BAHAS 4PM

Pembahas terbaik gemari cabaran pidato

BELIAU ingin mencabar diri sendiri dalam dunia pidato umum.

Sungguhpun baru kali pertama menyertai pertandingan bahas, beliau berjaya merangkul bukan sahaja gelaran Pembahas Terbaik Peringkat Akhir malah Pembahas Terbaik Keseluruhan Bahas Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) 2019.

Dia membawa pulang piala dan baucar.

Mohd Rizq Irfandi, pelajar berumur 18 tahun St Joseph's Institution (SJI), akui sebelum ini lebih banyak bertutur bahasa Inggeris.

"Selalunya saya bertutur dalam bahasa Inggeris dengan rakan dan keluarga, di sekolah dan di rumah.

"Saya rasa cara terbaik mengatasi cabaran ini adalah melakukan banyak persiapan dan menggalak minda serta lidah selesa bercakap dalam bahasa Melayu.

"Saya juga berusaha berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik, jadi tidak sukar membuat pertukaran," ujarnya.

Kebanyakan persediaan dilakukan bersama rakan dan guru. Misalnya, mereka mengadakan perbincangan dan interaksi demi mempersiap minda dan mengasah kespontanan.

Sebagai pembahas, beliau cuba memahami keseluruhan gambaran keadaan, memahami penerangan dan contoh rakan sepasukan dengan baik.

Beliau turut menghafal dan melafazkan skrip berulang kali. Guru dan ibunya turut membantu mengasah hala tuju dan gaya penyampaian.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu kerana membantu saya memperbaiki cara penyampaian. Beliaulah banyak mengajar misalnya daripada segi intonasi dan isyarat tangan.

"Beliau selalu memberikan sokongan dan mempercayai kebolehan saya," ujar Mohd Rizq, tentang ibunya, Cik Lily Kasim, 40 tahun, yang bertugas sebagai ejen hartanah.

Rakan sepasukan, Kamal Ashraf, berpendapat bahawa Mohd Rizq mempunyai keupayaan menyesuaikan diri.

"Memandangkan setiap mauduk berbeza, setiap pusingan yang kami lawan, selalu ada sesuatu yang berbeza yang perlu diubah.

"Antara kami, dia sentiasa terpantas berubah. Itu bermakna dia dapat membaca keadaan secara lebih baik, justeru membolehkannya mempunyai kebolehan membahas," ujarnya.

Tambah Mohd Rizq:

"Bahas benar-benar mengasah pemikiran kritis dan spontan, selain meningkatkan pemahaman bahasa. Namun, perkara paling penting ialah kerja secara berpasukan.

"Saya benar-benar percaya bahawa saling membantu semasa persiapan dan juga semasa pertandingan itu sendiri sangat penting."

Apa yang diperlukan jika mahu menjadi pembahas baik adalah memahami mauduk sepenuhnya serta menyediakan jangkaan sudut pandangan pihak lawan.

Beliau turut berkongsi nasihat guru sekolah menengahnya, Encik Sazali Sahri.

Encik Sazali selalu mengingatkan pelajar supaya berusaha dan berdoa, dan meletakkan usaha sebanyak mungkin. Selebihnya adalah di tangan Tuhan.

Berkenaan kemenangannya, Mohd Rizq berkata:

"Bohong jika saya kata saya tidak berbangga dengan diri sendiri. Ini sememangnya kejayaan besar memenangi dua anugerah tersebut, apatah lagi di peringkat kebangsaan.

"Matlamat utama saya adalah membuat ibu dan keluarga bangga dan saya boleh berkata sekarang bahawa saya telah mencapainya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu, keluarga, guru dan kawan yang menyokong saya sepanjang perjalanan.

"Ini disebabkan mereka percaya kepada saya, maka saya percaya kepada diri saya sendiri."