Subuh
5:27
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Gaya Hidup

DI PAWAGAM

Pengarah 'Paskal' ingin terus perjuang filem aksi

Nov 21, 2019 | 05:30 AM

APABILA filem aksi pertama arahannya, Paskal (Pasukan Khas Laut), mencatat kutipan 'box-office' sebanyak RM$28.98 juta ($9.48 juta) tahun lalu, Adrian Teh pastinya ingin mencapai keuntungan dan respons lebih baik bagi filem aksi keduanya, Wira.

Beliau malah berharap dapat menghasilkan filem aksi luar biasa yang akan memenuhi cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

Namun Teh, 35 tahun, yang ditemui di Hotel Grand Park City Hall akur banyak cabaran yang perlu dihadapi dalam merealisasikan impiannya itu.

"Selama ini, saya memang nak buat filem aksi yang hebat dan lain daripada lain. Sebelum ini, saya terbiasa buat filem komedi dan seram.

"Bajet bagi filem aksi amat besar. Sebagai pengarah filem Cina yang ingin mengarah filem Melayu di Malaysia, saya perlu lebih yakinkan pelabur bahawa apa yang saya usahakan bukan main-main.

"Mujurlah, kejayaan Paskal memberi pelabur keyakinan bahawa saya boleh menggalas tanggungjawab dan amanah bagi mengarah filem aksi yang besar ini," jelasnya yang ke Singapura bagi satu sesi mempromosikan Wira yang kini ditayangkan di pawagam Golden Village.

Teh melihat jalan cerita yang jauh beza antara Paskal dengan Wira meskipun berkongsi genre aksi yang sama.

"Dalam Paskal, ia mengisahkan tentang sekumpulan komando tentera laut yang sanggup korbankan nyawa dan masa demi negara.

"Kerana pengorbanan itu, mereka tidak banyak habiskan masa buat keluarga kerana kerap kali ditugaskan bagi misi khas.

"Namun dalam Wira, ia mengisahkan tentang komando yang pencen awal untuk balik kampung dan meluangkan masa bersama keluarga. Justeru, sebagai pengarah dan insan kreatif, saya perlu fikirkan penceritaan yang berbeza," tambahnya lagi.

Teh yang sebelum ini banyak menghasilkan filem romantik dalam bahasa Cina, Ice Kachang Puppy Love, The Golden Couple dan The Wedding Diary, akur bahawa wujud jangkaan tinggi dalam kalangan penonton mengenai filem Wira.

"Pastinya sebilangan penonton datang ke pawagam dengan harapan Wira akan memberi kesan serupa yang 'wow' seperti Paskal.

"Namun saya perlu ingatkan kedua-dua filem berbeza. Sebab Wira mempunyai keseimbangan dari segi jalan cerita ketenteraan dan juga skop di luar dunia tentera," jelasnya.

Ditanya mengapa beliau mengekalkan pelakon bertubuh sasa, Hairul Azreen, sebagai wira dalam Wira sama seperti Paskal, Teh tersenyum seraya berkata:

"Saya senang bekerjasama dengan Hairul sebab beliau merendah hati dan profesional. Lakonannya kian hari kian baik dan menampakkan kemajuan.

"Hairul juga mempunyai kemahiran seni mempertahankan diri taekwondo malah boleh disifatkan sebagai pelakon 'pakej'. Kerana itu, saya suka bekerja dengannya malah tahu Hairul adalah pilihan utama bagi watak Hassan dalam filem ini."

Dalam pada itu, kerana filem ini dimuatkan dengan bermacam babak bergasak dan sepak terajang, selama empat bulan Teh memastikan pelakonnya sudah mahir menghafal setiap gerak langkah yang dibuat.

"Saya ingin segala aksi mereka nampak meyakinkan. Kita perlu peka dalam banyak perkara meliputi aspek teknikal dan juga rakaman adegan dari sudut khusus yang akan memberi paparan terbaik dari segi sinematografi," ujarnya lagi.

Selebihnya, Teh ingin filem ini menyentuh perasaan ramai kerana mengisahkan tentang Hassan yang membawa diri menjadi tentera dan ingin menebus semula dirinya dan masa yang terbuang berjauhan sebagai seorang anak.

"Saya suka apa yang saya buat dan ingin menghasilkan lebih banyak filem aksi dalam tempoh dua tahun mendatang selagi ada permintaan. Kata orang, dalam setiap pekerjaan yang kita buat, kita perlu suka apa yang dilakukan. Kalau tak suka, takkan menjadi dan tak sampai apa yang telah kita bayangkan dalam minda," jelas Teh lagi. - HARYANI ISMAIL

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian