Pengukir arca 'balik kampung' demi warnai rumah kedai Emerald Hill

HATI pengukir arca Cik Nabilah Nordin yang sudah menetap dan bekerja di Melbourne, Australia, tetap terpahat di Singapura dengan kerencaman budayanya termasuk khazanah masyarakat Melayu.

Pemilik ijazah Sarjana Seni Kontemporari daripada Maktab Seni Victoria, Universiti Melbourne, itu terbiasa menghasilkan arca raksasa yang tampak canggung dipandang mata.

Baginya, arca yang mengisahkan tentang tuntutan masa, bahan dan tenaga buruh itu juga sering diibaratkan seperti rangkaian kosa kata yang payah dimengertikan.

Selepas mengadakan beberapa pameran solo sejak 2012 termasuk pameran Malay Wedding di Chapter House Lane sekitar Melbourne, Cik Nabilah, 26 tahun, kembali ke Kota Singa bagi program jejak seni edisi kelapan 'OH! Open House, OH! Emerald Hill.

Seniman yang terlibat dalam program ini perlu menjana kerja seni yang meninjau hubungan Singapura dengan era penjajahan British.

Seramai 22 seniman Singapura, Korea, Malaysia dan Perancis terlibat dalam pameran yang antara lain memaparkan kisah di sebalik wujudnya tanaman buah pala dan sejarah kaji tumbuh-tumbuhan di Singapura.

Program jejak seni ini diadakan setiap Sabtu dan Ahad sepanjang bulan ini.

Emerald Hill yang popular sebagai daerah hartanah mewah dan juga kawasan pertama di Singapura yang diletakkan dalam pelan pemuliharaan didapati sesuai diubah menjadi lokasi karya seni kerana daya tarikan rumah kedai Peranakan di situ.

Kata pengasas bersama dan pengarah artistik OH! Open House, Encik Alan Oei, 41 tahun:

"Negara lain merobohkan arca dan bangunan hasil peninggalan penjajah mereka. Kita pula membangunkan arca baru di Singapura. Tempoh penjajahan pula bukan setakat 'catatan nota kaki' pada sejarah Singapura sebab ia ibarat longgokan idea, tanggapan dan institusi yang masih menghantui kita."

Beliau berharap siri pameran jelajah seni kali ini akan dapat menunjukkan betapa kuatnya pengaruh era penjajahan pada masyarakat Singapura termasuk mereka yang tidak meminati unsur sejarah negara ini.

Cik Nabilah yang bergabung tenaga dengan seorang lagi seniman, Encik Nick Modrzewsk, 29 tahun, dari Australia bagi karya The Nutmeg Dream pula mengubah rumah kedai di Emerald Hill menjadi gudang rempah.

Arca-arca yang dihasilkan pula melambangkan kegilaan terhadap buah pala dalam kalangan golongan penjajah di Singapura sekitar pertengahan abad ke-19.

Ketika dihubungi Gah! menerusi e-mel, Cik Nabilah melahirkan rasa terujanya dapat mengetengahkan karyanya bagi OH! Emerald Hill.

"Singapura adalah negara tercinta saya. Saya rasa bersemangat kembali ke Singapura bagi menjana karya tentang sejarah negara ini.

"Tambahan pula, OH! merupakan satu gerakan seni yang menarik kerana ia membentangkan cara dan cabaran bagaimana seni itu dilihat di Singapura.

"Nick dan saya terdorong menghasilkan arca ini melihat pada usaha tanaman buah pala yang gagal pada tahun 1800-an.

"Kami mengkaji kisah Encik William Cuppage yang menghadapi masalah apabila tanaman buah palanya dirosakkan kumbang.

"Kisah ini relevan dengan perihal ramai penjajah yang menebar impian menjadi kaya hasil dagangan rempah yang juga menjarah sumber semula jadi Singapura."

Kesempitan ruang studio di Tampines menjadi cabaran utama Cik Nabilah ketika menyiapkan kerja seninya bagi projek Oh! Emerald Hill.

"Namun, saya senangi proses menghasilkan kerja seni kerana saya mampu memberitahu kisah peribadi menerusi karya saya.

"Meluahkan idea dan menyelongkar unsur naratif bersejarah secara terbuka di samping mengongsi segalanya kepada orang awam merupakan kelebihan seorang seniman," katanya lagi.

Dalam pada itu, Cik Nabilah gembira penggiat seni wanita kian diberikan lebih peluang menyuarakan kisah mereka dalam karya seni yang dihasilkan.

"Kalau lihat sejarah seni, tidak ramai penggiat seni wanita yang diiktiraf atau diberi pendedahan yang wajar diterima. Hari ini, suara yang tertindas itu dapat kita dengar dan amati menerusi kerja seni yang hebat," jelasnya.


JELAJAH SENI OH! EMERALD HILL

Di mana: Emerald Hill

Bila: 17, 18, 24 dan 25 Mac

Masa: 11 pagi hingga 5 petang

Tempoh sesi jelajah seni: Dua jam setengah

Bayaran: $30 (bagi tiga sesi jelajah seni selama 30 minit dan kunjungan ke pameran)

Tempah tiket: www.ohopenhouse.org

Maklumat lanjut: Teroka kisah di sebalik Emerald Hill menerusi kunjungan ke kawasan rahsia serta persembahan di rumah Peranakan dan ruang privet. Emerald Hill merupakan kawasan yang dahulunya terisi dengan tanaman buah pala sewaktu tempoh penjajahan British.

Di sebalik keindahan dunia dagangan dan tanaman, wujud kisah 'hitam' era penjajahan yang tidak ramai ketahui.

Penerokaan saintifik wujud di samping tanah baru dieksploitasikan. Tanaman berharga dicuri, diseludup dan dibolot.

Galeri Foto

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 46
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.