Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Peluang bangun sistem atasi kesulitan landskap siber

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Peluang bangun sistem atasi kesulitan landskap siber

Apr 18, 2019 | 05:30 AM



PADA awalnya, Encik Zafran Azhar ingin mengambil kursus Diploma Perniagaan di politeknik kerana memikirkan rancangan membangun usaha niaganya sendiri.



Namun, ayahnya Encik Azhar Kassim, 55 tahun, seorang usahawan, menggalakkannya mengikuti pengajian futuristik dalam bidang forensik digital demi masa depannya.



Encik Zafran, 20 tahun, tidak menyesali usulan ayahnya malah bercadang meneruskan pengajian dalam bidang tersebut atau kecerdasan buatan (AI) yang amat diperlukan pasaran kerja Singapura.



Lebih disyukuri adalah peluang bekerja sambil belajar dengan syarikat ST Engineering Electronics selama sembilan bulan.



Beliau diminta membantu syarikat itu membangun Sistem Pembangunan Kekunci yang mampu mengatasi kesulitan dalam landskap siber yang pesat berubah di mana kata laluan yang biasa digunakan tidak lagi selamat.



Justeru, huraian yang perlu dilaksanakan adalah dengan mengenalkan pengesahan dua faktor (2FA) yang bertindak seperti lapisan pelindungan sewaktu proses pengesahan dibuat.



Kaedah 2FA ini hanya akan terlaksana dengan si pengguna memanfaatkan kekunci kriptografik dalam bentuk pesanan SMS atau peralatan fizikal yang diperlukan bagi pengesahan.



Sistem Pengurusan Kekunci, tambah Encik Zafran pula, membantu pentadbir teknologi maklumat di ST Engineering Electronics menguruskan kekunci kriptografik bagi produk yang dipanggil 'The Black Computer'.



Produk ini merupakan komputer yang mantap lagi menggunakan token fizikal dalam bentuk alat bas bersiri semesta (USB) yang harus disisipkan pada komputer bagi pengesahan.



Sistem itu pula menggunakan teknologi imbasan kod bar yang menjimatkan masa dan lebih mudah digunakan.



Buat masa ini, sistem tersebut masih dalam fasa pembangunan bagi kegunaan ST Engineering pada masa akan datang.



Ia menambah nilai pada perniagaan yang dijalankan dengan memperbaiki daya pengurusan dan penjejakan token kriptografik menerusi automasi yang membantu mengurangkan kos tenaga kerja.



Ketika ditemui di TP baru-baru ini, Encik Zafran, anak bongsu dua beradik, menjelaskan bahawa beliau banyak belajar tentang cara sesebuah syarikat beroperasi.



"Saya mampu mengamati bagaimana sesebuah produk dihasilkan di ST Engineering Electronics.



"Saya sendiri mampu mengusahakan projek yang benar-benar digunakan syarikat itu di samping mempelajari pelbagai proses yang diperlukan bagi membereskannya.



"Memang wujud cabaran dalam menjana sofwe pada skala penuh. Banyak komponen kecil yang perlu disatukan. Saya juga perlu belajar bahasa komputer yang baru dalam masa yang singkat. Banyak perkara yang tidak boleh diperolehi menerusi enjin pencari Google.



"Melalui pengalaman ini, saya mampu mempelajari perkara baru termasuk berurusan dengan kumpulan jurutera," jelasnya lagi.



Memandangkan Encik Zafran pernah terlibat dalam kegiatan robotik sewaktu di sekolah rendah, beliau dapat membayangkan bidang keselamatan siber dan AI mencorak kerjaya masa depannya.



"Saya belajar teknik berfikir dan menghurai masalah dengan berkesan di TP. Saya juga berharap dapat menimba ilmu AI di masa akan datang sebab ia adalah ilmu terkini yang akan lebih dimanfaatkan dalam dunia pekerjaan akan datang," katanya.



Selain bapanya, ibunya, Cik Zulaiha Yusuf, 56 tahun, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, merupakan sumber dorongannya.




S'pura tambah pelaburan tangani ancaman siber



LEBIH $500 juta bakal diperuntukkan bagi membangun sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan mempertingkat keselamatan siber di bawah Pelan Penyelidikan Inovasi dan Perusahaan 2020.



Inilah yang diumumkan Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, lewat bulan lalu, sebagai melakar usaha Singapura menambah pelaburan dalam penyelidikan makanan, perubatan dan teknologi digital.



Langkah itu dibuat bagi menjadikan negara ini kekal berdaya saing bagi manfaat jangka panjang.



Dana yang diperuntukkan itu juga akan memperkasa keupayaan sumber superkomputer negara ini selain membiayai pengerahan robotik dan automasi.



Lagi $80 juta akan dilaburkan dalam keupayaan pengilangan sel bagi terapi sel yang disifatkan sebagai masa depan perubatan.



Dalam pada itu, pemerintah juga mengumumkan pelaburan sebanyak $22.7 bilion bagi menyokong pertahanan, keselamatan dan usaha diplomasi termasuk melindungi negara ini daripada ancaman siber yang berleluasa.



Sebagai langkah tambahan, pemerintah juga mengambil langkah menggalak latihan, industri dan persediaan bagi keselamatan siber.



Pertahanan Digital turut diperkenalkan sebagai tunggak keenam strategi Pertahanan Mutlak Singapura dalam memastikan setiap orang, baik individu, masyarakat, pemerintah dan pertubuhan swasta berperanan dalam menangani ancaman siber.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >