Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Papa rok terus dijulang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ANUGERAH JAUHARI SEPANJANG HAYAT

Papa rok terus dijulang

Oct 07, 2017 | 05:30 AM



NILAI harga seni memang sukar dibandingkan dengan dolar, namun jangan sampai seniman begitu "berkira" hingga "jadi pelokek" dalam menghiburkan peminatnya.



Sifat murah hati perlu ada dalam seniman biar setinggi mana namanya sudah dijulang, kata penerima Anugerah Jauhari Sepanjang Hayat Berita Harian 2017, Datuk Ramli Sarip.



"Memang kita perlu wang untuk keperluan harian dan penat lelah kita perlu dibayar. Tetapi kerja seni lain sikit... orang memberi, kita kena lebih banyak memberi. Jangan berkira... jangan lokek. Dah biasa saya dijanji bayar sekian-sekian untuk sejumlah lagu tetapi dah banyak kali saya beri lebih sebab berasa memang perlu beri lebih bergantung keadaan. Sebab itu orang hargai," kongsi Ramli dalam wawancara dengan Berita Harian tentang resepi beliau memenangi hati peminat.



"Dan jadi seniman ini pun bukan setakat menyanyi... peminat suka kalau kita kongsi falsafah, pengalaman hidup, sebab mereka pandang kita sebagai ikon. Jangan hanya menyanyi, tapi jalankan tanggungjawab," ujarnya.



Ramli, 65 tahun, salah seorang daripada dua penerima anugerah tersebut, yang dikeluarkan selaras Anugerah Jauhari tahun ini sempena ulang tahun ke-60 Berita Harian.



Seorang lagi penerima Anugerah Jauhari Sepanjang Hayat ialah legenda bola sepak Fandi Ahmad.



Sebagai seniman yang mampu bertahan selepas merempuh empat dekad dalam persada seni, bahkan semakin mantap di seberang Tambak, resepi kejayaan Ramli pasti menyuntik inspirasi kepada bakat muda yang mahu bertapak.



Walaupun cukup memahami keadaan industri hiburan hari ini, beliau menggesa generasi pelapis agar bekerja keras mengisi diri dengan karya yang membentuk jati diri secara berterusan.



"Kita tak boleh bertahan kalau hanya berani keluarkan single. Lagu tu mungkin meledak sekejap, tetapi lepas tu? Macam mana nak pergi jauh kalau hanya dua tiga single.



"Saya sendiri, untuk hasilkan satu lagi hits, saya kena buat 50 lagu. Ratusan lagu dibuat, tak semua lagu itu menjadi. Kena berani teroka, mencuba dan berkongsi karya kita secara konsisten... baru boleh mantap. Seniman kena ada isi. Perlu ada banyak peluru untuk ditembak... ibarat kalau kita nak shopping, kalau kad kosong, nak beli apa?



"Peluang itu ada dan pentas memang tersedia tetapi akhirnya kuasa pendengar yang menentukan sejauh mana kita bertahan," ujarnya.



Dikenali sebagai penyanyi utama kumpulan Sweet Charity, Ramli juga berjaya membuktikan kemampuannya bergerak secara solo dengan menghasilkan 13 album solo, bermula pada 1985, antaranya, Ramli Sarip, Bukan Kerana Nama (1986), Perjalanan Hidup (1987) dan Kalam Kesturi (2002).



Boleh dikatakan sepanjang empat dekad, beliau secara berterusan berkarya, kecuali ketika menghadapi kemelut yang menjadikan rambut panjangnya sebagai isu sekitar awal 1990-an dulu.



"Satu tahun saya tak buat lagu sebab ilham tersekat. Lagu-lagu tak dimainkan di radio. Saya sampai terpaksa main muzik di kelab malam selama enam bulan sebab nak bayar bil dan ada tanggungan keluarga.



"Tak tahu nak gambarkan perasaan saya masa itu. Mungkin merajuk, marah. Tetapi apabila dilihat balik, ia sebenarnya masa untuk saya berehat dan kaji balik diri saya," ujarnya. Biarpun berambut "gondrong" dan bergelumang dengan dunia rok, Ramli berkata beliau tidak merokok dan tidak pernah menyentuh arak.



Namun insiden "tersekat" itu juga menjadi pemacu beliau bangkit dengan semangat baru, sehingga terlahir album yang menggabungkan unsur rok, Timur Tengah dan tradisional Melayu dengan lirik puitis sentuhan kerohanian, Syair Timur. Antara lagu popular daripada album itu ialah Iqra dan Adam dan Hawa.



Dengan album itu beliau diberi pentas untuk menjayakan festival muzik antarabangsa Womad yang popular sekitar awal 2000 dulu.



"Prinsip saya mudah iaitu kita buatlah yang terbaik kerana benih baik yang disemai itu akan memberikan buah atau hasil yang baik," ujar beliau yang mengakui gemar membaca buku pengetahuan, sejarah dan biografi yang pasti dibelinya "sehingga beratus dolar" setiap kali berpeluang ke toko buku.



Dengan pengisian yang mantap dalam karyanya, Ramli berjaya menjadi antara seniman yang secara berterusan mendapat undang di negara jiran, baik untuk konsert besar, festival, majlis koporat mahupun ke ceruk-ceruk pedalaman seperti perkampungan kaum asli di Sabah dan Sarawak.



Bukan setakat berkonsert, pengalamannya yang luas dan falsafah muziknya sering diambil dalam sesi perkongsian ilmu di universiti-univerisiti Malaysia.



"Bukan bercakap besar, tetapi saya rasa lebih popular pada usia 65 tahun berbanding zaman muda dulu. Saya anggap ini rezeki kerana sentiasa meminta doa daripada orang tua.



" Ke mana pun saya pergi saya ingatkan diri bahawa saya membawa panji. Jangan bercakap bukan-bukan. Jangan malukan diri, bangsa dan negara. Masuk tempat orang, kena faham budaya mereka. Jangan pandai-pandai berpolitik kalau tak faham politik." kongsi beliau tentang kemampuannya mencuri hati peminat seberang.



Namun perjalanan yang panjang tetap disaluti dengan banyak pengorbanan terutama masa dengan keluarga.



Menurut pemuzik yang jarang berkongsi kisah peribadi dengan orang ramai, isterinya, Cik Sapiah Omar, dan anak tunggalnya, Zaheera, yang berusia 30-an tahun, sudah "tidak terkata lagi" tentang pergerakannya menyahut undangan keluar negeri secara kerap.



"Pengorbanan keluarga saya demi kerjaya saya, terlalu besar untuk ditafsirkan dengan kata-kata," ujarnya.



Ini belum termasuk soal kesihatan dan masa rehat.



"Kita bukan seperti penyanyi antarabangsa yang boleh batalkan konsert hanya kerana selsema. Saya pernah sakit... tak berdaya menghadapi hari konsert. Selepas tidur sejam dua, saya kumpul tenaga.. berdoa banyak-banyak dan hadapi penonton yang sudah menanti saya. Saya tak sampai hati batalkan konsert sebab saya tahu peminat dah datang jauh-jauh, beli tiket semata-mata kerana mahu tengok saya menyanyi." ceritanya.



Sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan menjadi pendoman terkuat Ramli melalui hidup dengan tenang.



"Perjalanan saya sangat panjang dan sangat mencabar... tetapi saya melihatnya sebagai satu keindahan dan saya melalui setiap detik dengan penuh rasa syukur," kata Ramli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >