebagai penghibur yang sangat selesa di pentas dan tatkala berinteraksi dengan orang ramai.



"Kat datang daripada keluarga seni. Beliau bermula awal sejak usia 16 atau 17 tahun.



"Beliau memiliki aura pentas yang sangat kuat dan mampu bertahan sejam atau lebih dari itu menghibur pada usia sebegini.



"Sentuhan antarabangsa yang ada padanya membuatkan beliau memiliki kekuatan yang tidak boleh disangkal. Sebab itu, saya gembira beliau pernah dipilih sebagai pengadil Gegar Vaganza bagi memberi semangat kepada penyanyi lain.



"Saya juga berharap generasi penyanyi muda dapat cedok pengalaman daripadanya. Bagi yang datang menonton, diharapkan mereka akan dapat rasakan daya menghiburnya dan tutur katanya yang sarat dengan pengetahuan," tambah Ramli lagi.



Kali pertama mereka bertemu adalah ketika di bawah naungan label rakaman sama, Warner Bros Records, sekitar lewat 1970-an.



Pada waktu itu, kumpulan Sweet Charity (di mana Ramli merupakan vokalis) tampil sebagai artis jemputan dalam konsert Khadijah di Stadium Negara sekitar 1978.



Namun, projek duet mereka hanya 'menjadi' sekitar 1987 apabila album Perjalanan Hidup dihasilkan.



"Ketika itu saya baru sahaja beralih daripada kerjaya berkumpulan bersama Sweet Charity kepada artis solo.



"Saya kaji pasaran muzik bagi meninjau apa yang kurang. Nampaknya pasangan duet seperti Hail Amir dan Uji Rashid sudah tak ada lagi.



"Sharifah Aini dan Broery Marantika pun sudah perlahankan gandingan duet mereka. Maka, saya melihat keserasian antara saya dan Kat. Terhasillah lagu Ku Miliki Bayanganmu.



"Apabila melihat orang boleh menerimanya, maka timbul pula lagu Doa Buat Kekasih dan seterusnya terlahirlah album duet kami. Legenda SM Salim dan Rosiah Chik pula hadir sebagai penyanyi jemputan dalam album itu," kongsinya.



KENANGAN MANIS



Beliau menyifatkan pengalaman merakam album bersama Khadijah, SM Salim dan Rosiah Chik sebagai kenangan manis sebab mereka tidak banyak rewel.



"Memang mereka semua hebat. Rakam dua kali sahaja, semua dah siap. Dah tak perlu ulang lagi keesokan harinya atau tunda rakaman.



"Saya hanya terkilan tiada video klip langsung atau banyak foto sewaktu kami berada di studio ketika itu yang boleh dijadikan bahan bersejarah buat tatapan masa kini.



"Kalau dalam dunia muzik Barat, dah macam-macam mereka kumpulkan bagi tujuan mengarkib sejarah pemuzik handalan. Misalnya, album kompilasi sesi studio dan rakaman konsert secara 'live' BBC Sessions bersama band legenda seperti Led Zeppelin.



"Saya kini perlahan-lahan mengumpulkan bahan seperti foto dan video ini dan pesan kepada anggota keluarga saya agar menyimpannya baik-baik. Siapa tahu kalau saya tiada nanti, ia masih boleh dijadikan rujukan, bukan untuk buat duit tetapi sebagai cebisan sejarah muzik kita," ujarnya lagi.



Tiket bagi konsert Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 berharga antara $65 dengan $255 itu boleh ditempah menerusi kaunter, laman dan talian Sistic.




"Kalau dalam dunia muzik Barat, dah macam-macam mereka kumpulkan bagi tujuan mengarkib sejarah pemuzik handalan... Saya kini perlahan-lahan mengumpulkan bahan seperti foto dan video ini dan pesan kepada anggota keluarga saya agar menyimpannya baik-baik. Siapa tahu kalau saya tiada nanti, ia masih boleh dijadikan rujukan, bukan untuk buat duit tetapi sebagai cebisan sejarah muzik kita."
- Datuk Ramli Sarip, mengenai rancangannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >