Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Penggiat seni lancar buku puisi sulung

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penggiat seni lancar buku puisi sulung

Jul 18, 2018 | 05:30 AM



CURAHAN ilham penggiat seni berbilang disiplin setempat Noor Iskandar sering tersimbah pada kertas foto.



Daya kreatif penggiat tersebut, yang nama penuhnya ialah Muhammad Noor Iskandar Othman, 29 tahun, banyak menyelami unsur estetika dan kerohanian, serta perasaan dan perjalanan insan.



Di laman perkongsian gambar dan video Instagram, Noor berjaya menarik hampir 11,000 pengikut dengan lampiran kekata puitis pada gambar yang dipetik.



Justeru, beliau rasa sudah tiba masa menzahirkan seni kata yang diasahnya sejak remaja itu dalam bentuk buku.



Noor memperkenal himpunan sulung 36 puisi dan prosa berjudul For(god): A Remembrance of Love in the Path of Losing pada 27 Mei lalu sempena hari lahirnya.



Buku setebal 69 muka itu dilancar dalam majlis yang dihadiri tidak kurang 50 orang di Bussorah Street pada 7 Julai lalu.



"Buku ini hasil doa dan dorongan kenalan rapat dan juga jauh. Merekalah yang membakar semangat saya.



"Sekarang rasanya tepat melakukannya (terbit buku), umpama meminta restu daripada Ilahi untuk membentangkan seni ini.



"Saya rasa rendah hati dan terharu dihadiahkan insan yang terbuka hatinya mahu meresap isi hati saya sendiri," ujar pemegang ijazah sarjana muda seni halus bidang fotografi dan pengimejan digital Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu ketika ditemui di pelancaran.



Menurut Noor, beliau mula menulis puisi dan prosa dengan gaya dalam buku itu pada 2014.



Malah, beliau sendiri yang mereka hias kulit dan tata letak buku.



Penerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong 2016 itu berharap agar buku tersebut menjadi seakan 'hadiah' meredakan buat alam semesta yang hingar bingar hari ini.



Anak kedua dalam keluarga empat beradik itu, yang juga terkenal sebagai pengembara, menambah bahawa beliau mahu karyanya pulang ke tempat yang pernah dikunjunginya seperti Iran, Turkey dan Balkan, sebagai tanda kasih dan rindu.



"Saya memegang falsafah yang mana setiap karya yang dimanifestasikan harus ada ketersambungan dengan jati diri, siasah dan naluri anak seni itu. Kalau ia lari, seni itu mati. Seni itu janggal dan tidak dapat hidup rasa dan kesahihannya.



"For(god) tiada beza - ia keluhan, ibarat doa antara saya dengan Maha Pencipta, intim, seperti semua cabang seni lain yang saya ceburi. Tentang kehilangan, kealpaan, pengingatan, kecintaan... Percubaan mencari semula 'nur' yang seringkali malap dengan pancaroba.



"Setiap insan ada versi 'nur' sendiri, versi keimanan dan kepercayaan masing-masing. Saya mahu pembaca tahu mereka harus menjunjung segala bicara tersebut," ujarnya.



Pelancaran bukunya turut diserikan deklamasi puisi tiga sahabatnya - pengasas syarikat keusahawanan sosial Herzy Hosini, 33 tahun; guru seni Siti Fatimah Mustaffa, 30 tahun; dan penyair muda Nur Zeha Hassim, 18 tahun.



"Sebahagian besar pelancaran ini adalah menampilkan suara penyair seperti mereka yang tidak kedengaran demi menonjolkan kerencaman dunia kepenyairan. Ia umpama menoreh ruang bagi suara terpencil yang setanding kualiti dan raganya," ujar Noor.



Akhir kata, beliau kini mengusahakan buku kedua berjudul I Love Too Quietly yang dijadual terbit hujung tahun ini. Buku kedua itu juga dijangka memuatkan puisi dan prosa persis For(god).



"Jika For(god) buat Ilahi, buku kedua ini buat sang pencinta dan pematah hati. Ciri kerohanian pasti ada, cuma rangsangan puisinya berbeza," ujarnya, yang kini mahu memberi tumpuan meneroka dunia Nusantara.



"Saya berharap lebih banyak suara dalam seni berani tampil, menyebarkan cahaya, menawarkan kelembutan dalam amarah dan menjulang perteduhan bagi jiwa seragam."



Buku For(god) boleh didapatkan pada harga $20 di Wardah Books, Bussorah Street, atau hubungi Noor sendiri menerusi akaun instagram @nooriskandar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >