Pemuzik tradisional terharu hasil gubahan dimainkan SSO sempena Hari Kebangsaan

KARYA muzik yang dicipta Cik Syafiqah 'Adha Sallehin bagi persembahan teater tari dan muzik, Ikan Girl, pada 2016 yang sepanjang 40 minit dimainkan dengan alunan lima alat muzik sahaja.

Pemuzik tradisional itu kini diminta menghasilkan versi orkestra pula, yang panjangnya cuma empat minit.

Cik Syafiqah memilih salah satu tema karya tersebut, dan mengolahnya semula supaya ia sesuai dimainkan orkestra yang mempunyai jauh lebih banyak alat muzik.

Hasilnya, yang diberi nama Bidasari akan dipersembahkan oleh Orkestra Simfoni Singapura (SSO) di Dewan Konsert Esplanade esok.

Dihubungi kelmarin, Cik Syafiqah, guru adjung yang mengajar Ensembel Fusion Melayu di Sekolah Seni Singapura (Sota), berkata beliau terharu diberi peluang menghasilkan karya muzik untuk dimainkan SSO.

"Ia cuma karya kecil dan tidak seberapa. Tapi saya rasa amat terharu dengan peluang yang diberikan," kata Cik Syafiqah, 28 tahun, yang mendengar karyanya itu dimainkan oleh SSO buat kali pertama kelmarin.

Beliau menerangkan, karya asal bagi Ikan Girl, yang dipersembahkan sempena Pesta Muzik Antarabangsa Singapura, dimainkan dengan menggunakan akordion, piano, biola, seruling dan alat genderang.

Ikan Girl dipadankan daripada karya mitos Syair Bidasari, yang kisahnya serupa cerita dongeng Inggeris, Snow White.

Pengarah pesta itu, Encik Darrell Ang, yang juga pemimpin SSO, telah melantik Cik Syafiqah sebagai pengarah muzik persembahan itu dan kemudian meminta penggubah itu agar menghasilkan versi orkestra yang lebih singkat.

Menurut Cik Syafiqah, susunan muzik Bidasari telah pun beliau siapkan pada 2016 namun muzik itu disimpan dahulu sementara mencari masa yang sesuai memainkannya kepada orang ramai.

Katanya, ilham bagi Bidasari, yang diraih daripada karya Ikan Girl, berdasarkan watak Bidasari yang disifatkan sebagai gadis yang lemah lembut.

"Bidasari ditemui seorang saudagar di dalam hutan bersama seekor ikan di dalam mangkuk berisi air di sebelahnya. Apabila saudagar itu keluarkan ikan tersebut daripada air, Bidasari berhenti bernafas. Hidupnya berkait dengan ikan itu.

"Bidasari membesar menjadi wanita yang cantik, dan seorang permaisuri yang cemburu akan kecantikan Bidasari mahu menghapuskannya. Akhirnya Bidasari diselamatkan oleh seorang putera.

"Berdasarkan kaitan Bidasari dengan ikan dan air, saya membayangkan karya muzik saya sebagai penuh keajaiban dan fantasi," kata Cik Syafiqah.

Bunyi air yang mengalir dihasilkan menggunakan piano dan hap (harp).

Memandangkan Bidasari sebuah cerita rakyat Melayu, Cik Syafiqah menyertakan juga elemen muzik Melayu dalam karyanya.

"Saya gunakan bunyi seruling yang dimainkan dalam alunan muzik Melayu bagi menggambarkan watak Bidasari," katanya.

Konsert Hari Kebangsaan SSO bermula pada 7.30 malam.

Semua karya yang akan dimainkan digubah oleh enam komposer setempat.

Waktu Solat

Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
3 HR PSI: 35
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.