Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Pelapis Yuna mampu cetus fenomena

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pelapis Yuna mampu cetus fenomena

Pengadil Asia's Got Talent kagum dengan potensi kumpulan Nama, Siti Saniyah
AGT
Apr 09, 2019 | 05:30 AM



Benua Asia menawarkan banyak ruang dan peluang bagi lautan bakat dalam pelbagai cabang seni berkembang. Malah, wanita Islam dari Nusantara yang mengikut jejak penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa, Yuna, dalam bidang nyanyian mampu menyerantau dan mencipta nama di persada seni. Ini dapat dilihat menerusi peraduan realiti Asia's Got Talent (AGT) yang menampilkan dua finalis - sebuah kumpulan empat gadis yang dipanggil 'Nama' dari Malaysia dan bakat muda Indonesia, Siti Saniyah. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) mencungkil pengamatan tiga pengadil AGT.



PERSEMBAHAN sekumpulan wanita Malaysia dan seorang bakat solo dari Indonesia yang berhijab ibarat memberi 'tamparan wanita' yang menakjubkan dari segi vokal di pentas peraduan realiti Asia's Got Talent (AGT) Musim Ketiga.



Di dalam kemelut politik sedunia dan situasi gentar, benci dan prejudis terhadap agama Islam yang dipanggil 'Islamophobia', kehadiran kumpulan Nama dan anak muda, Siti Saniyah, menambah kerencaman dan warna pada pertandingan ikonik ini.



Sekali gus, ia dirasakan dapat membetulkan salah tanggapan yang ada tentang agama Islam yang murni dan menguar-uarkan harmoni dan cinta sesama manusia.



Malah, Nama yang diakui barisan pengadil AGT sebagai memiliki kelunakan dan harmoni suara yang baik dirasakan mampu mencipta trend baru girl group berhijab yang keluar daripada genre nasyid.



Demikianlah pengamatan yang dikongsi pengadil bukan calang-calang, penggubah lagu David Foster, penyanyi Indonesia yang berpangkalan di Perancis, Anggun, serta bintang rap dan usahawan Korea yang membina nama di Amerika, Jay Park.



Mereka ditemui Berita Harian dalam wawancara eksklusif di Teater Marina Bay Sands baru-baru ini, di ambang pengumuman keputusan pemenang AGT, Khamis ini.



Ini merupakan AGT Musim Ketiga. Pada 2014, saluran AXN Asia memperolehi francais bagi menghasilkan AGT Musim Pertama pada 2015 disusuli dengan musim kedua pada 2017.



Juara akan membawa pulang AS$100,000 ($135,619) sebagai ganjaran.



Kata Jay, 31 tahun, yang nama sebenarnya, Park Jae-beom:



"Saya menghargai keterbukaan yang kelihatan dalam peraduan ini dalam menerima peserta daripada pelbagai lapisan kaum dan budaya.



"Tanpa mengira betapa mudanya usia mereka, yang menakjubkan apabila mereka membuat saya dan rakan-rakan pengadil kagum kerana bakat yang ditampilkan.



"Saya sukakan kerencaman yang ada. Misalnya, kita ada wanita berhijab dan mereka benar-benar mencetuskan inspirasi dalam iklim politik yang kita sedia maklum."



Anggun, yang nama sebenarnya, Anggun Cipta Sasmi, 44 tahun, pula menambah:



"Sebelum munculnya Nama, sudah ada bintang asal Malaysia, Yuna, yang mencetus fenomena. Kita cuma belum ada kumpulan gadis berhijab, empat serangkai, yang menyanyikan lagu-lagu di luar genre nasyid.



"Saya sebenarnya terkesan dengan kehadiran mereka sebab ia petanda tentang semangat wanita Islam kita untuk maju dan memberikan yang terbaik termasuk dalam bidang seni suara.



"Dalam AGT kali ini, saya gembira kerana banyak suara wanita diketengahkan," dedahnya penuh semangat.



Foster, 69 tahun, dengan nada positif pula berkata:



"Kehadiran Nama ini penting buat tatapan mata dunia. Kita ada empat gadis muda yang hip dan berbakat. Kebetulan, mereka adalah wanita Islam berhijab.



"Melihatkan kesungguhan mereka, saya mengambil iktibar dan inisiatif untuk menyarankan seorang teman di Los Angeles yang sedang mengusahakan drama televisyen tentang kumpulan wanita atau girl group, agar menyisipkan watak seorang anggota kumpulan berhijab buat pengamatan semua.



"Ia sebagai gambaran seorang gadis biasa yang merupakan penyanyi hebat dan gemar bersantai. Kebetulan, dia Islam.



"Suasana sebegini diharap dapat menjernihkan keadaan dan membuat mereka yang menonton lebih peka dan faham tanpa meletakkan sebarang stereotaip dek situasi politik."



Nama merupakan kumpulan kuartet yang terdiri daripada Nur Fazrina, Noor Syamimi, Norfazira dan Nur Farahida.



Persembahan peringkat uji bakat yang menampilkan mereka menyanyikan lagu hit Lady Gaga, Bad Romance, menarik hampir dua juta tontonan YouTube sejauh ini.



Di Instagram pula, jumlah pengikut mereka bertambah mendadak semalaman daripada hanya 4,000 orang kepada lebih 41,000 orang.



Siti Saniyah pula merupakan bakat remaja dari Depok, Jawa Barat, yang tidak putus-putus mengagumkan pengadil dengan suaranya yang jelas dan lantang.



Anggun yang bangga dengan potensi gadis ini menasihatinya agar memanfaatkan sikap yakin dan berhemahnya itu sebagai 'senjata' dalam menakluki dunia hiburan.



Dalam pada itu, ketiga-tiga pengadil ini dapat melihat betapa bakat Asia seperti pemenang musim lalu, The Sacred Riana dari Indonesia, mampu memukau penonton antarabangsa.



Riana, misalnya, tampil dengan aksi persis gadis dirasuk yang membisu seribu bahasa melalui persembahan unik yang menggerunkan tetapi menghiburkan.



Bakat sebegini juga berjaya dibawa ke pentas global kerana francais Got Talent meluas termasuk di Britain dan Amerika.



"Pencapaian Riana membuatkan saya rasa bakat Asia ini mempunyai potensi dikenali ke pentas lebih besar, bermula dengan pertandingan serantau. Perlahan-lahan, bakat mereka akan ditebar dengan kegigihan," tambah Anggun.



Ditanya tentang harapannya jika AGT diteruskan bagi musim selanjutnya, Jay pula berkata:



"Saya berharap akan ada penyanyi rap yang baik bertanding di AGT.



"Kita mempunyai ramai bakat rap di serata Asia. Sebelum ini kita sudah tonton seorang nenek memberikan versi rap beliau. Pastinya ada ramai lagi yang berkebolehan besar."



  • Keputusan AGT akan diumumkan pada 8.30 malam, Khamis ini di saluran AXN. Undian bagi peserta pilihan boleh dibuat menerusi Google Search dan Facebook Messenger sehingga 11.59 malam esok. Lungsuri www.AXN-Asia.com/AGTVote. bagi keterangan lanjut.


APA KATA PENGADIL



"Kehadiran Nama ini penting buat tatapan mata dunia. Kita ada empat gadis muda yang hip dan berbakat. Kebetulan, mereka adalah wanita Islam berhijab. Melihatkan kesungguhan mereka, saya mengambil iktibar dan inisiatif untuk menyarankan seorang teman di Los Angeles yang sedang mengusahakan drama televisyen tentang kumpulan wanita atau 'girl group', agar menyisipkan watak seorang anggota kumpulan berhijab buat pengamatan semua. Ia sebagai gambaran seorang gadis biasa yang merupakan penyanyi hebat dan gemar bersantai. Kebetulan, dia Islam. Suasana sebegini diharap dapat menjernihkan keadaan dan membuat mereka yang menonton lebih peka dan faham tanpa meletakkan sebarang stereotaip dek situasi politik."
- David Foster.




"Sebelum munculnya Nama, sudah ada bintang asal Malaysia, Yuna, yang mencetus fenomena. Kita cuma belum ada kumpulan gadis berhijab, empat serangkai, yang menyanyikan lagu-lagu di luar genre nasyid. Saya sebenarnya terkesan dengan kehadiran mereka sebab ia petanda tentang semangat wanita Islam kita untuk maju dan memberikan yang terbaik termasuk dalam bidang seni suara. Dalam AGT kali ini, saya gembira kerana banyak suara wanita diketengahkan."
- Anggun.



"Anda harus gigih mencuba dan memperkasa kemahiran anda, perhalusi apa yang sedang dilakukan dan tidak mudah putus asa. Yang penting adalah konsistensi dalam setiap persembahan."
- Jay Park.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >