Peluang hulur bantuan bencana di luar negara

SIFAT ingin membantu sentiasa dekat di hatinya.

Oleh itu, tidak hairan apabila Encik Muhammad Haikel Mohamed, 30 tahun, mengambil keputusan untuk menceburi bidang kejururawatan.

"Setelah mendapat keputusan peperiksaan GCE 'O', saya layak memasuki Maktab Rendah.

"Namun, setelah belajar di Maktab Rendah Jurong selama setahun, saya mendapati bahawa saya ingin melakukan sesuatu yang lebih praktikal dan dapat membantu orang lain," jelasnya.

"Saya kemudian mencari jurusan yang dekat dengan hati saya. Meski jurusan kejururawatan tidak begitu terkenal ketika itu, saya tertarik untuk mengambilnya," tambah beliau.

Encik Haikel kemudian berhenti bersekolah di maktab rendah dan mengambil jurusan kejururawatan di Politeknik Nanyang (NYP).

"Dermasiswa yang saya terima di sekolah dahulu juga telah mendorong saya untuk memberi kembali kepada masyarakat," kata beliau.

Setelah tamat persekolahan di politeknik, Encik Haikel ditawar bekerja di sebuah hospital terkenal di Singapura dan juga di Mercy Relief.

"Saya mengambil keputusan untuk bekerja di Mercy Relief kerana sebelum itu saya pernah menjadi seorang sukarelawan di sana," ujarnya.

Kini, Encik Haikel bekerja sebagai seorang Pakar Sokongan Psikososial di Akademi Palang Merah Singapura (SRC).

Beliau merupakan seorang pelatih, pemberi nasihat dan pakar perunding dalam bidang tersebut.

Sebelum mengambil jawatan itu, Encik Haikel juga pernah bekerja bagi FoodAid atau bantuan makanan di SRC.

Beliau juga terlibat dalam bantuan bencana ke luar negara sebagai seorang ketua kumpulan.

"Ketika menghulurkan bantuan di luar negara, saya mempelajari banyak perkara. Ketika saya bertugas di Nepal pada 2015, orang dewasa serta warga emas di sana tidak tahu bertutur dalam bahasa Inggeris. Kanak-kanak di sana merupakan penterjemah kami di sana," cerita Encik Haikel.

Baginya, pengalaman itu amat bermakna kerana beliau bukan hanya memberi bantuan kepada masyarakat di sana tetapi beliau juga menerima bantuan dari mereka.

Pendidikan yang diraihnya ketika di NYP juga membantu beliau dalam kerjayanya di SRC.

"Ketika saya bertugas di Padang, Indonesia, pada 2015 pula, saya dikehendaki melakukan rawatan tekanan darah buat pesakit di sana kerana pasukan kami mempunyai kekurangan kakitangan.

Pengetahuan asas dalam bantuan kecemasan yang saya perolehi dari NYP memberi saya peluang untuk menghulurkan bantuan," ujar beliau.

Galeri Foto