Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Penyesalan terbesar Jeff Catz kerana abaikan ibu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Penyesalan terbesar Jeff Catz kerana abaikan ibu

Apr 28, 2019 | 05:30 AM



Dua bakat tempatan yang sudah mencipta kejayaan pada peringkat Asia bakal memberi sanjungan buat kaum ibu dalam persembahan percuma anjuran Esplanade, 'Khas Untukmu Ibu'. Pelakon Pembantu Terbaik dalam Anugerah Televisyen Asia, Jeff Catz, dan Idola Asia, Hady Mirza, bakal menggegarkan Dewan Konsert Esplanade pada 11 Mei ini. Di ambang acara itu, Jeff dan Hady berkongsi kisah yang membuatkan jiwa sebak tentang pengorbanan ibu masing-masing bersama wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg).



JIKA masa yang pantas berlalu mampu diputar semula, penyanyi dan pelakon tempatan Jeff Catz ingin sekali berada di sisi arwah ibunya, Cik Jamilah Hassiam.



Ingin sekali belaian kasih ibu yang kian lupa dek penyakit demensia itu dirasakan.



Luahan kata-kata menyejukkan hati seperti "Mak maafkan kau..." ingin sekali didengarkan kupingnya. Sayangnya, ia tidak mampu didengari dengan dirinya hingga ke hari ini tertanya-tanya: "Mak aku maafkan aku atau tidak?"



Cik Jamilah menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun, dua tahun lalu ketika Jeff, kini 50 tahun, berada di Malaysia bagi penggambaran filem Polis Evo 2.



Penerbit filem dari seberang mengizinkan beliau pulang ke Singapura dalam keadaan dirinya menyesali tidak banyak masa dihabiskan bersama ibu tercinta.



Tambahan pula, Cik Jamilah meninggal 10 hari sebelum hari lahir Jeff.



Inilah kenangan yang diingati pelakon drama Mediacorp Suria, Buang Tabiat, itu di ambang persembahan istimewa sempena Hari Ibu di Esplanade, Khas Untukmu Ibu, pada 11 Mei ini.



Jeff yang dinobatkan Pelakon Pembantu Terbaik dalam Anugerah Televisyen Asia bagi wataknya dalam drama Bunga Tanjong, bakal berkongsi pentas dengan Idola Asia, Hady Mirza.



Persembahan percuma selama sejam itu berlangsung mulai 3 petang di Dewan Konsert Esplanade. Dzar Ismail tampil sebagai pengacara.



Ketika ditemui Berita Minggu di Esplanade baru-baru ini, Jeff yang tidak sabar menyanyikan lagu Melayu dan Inggeris malar segar, berkata:



"Setiap kali mengenang arwah mak, saya menyesali tempoh saya terlalu sibuk dengan tugas termasuk berulang-alik dari Singapura ke Malaysia demi penggambaran filem sehingga mengabaikan ibu sendiri.



"Saya sebak sebab mak menganggap saya sebagai anak kesayangannya. Maklumlah, anak bongsu... tetapi saya pula antara endah dengan tidak endah akan kesihatannya.



"Dalam keadaannya dilanda demensia dan pernah hilang dari rumah beberapa kali, saya ambil mudah bahawa segalanya akan diuruskan kakak saya yang menjaganya ibarat menatang minyak yang penuh."



Jeff masih mengingati detik daya ingatan ibunya mulai samar tetapi masih mengingatinya sebagai anak.



Beliau mengharapkan keampunan ibunya di atas segala kenakalan yang dilakukannya dalam kehidupan.



"Tak pasti kalau beliau mampu maafkan saya. Tiada apa yang boleh saya ubah kini. Melihat mak yang terlantar di katil dengan kudis tekanan di belakang badannya ketika itu buat saya sebak.



"Kehilangannya bagaikan meninggalkan satu kekosongan besar dalam jiwa saya. Saya benar-benar menyesal bagaikan saya anak yang tidak berguna.



"Sebab itu, kalau sesiapa sahaja tanya tentang apa yang harus dipentingkan dalam hidup, saya akan kata, 'Jangan sesiakan orang tua selagi mereka masih ada'. Hargai mereka seadanya," pesan Jeff.



Beliau juga akan selalu mengingati ibunya sebagai yang menyokong kerjaya seni dan amat memahami memandangkan mereka mempunyai kaitan dengan seniwati filem, Mariani dan Saloma.



"Mak yakin apabila saya mulakan kerjaya seni dengan menyanyi, saya akan akhirnya bergelar pelakon juga. Mulanya, saya setakat tertawakan sahaja andaiannya tetapi tengoklah, ramalan mak tepat! Lakonan kini cabang seni yang memberi rezeki tambahan dan amat saya syukuri," ujarnya lagi.



Dalam kami bersembang tentang pengorbanan ibu dan bagaimana kelahiran seorang anak mampu membawa perubahan besar dalam hidup bondanya itu, Jeff teringatkan apa yang dilalui isterinya, Cik Karin Hacker.



Cik Hacker, 42 tahun, seorang pengurus projek di syarikat minyak, berasal dari Austria dan merupakan penduduk tetap Singapura. Ini merupakan perkahwinan Jeff yang kedua.



Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan yang comel, Alliyah Ariana Jeffrey Hacker, enam tahun.



"Pengalaman membina rumah tangga dengan wanita Eropah amat berbeza. Tujuh minggu pertama selepas kelahiran Alliyah Ariana, isteri saya tidak tidur malam.



"Saya pula bekerja dan menyanyi pada waktu malam. Balik sahaja ke rumah sekitar 1 pagi, Karin yang mengalami kemurungan selepas bersalin akan serahkan anak kami kepada saya. Dia meragam kerana penat.



"Hidupnya tertekan dan payah menyesuaikan diri di Singapura. Ibu bapanya kerap datang ke sini sehinggakan dia pernah terdesak bawa anak kami kembali ke Austria," cerita Jeff.



Namun, tempoh tersebut hanyalah satu fasa sementara yang dapat diatasi. Menurut Jeff, Karin dan Alliyah Ariana kini ibarat peribahasa isi dengan kuku serta aur dengan tebing yang tidak mampu dipisahkan.



"Balik sahaja sekolah, ibunya akan dicari. Ibunya juga tempat mengadu. Mereka selalu bersama. Kata orang, betapa kelahiran anak mampu membawa perubahan positif dalam hidup seseorang... sesuatu yang saya lihat terjadi pada Karin setelah bergelar ibu kini," kongsinya yang sentiasa mencari ruang mengembangkan bakat lakonan ke seberang Tambak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >