Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Pelakon SG Atikah Suhaime tebar sayap di Nusantara

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelakon SG Atikah Suhaime tebar sayap di Nusantara

Jul 08, 2018 | 05:30 AM



Dengan budaya menonton sakan (binge-watching) menerusi aplikasi seperti Netflix dan Toggle kian berkembang, peluang baru timbul bagi pembikin filem sekarang. Syarikat penerbitan setempat Flipside Stories pun bakal muncul dengan telefilem seram 'Damia' September ini. Ikuti wawancara HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) bersama peneraju Flipside Stories dan pelakon utama Nur Atikah Suhaime.



LIMA tahun bergelar anak seni Singapura yang mencari rezeki di rantauan bukan perkara mudah bagi jelitawan Atikah Suhaime.



Beliau enggan menyerah kalah meskipun berehat seketika selama enam bulan tahun lalu. Ketika itu, beliau bekerja sebagai pegawai pemasaran demi bertukar angin.



Namun, naluri yang mencintai bidang lakonan bak memanggil-manggil agar kembali mengasah bakat yang sudah mendarah daging.



Hasilnya, selepas proses 'mengecas semula tenaga' yang memberinya lebih masa bersama keluarga tercinta, Atikah, 27 tahun, teruja menjayakan pelbagai projek lakonan di Singapura, Malaysia dan Indonesia.



Ditambah pula dengan kedudukannya kini sebagai tunang penggubah lagu dan penyanyi asal Singapura Awi Rafael, si manis ini lebih diperkasa dengan kecekalan agar terus menyumbang bakti pada dunia seni.



Seperti yang dikongsi Atikah, yang nama penuhnya ialah Nur Atikah Mohd Suhaime, ketika ditemui di set penggambaran telefilem seram Damia di Hougang Avenue 8 bagi siaran aplikasi Toggle baru-baru ini:



"Saya bekerja sebagai pegawai pemasaran di Singapura selama enam bulan untuk berehat daripada segala ujian dunia seni. Ia pengalaman singkat tetapi menarik. Berguna bagi saya tukar angin seketika.



"Tapi saya tidak pernah berputus asa dengan bidang hiburan. Saya hanya mahu meluangkan masa bersama keluarga dan usahakan kerja lain dulu.



"Dalam tempoh itu, saya banyak merenung diri dan akhirnya rasa jiwa saya lebih kepada bidang lakonan. Masih ada yang tawar projek lakonan di Singapura tatkala saya bertugas sebagai pegawai pemasaran.



"Maka saya terfikir tak patutlah kalau saya hanya tumpukan fokus pada projek di Malaysia sahaja. Rezeki ada di mana-mana. Lebih baik saya tambah pengalaman dengan berlakon di tiga negara Nusantara.



"Malah, saya baru sahaja tamat penggambaran filem Antologi Rasa di Jakarta. Saya juga ada projek drama Cinta Tiada Ganti di Kuala Lumpur. Tawaran bagi telefilem Damia di Singapura pula amat saya nanti-nanti dengan tangan terbuka."



HIDUPKAN PERANAN DUKUN



Menurutnya, walaupun sudah berkali-kali berlakon filem seram, beliau tidak pernah membawa watak dukun.



"Sukar juga berbual dalam bahasa Sanskrit. Saya perlu mengkaji dengan teliti filem lain yang membabitkan watak dukun mengerikan seperti Pengabdi Setan.



"Saya sebenarnya suka tonton filem seram seperti Conjuring bagi meredakan tekanan dengan terpekik-pekik selepas mengamati perjalanan plot filem macam naik 'rollercoaster'!" dedahnya.



Bagi Damia, telefilem sejajar kepopularan dan ulang tahun rancangan radio Misteri Jam 12 itu, Atikah menggalas peranan Damia, wanita berusia 30 tahun yang membeli karya seni di galeri.



Damia yang penuh misteri dan muslihat itu memikat hati seniman bernama Reza.



Pemuda itu pula pernah melalui pengalaman hitam bertemankan patung kayu yang dikuasai ilmu ghaib.



Ditanya keistimewaan telefilem Damia buat Atikah, beliau tersenyum seraya berkata:



"Ini kisah yang mencetus kesedaran betapa dalam dunia moden pun, masih ada yang bergantung pada ilmu hitam kerana pelbagai sebab seperti hasad dan dendam."



Penulis teringat pertemuan sulung dengan Atikah di pejabat Metrowealth International Group (MIG) di Pusat Dagangan Petaling Jaya Selatan tiga tahun lalu.



"Masa berjalan dengan begitu cepat. Apa yang boleh dikatakan, saya kini lebih berhati-hati dengan suasana sekeliling.



"Nak terus kekal dalam industri hiburan ibarat masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.



"Lebih baik kalau darah daging sendiri membantu mengurus kerjaya seni. Saya lebih selesa dengan ibu.



"Sepanjang lima tahun ini, saya belajar agar lebih relaks dan percaya bahawa rezeki itu Allah tentukan.



"Saya tak perlu terkejar ke sana ke mari sebab ia bukan sahaja memenatkan, malah khuatir pula bak kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Kita sendiri yang akan jatuh kemudian hari," ceritanya.



BERSAMA AWI RAFAEL



Boleh dikatakan di sebalik segala keperitan yang dirasakan dalam menangani ujian dunia seni, Atikah lega apabila menemui sumber motivasi dalam diri tunangnya, Awi Rafael.



Sebagaimana peminat terkejut apabila kededuanya tiba-tiba bertunang Mac lalu tanpa tersebar sebarang berita tentang kisah cinta mereka, Atikah berkata:



"Saya sendiri tak sangka Awi, yang merupakan teman karib saya, bakal suami. Tak terfikir pun beliaulah orangnya apabila kami kenali satu sama lain sebagai rakan artis di Singapura lapan tahun lalu. Di Malaysia pun, kami kawan biasa tapi inilah jodoh.



"Awi banyak memperkasa saya dengan meyakini kebolehan saya. Beliau kembalikan keyakinan dalam diri saya. Beliau bangkitkan semangat agar saya terus berseni secara sihat.



"Kalau jejaka lain kata 'You berhenti berlakon saja selepas kahwin', Awi pula minta saya cuba dan terus cuba. Selorohnya yang banyak pencapaian 'Kenapa you belum menang apa-apa anugerah lakonan? Mesti nak lebihkan kerja keras tau'.



"Saya selesa dengannya kerana Awi memahami kerja saya. Beliau menghormati ibu bapa saya yang juga senang dengan adabnya. Awi juga tahu menggembirakan teman saya."



Ditanya apa yang dilakukan sebagai persiapan bergelar isteri tahun depan, Atikah berkata:



"Saya lebih meluangkan masa bersama keluarga, dalami ilmu agama dan tak keluar lewat malam bersama teman. Dah tak melepak macam dulu."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >