Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Pemandu kecil molek gagahi lumba maraton kereta futuristik

Gaya Hidup
31
0

Pemandu kecil molek gagahi lumba maraton kereta futuristik

Mar 11, 2018 | 05:30 AM

DI sebalik tubuh kecil moleknya dan berat badannya yang tidak sampai 50 kilogram, Cik Shazreen Ramli memiliki semangat waja yang tidak gentar mencuba kegiatan lasak.

Pelajar tahun kedua Diploma Mekatronik daripada Politeknik Temasek (TP) itu malah rasa bertuah dipilih sebagai salah seorang pemandu kereta futuristik yang sempit dalam Perlumbaan Ekomaraton Asia anjuran Shell.

Acara dari Khamis lalu hingga hari ini, yang disertai lebih 120 pasukan pelajar dari serata Asia-Pasifik dan Timur Tengah itu, diadakan sebagai sebahagian pesta inovasi sejagat Shell, Make The Future, yang membincangkan cabaran kegunaan tenaga sedunia.

Pasukan TP menyertai maraton di Pusat Pameran Changi itu dalam kategori prototaip buat julung-julung kalinya.

Kemenangan ditentukan dengan menilai sejauh mana sesebuah kereta itu dapat bertahan dengan kandungan bahan bakar paling sedikit.

Ia mempertaruh kereta canggih yang menggunakan sel bahan bakar hidrogen paling kecil dan paling ringan di dunia.

Sel seringan 0.88 kilogram itu dibangunkan TP dengan kerjasama syarikat Duralite Power. Ia 10 kali lebih kecil dan lebih ringan daripada sel serupa dalam pasaran.

Selain bagi kegunaan kereta futuristik ini, ia turut dimanfaatkan bagi mengemudi dron dan skuter dalam projek berasingan politeknik itu.

Ketika ditemui Gah! di TP, Cik Shazreen berkata:

"Saya sebenarnya memang sukakan kegiatan lasak yang membawa kepada pecutan adrenalin.

"Teruja dapat memandu kereta futuristik yang menggunakan sel bahan bakar ini. Saya belum ada lesen kereta tetapi dah ada peluang membawa kereta canggih ini.

"Sangka saya sukar memandunya. Ternyata, tidak susah dan mudah dikawal. Saya rasa selamat berada di dalam kereta yang bentuknya seperti kapsul ini.

"Saya hanya perlu peka agar tidak terlalu teruja dan memecut laju sewaktu diperlukan membelok di selekoh. Takut terbalik nanti dan membahayakan keselamatan."

Cik Shazreen juga banyak belajar tentang operasi kereta ini dan bahagian elektrik serta litaran yang dihubungkan bagi menggerakkannya.

"Saya juga belajar tentang bagaimana tenaga dialihkan daripada sel bahan bakar ini bagi membolehkan kereta ini bergerak," jelasnya.

Dalam pada itu, Cik Shazreen yang mengambil jurusan mekatronik sebagai menggarap kemahiran teknikal yang ingin dimanfaatkan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, gembira maraton sebegini memberi peluang kepada kaum Hawa berlumba di litaran.

"Zaman sekarang dah jauh lebih maju. Ramai wanita menceburi kegiatan lumba dan tahu selok-belok menggerakkan kereta canggih," katanya.

Namun, di sebalik terciptanya kereta futuristik itu merupakan pasukan pelajar lelaki daripada kursus Diploma Mekatronik dan Diploma Tenaga Dibaharui TP.

Antaranya Encik Muhammed Ashrauf Mohammed Kotharisa dan Encik Muhammed Firdaus Sayari, kededuanya 20-an tahun.

"Walaupun tiada latar belakang reka bentuk, saya gembira dapat mencipta sejarah bersama TP dalam membangun projek kereta futuristik ini.

"Ia menguji ketangkasan dan kesediaan bekerjasama dengan pelajar lain," jelas Encik Muhammed Firdaus.

Encik Muhammed Ashrauf pula menambah:

"Saya membantu mengendalikan litar elektrik kereta ini. Bagi saya, cabaran utama adalah menyisipkan idea saya apabila projek itu sudah pun diusahakan selama beberapa bulan. Namun, ia satu latihan yang baik buat saya tambah ilmu bagi kegunaan penglibatan TP dalam maraton tahun depan."

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3