BELASUNGKAWA

Pemergian A. Rahman kehilangan besar dalam dunia muzik Melayu

PEMERGIAN penyanyi popular era 1960-an, Datuk A. Rahman Hassan, 73 tahun, dianggap satu kehilangan besar kepada dunia muzik Melayu kerana pengaruh dan kepimpinan yang ditunjukkan selama hayatnya.

Beliau telah diangkat sebagai antara ikon era 'Pop Yeh Yeh' sebagaimana Allahyarham M. Osman dan Datuk Jefridin Atan, yang masing-masing dilihat cemerlang membina kerjaya dalam bidang muzik.

Antara lagu popularnya, Tak Mengapa, merupakan irama ikon yang cukup diingati dan digemari sehingga hari ini.

A. Rahman meninggal dunia pada kira-kira 12.40 malam tadi akibat komplikasi paru-paru.

Penyanyi veteran ternama itu sebelum ini ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang akibat pendarahan otak dan angin ahmar.

Anak Allahyarham, pelakon Khir Rahman, menerusi Instagram semalam berkata bapanya meninggal dunia dalam keadaan tenang, dengan disaksikan isteri sekarang bapanya itu, pelakon Fadilah Mansor, 59 tahun, dan kedua-dua anaknya.

Pada 2 Jun lalu Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas.

Difahamkan, Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita) itu mengalami kesukaran bernafas dan ditahan di bilik rawatan selama 12 jam dan dibenarkan pulang sehari sebelum menjelang Syawal.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dalam Facebooknya berkata beliau bersedih atas pemergian pengasas Kumpulan Orkes Nirwana itu dan turut berkongsi gambar ketika bertemu dengan A. Rahman di Port Dickson, April lalu.

"Saya berkesempatan bertemu Allahyarham ketika beliau menghadiri program Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di Port Dickson pada 21 April lalu.

"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh," katanya hari ini.

Wartawan ulung Malaysia, Tan Sri Johan Jaafar, berkata Allahyarham merupakan ikon era 'Pop Yeh Yeh' yang cemerlang dalam dunia seni.

Katanya, Allahyarham juga merupakan bintang yang banyak berjasa membantu rakan-rakan artis dengan menjadi suara dalam kalangan seniman, khususnya yang kurang bernasib baik.

"Perjuangan beliau tidak akan dilupakan. Bersama tokoh-tokoh lain, beliau turut mencorakkan suasana muzik dan seni lagu zaman itu," tambahnya

Khir Rahman memberitahu, jenazah bapanya akan dibawa ke kediaman keluarga di Taman Sri Ukay sebelum dikebumikan selepas zuhur di Tanah Perkuburan Taman Keramat.

Allahyarham A. Rahman meninggalkan tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman - hasil perkahwinannya dengan Azizah Mohamad, juga penyanyi era 1960-an yang meninggal dunia pada 26 April 2013 akibat barah.

A. Rahman berkahwin dengan pelakon Fadilah Mansor pada 25 Disember 2014 dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau pernah memenangi Anugerah Tokoh Kepimpinan Industri Muzik dalam Anugerah Kecapi Papita pada 2006.

Pemergian A. Rahman ini bermakna tiga bintang daripada era 1960-an dan 1970-an meninggal dunia dalam tempoh empat minggu.

Pada 26 Mei lalu penyanyi yang terkenal dengan lagu La Obe dan Nga Lompak A Go Go, Kassim Selamat, meninggal dunia akibat sakit tua.

Allahyarham Kassim meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Allahyarham merupakan penyanyi utama kugiran Kassim Selamat & The Swallows.

Pada 28 Mei pula penyanyi Datuk Dahlan Zainudin yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan meninggal dunia pada usia 78 tahun selepas beberapa hari tidak sedarkan diri setelah diserang angin ahmar. - BHM, Utusan Malaysia.