Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Perginya pelakon, pemuzik, penghibur kaya ilmu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA

Perginya pelakon, pemuzik, penghibur kaya ilmu

Jul 06, 2017 | 05:30 AM



KERDIPAN mata bintang veteran Osman Zailani sentiasa kelihatan setiap kali diajak bersembang tentang dunia hiburan yang menjadi sebahagian besar hidupnya selama hampir tujuh dekad.



Daya ingatannya hingga ke detik akhir riwayat hidupnya tamat pada usia 85 tahun malam kelmarin kekal segar.



Sebagaimana yang dikongsi cucunya, Hady Mirza, 37 tahun, juara peraduan realiti Asian Idol dan Singapore Idol (Musim Kedua):



"Datuk saya macam biasa di hospital. Beliau selalu ceria. Daya ingatannya kuat sampaikan semua yang datang melawatnya di Hospital Khoo Teck Puat diingatinya. Sampai ke usia senjanya, nama semua cucu beliau ingat."



Di sebalik pengalaman yang luas dalam bidang lakonan teater, televisyen dan filem, Allahyarham, yang nama sebenarnya Mohammad Kechut, dikenali sebagai legenda yang rendah hati, ramah, suka mengusik dan kaya nasihat.



TIDAK LOKEK ILMU



Tidak kiralah jika insan yang di sisinya itu merupakan kenalan lama yang sama-sama berjuang dalam industri seni atau bakat baru yang mendambakan bimbingan - Allahyarham yang mesra dengan panggilan 'Tok Ayah' sentiasa sedia membantu dan berkongsi ilmu yang jelasnya, wajar disebarkan, bukan buat kepentingan diri sendiri.



Pelakon veteran S. Sahlan, 75 tahun, yang seperti Allahyarham turut mencipta nama di Kuala Lumpur, berkata:



"Kami rapat sejak rakaman Pentas Radio Singapura zaman Radio Televisyen Singapura (RTS) sekitar awal 1960-an sampai usia lanjut ini.



"Allahyarham banyak memberi tunjuk ajar dari segi intonasi dan ketahanan diri semasa berlakon. Allahyarham juga pernah berlakon dalam drama arahan saya, Wan Long Husin, semasa saya ke Kuala Lumpur untuk mengarah."



Pelawak generasi muda, Amy Kecik, yang bekerja dengan Allahyarham dalam Gemilang Raya 2010 pula terkenangkan pesanan Allahyarham yang ingin dirinya sering buat orang ketawa dan menggilap bakat lawaknya.



"Tok Ayah kata saya seorang boleh bikin dia ketawa. Itulah yang buat saya bersemangat berlawak hingga ke hari ini," ujarnya.



CITA-CITA AWAL JADI PEMUZIK



Ramai yang lebih mengenali Allahyarham yang berketurunan Banjar, Bugis dan Jawa, sebagai pelakon serba boleh. Berikan apa sahaja watak, akan digalasnya secara realistik.



Pendek kata, kalau diberi watak jahat, beliau mampu membuat penonton timbul rasa menyampah.



Jika diberi watak sedih, beliau juga berupaya membuat ramai menitiskan air mata.



Apalagi kalau diminta berjenaka, itulah kekuatan Allahyarham yang memang dikenali sebagai pelakon 'kaki giat'.



Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu beliau membina kerjaya awalnya dalam dunia seni dengan menjayakan beberapa pancaragam seperti Keroncong Party di Woodleigh, Hiburan Party (Potong Pasir) Orkes Zindegi.



Dalam satu wawancara awal dengan Berita Harian dua tahun lalu, Allahyarham mendedahkan bahawa beliau adalah pemain dabal bes dalam pancaragam yang dianggotai sejak usia 17 tahun.



"Saya main dabal bes atau orang kita panggil 'bes tongkang'. Kami pernah mengiringi Saloma yang baru nak naik tu menyanyi. Biasanya, persembahan dibuat di daerah Mt Emily," dedahnya.



MULA BEKERJA DAN KAHWIN MUDA



Sebagai anak seni yang menyedari tanggungjawabnya juga ialah menyara hidup keluarga, Allahyarham berseni sambil bekerja sepenuh masa.



Beliau merupakan pemeriksa dan pembaik meter air di Lembaga Perbekalan Awam (PUB), yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Perbandaran dan Dewan Bandar Raya dan kini dipanggil agensi air negara PUB.



Kesungguhannya bekerja membawa pada peningkatan skop tugasnya - daripada membaiki dan mencuci meter kepada kerja menapis air.



Rumah tangga pertama Allahyarham dibina pada usia 19 tahun. Selepas isteri pertamanya meninggal dunia, beliau berumah tangga buat kali kedua. Isteri keduanya juga sudah meninggal dunia.



Beliau yang tinggal bersama anak perempuannya dikurniakan tujuh anak, 15 cucu dan 13 cicit.



ASAL USUL NAMA OSMAN ZAILANI



Dilahirkan dalam kalangan 11 adik-beradik, nama Osman Zailani itu digunakan sebagai nama pentas atas saranan abangnya.



Ia merupakan gabungan nama datuknya 'Jailani' dan nama bapa angkatnya 'Osman'.



HAWAII FIVE-O, PJ HOLDINGS DAN BANTING



Sebelum mana-mana bintang Melayu, baik penyanyi mahupun pelakon, menembusi pasaran antarabangsa, Allahyarham boleh dianggap sebagai yang terawal melakukannya.



Pada 1970-an, beliau ditawarkan watak Ong Lee dalam dua episod drama jenayah aksi popular Hawaii Five-O bersama pelakon Jack Lord.



"P. Ramlee pernah ajak saya berlakon tapi saya kata tak boleh sebab saya 'kerja gomen'. Berlakon di televisyen diizinkan. Saya juga suka buat kerja alih suara dalam drama atau filem. Buat sekali dah pass!



"Maka, tak dapat pujuk saya berlakon filem, arwahnya pun pinjam nama pentas saya bagi watak dalam filem 'pecah panggung' iaitu Ibu Mertuaku.



"Tapi orang akan ingat Hawaii Five-O sampai bila-bila sebab belum ada pelakon Melayu masuk Hollywood. Bagi saya, kenangannya walau dua episod memang buat diri saya sendiri rasa teruja. Tapi kita tak sempatlah nak rakam foto dan masuk Facebook macam budak-budak sekarang," seloroh Allahyarham dalam wawancara panjang dengan akhbar ini.



Mereka yang membesar pada 1980-an juga pasti mengingati Allahyarham sebagai pelakon utama drama 'hit' ala Dallas, PJ Holdings. Beliau digandingkan dengan pelakon berbakat lain seperti Aziz Singah dan Melissa Saila.



Dalam wawancara bersama kami, Allahyarham mengakui seronok tukar ganti kereta sebagai orang kaya dalam drama itu. Beliau juga merindui rakan pelakon termasuk aktres dan pengarah Melissa Saila, yang ketika itu masih pelakon cilik lagi.



"Entah dia ingat ke tidak dengan Tok Ayah... dah lama terputus hubungan," katanya kepada wartawan.



Yang pasti ingatan Melissa terhadap budi baik Allahyarham kekal terpahat dalam ingatan walaupun mereka sudah lama tidak berjumpa.



Melissa yang menulis di Instagram Ogy Ahmad Daud mengulas:



"Inilah bapa layar perak saya yang sangat penyayang dan ramah. Sudah lama saya terputus hubungan dengannya. Moga Allah mencucuri rahmat kepada rohnya dan Uncle ditempatkan dalam kalangan orang beriman."



Dalam pada itu, Allahyarham tidak menghampakan tatkala menyerikan filem yang mengembalikan era kegemilangan filem Melayu Singapura, Banting, tiga tahun lalu.



Pengarahnya, M. Raihan Halim, berkata: "Tok Ayah selalu bersemangat dan datang ke set penggambaran bersedia bagi setiap adegan yang perlu dijayakan. Orangnya banyak pengalaman.



"Beliau lucu dan kaki menyakat orang. Beliau sememangnya adalah jiwa dan raga Banting. Kami akan merinduinya."



Al-Fatihah buat Allahyarham Osman Zailani.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >