Penyanyi legenda Britain Elton John alami 'jangkitan' semasa konsert

LONDON: Ikon muzik pop British, Elton John, mengalami “jangkitan berpotensi membawa maut” ketika mengadakan konsert jelajah, menyebabkan beliau dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi selama dua malam.

Keadaan itu juga memaksa penyanyi berkenaan membatalkan persembahannya.

Wakil syarikat perhubungan awam, Encik Murray Chalmers, dalam satu kenyataan berkata pemuzik itu sakit teruk ketika dalam penerbangan dari ibu negara Chile, Santiago, lokasi konsert jelajah Amerika Latin terakhir beliau pada 10 April lalu.

Elton segera dikejarkan ke hospital, sebaik mendarat di Britain dan menjalani rawatan jangkitan bakteria yang jarang dilaporkan tetapi berbahaya, kata syarikat itu kelmarin.

“Selepas dua malam dalam unit rawatan rapi disusuli beberapa hari berada di wad, Elton dibenarkan keluar Sabtu lalu dan kini berehat di rumah atas arahan doktor.

“Jangkitan ini adalah jarang dan mungkin membawa maut,” kata Encik Murray Chalmers.

Bintang berusia 70 tahun itu dijangka pulih sepenuhnya, selepas konsert yang turut membawa Elton ke Brazil dan Argentina.

Elton telah memohon maaf kepada peminat kerana mengecewakan mereka, sambil menambah dalam satu kenyataan:

“Saya amat berterima kasih kepada pasukan perubatan kerana kecemerlangan mereka menjaga saya dengan baik.”

Beliau dijadualkan menyambung persembahan di Twickenham, England, pada 3 Jun ini.

Beliau juga dijadualkan bekerjasama bagi adaptasi muzikal Broadway berdasarkan buku berjudul The Devil Wears Prada.- AFP