Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

'Pegang teguhlah maksud kerja sungguh-sungguh'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Pegang teguhlah maksud kerja sungguh-sungguh'

Jul 08, 2018 | 05:30 AM



TANYA artis legenda M. Nasir, apakah legasi yang beliau ingin tinggalkan setelah empat dekad menceburi industri muzik, dan jawapan ringkasnya adalah "sungguh-sungguh".



"'Sungguh-sungguh' itu, saya rasa akan menghasilkan kerja yang baik daripada orang yang tidak bersungguh-sungguh.



"Jadi, saya pegang 'sungguh-sungguh' itu dari dahulu apabila saya hendak menjadi penyanyi walaupun perjalanan seni bergelombang juga pada mulanya," kata penyanyi dan penulis lagu terkenal ini yang mendapat gelaran 'Dato'.



M. Nasir, yang nama penuhnya Mohd Nasir Mohamed, telah meraih beberapa gelaran lain termasuk sifu, guru, cendekiawan seni dan legenda.



Kelmarin, beliau meraikan ulang tahun ke-40 penceburannya dalam industri muzik dengan sebuah konsert anjuran Mediacorp VizPro International dan Suria.



Konsert Suatu Masa M. Nasir - Raikan Muzik 40 Tahun itu telah diadakan di MES Theatre di Mediacorp.



M. Nasir, yang lahir di Singapura pada 4 Julai 1957 juga baru mencecah usia 61 tahun.



Berkongsi kisah bagaimana beliau mula menceburi bidang seni di sidang media konsert itu pada Khamis lalu, M. Nasir berkata:



"Saya menceburi bidang seni suara ini dari seni lukis dan saya juga aktif dalam bidang teater dan drama.



"Tapi, muzik ini sesuatu yang besar dalam diri saya kerana sejak kecil lagi saya sudah mula menyanyi apabila saya jatuh sakit dan terpaksa duduk di hospital.



"Saya lompat-lompat atas katil sambil menyanyi lagu P. Ramlee, Tidurlah Wahai Permaisuri. Jururawat yang suruh saya menyanyi dan saya nampak bapa saya tepuk tangan di luar tingkap.



"Itulah kali pertama saya buat persembahan pertama di depan orang," kata M. Nasir, yang meminati lukisan Leonardo da Vinci semasa kecil.



Lulusan diploma dalam jurusan lukisan Barat daripada Akademi Seni Halus Nanyang, beliau bertapak dalam industri muzik Singapura dan Malaysia sejak 1978.



Sepanjang tempoh 40 tahun, M. Nasir telah membina nama sebagai penyanyi, penggubah lagu, komposer, penerbit, penyair, pelakon dan pengarah filem.



Katanya lagi, ketika selalu mendengar muzik pada zaman muda, beliau dapati ada perbezaan yang membuat sesuatu muzik itu lebih bermutu dan bertahan lama.



"Saya sedar bahawa lagu yang saya suka itu ada tahap kemahiran lebih tinggi daripada lagu yang saya tidak suka," ujar M. Nasir.



Justeru, apabila mencipta dan merakamkan lagu buat diri sendiri, katanya, lagunya mesti mengisi jiwa seninya.



"Kalau saya buat lagu untuk orang lain, saya buat lagu supaya ia jadi popular atau ikut tema popular.



"Tapi, apabila saya sendiri buat rakaman, saya buat lagu yang saya sendiri nak, macam lagu Mentera Semerah Padi dan Tanya Sama Itu Hud-Hud," kata M. Nasir.



Beliau merupakan pencipta genre muzik baru dikenali sebagai muzik Nusantara yang menggabungkan bunyi alat muzik tradisional Melayu dengan muzik Barat.



Pendengar diperkenalkan kepada muzik Nusantara menerusi album Solo (1988) yang diperkenalkannya ke Malaysia selepas beliau berpindah ke sana dari Singapura pada lewat 1984.



Lagu single Mustika, yang menggabungkan bunyi gamelan dan angklung, menjadi popular di kalangan pendengar Melayu di kededua negara.



Dalam pada itu, beliau juga telah menghasilkan banyak lagu hit untuk band rok dan penyanyi Malaysia seperti Alleycats, Search, Wings dan Ella.



Lantaran itu, antara album yang beliau anggap telah menaikkan kerjaya nyanyiannya ke puncak jaya dan memberi impak kepada peminat muzik ialah album Mentera Semerah Padi, Tanya Sama Itu Hud-Hud dan lagu-lagu Hari Raya beliau.



"Saya rasa bukan bangga tapi berterima kasih kerana saya terlibat dalam banyak lagu Hari Raya," kata M. Nasir dengan rendah hati.



Membayangkan rancangan masa depannya, M. Nasir sempat bergurau dan berkata:



"Selain mencari duit untuk bayar bil, apa yang kita boleh buat dalam bidang media ini ialah sentiasa adakan penerbitan seperti buat muzikal, penerbitan filem atau televisyen atau persembahan.



"Tetapi, dunia hiburan berubah-ubah dan pihak penyiaran selalu tertarik kepada benda baru. Jadi, kita mesti ikut perubahan dan ini cabarannya," kata beliau.



Malah, beliau tidak menafikan masih lagi berusaha supaya kekal relevan untuk generasi muda akan datang.



"Media sosial ini dunia baru dan cepat berubah. Kalau kita tidak ikut, kita ketinggalan," katanya.



Beliau, bagaimanapun, berkata, jika seorang pemuzik dapat menghasilkan muzik berkualiti, sesuatu lagu itu akan kekal.



"Trend akan berubah-ubah dan akan sentiasa ada orang muda yang mengambil alih orang lama.



"Tetapi, kalau nak muzik kekal, kita ikut trend atau cipta trend baru," katanya.



Namun, jangan fikir M. Nasir selalu menyanyi lagunya dalam ruang peribadi.



"Apabila menyanyi sorang-sorang, saya akan menyanyi beberapa lagu yang saya kira sedap untuk saya nyanyi macam lagu Search, Fantasia Bulan Madu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >