MESKIPUN mendandan wajah dan rambut orang lain hanyalah hobi Cik Noor Rashikin Mohamed Rashid, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu tidak mengabaikan kepentingan mengasah kemahirannya dalam bidang ini.
Beliau mengikuti kursus solekan profesional di akademi dandanan, Carrie Academy dan Cosmoprof. Peluang menyertai satu peraduan solekan anjuran rangkaian gedung kosmetik Sephora, Sephora X ITE juga tidak disia-siakan.
Cik Noor Rashikin, 25 tahun, pelajar jurusan Nitec Lanjutan dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan antara 18 finalis peraduan tersebut malah dinobatkan sebagai antara lima juara utamanya. Beliau menggunakan tema 'Red' sebagai melambangkan imej solekan si wanita yang matang, anggun lagi seksi.
Peraduan yang berlangsung di Pusat Latihan Universiti Sephora sekitar Ngee Ann City itu menawarkan peluang bagi pelajar terpilih menjadi penasihat kecantikan.
"Cabaran terbesar saya ialah memastikan saya mampu mendandan model mengikut ketetapan masa yang terbatas. Saya perlu ketahui jenis dan tekstur kulit model agar tiada alahan pada wajahnya," kongsi Cik Noor Rashikin.
Cik Dinie Atikah Ahmad Riyadz, 19 tahun, daripada kursus perkhidmatan perniagaan pula menganggap peraduan ini sebagai medan bereksperimen dengan kemahiran mendandan orang lain.
"Walaupun tidak berjaya kerana tersilap mengenakan dandanan fesyen yang lari daripada tema solekan menyeramkan, saya banyak belajar tentang menanam keyakinan diri apabila menyolek orang lain," jelasnya.