Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:09
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Gaya Hidup

ANUGERAH PENCAPAIAN BELIA NASIONAL (NYAA)

Program 4PM dorong 4 belia raih anugerah emas

Nov 14, 2019 | 05:30 AM

BAGI empat belia, sijil Anugerah Pencapaian Belia Nasional (NYAA) Emas yang mereka terima bukan sekadar sehelai kertas yang tidak bermakna.

Ia melambangkan perjalanan yang mereka lalui dan perubahan yang mereka alami sejak mereka menyertai Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM).

Menurut 4PM, ini kumpulan pelajar pertama yang meraih NYAA Emas di bawah programnya, iaitu program 'Frenz Mentoring' dan 'Gems'.

Seorang daripada belia itu ialah Encik Syahir Suharman, 19 tahun, pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur yang sedang mengambil kursus teknologi kemudahan.

Beliau mengakui bahawa melalui pencapaian ini, beliau mempelajari betapa pentingnya nilai disiplin.

"Saya dulu sering pulang ke rumah lewat malam kerana suka lepak bersama kawan, tetapi kini sikap saya sudah berubah dan saya mengisi masa dengan perkara yang berfaedah serta berada bersama keluarga saya," katanya.

Hal itu benar bukan sahaja baginya, malah bagi seorang lagi penerima anugerah berprestij itu, Encik Mohamed Rasoul Shiddik, 25 tahun, pelajar tahun kedua yang kini mengambil kursus pengurusan kemudahan bersepadu di Politeknik Temasek (TP).

Encik Rasoul, yang mendapat tahu tentang 4PM ketika sedang mengambil kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), mengakui bahawa menyertai persatuan itu mengubah sikapnya terhadap sekolah.

"Dulu ketika saya di ITE, saya selalu malas hendak pergi ke sekolah dan kerap ponteng kelas.

"Tetapi kerana saya begitu teruja mahu menyertai program 4PM, ia memberi saya dorongan untuk menghadiri sekolah dan mengambil berat tentang pelajaran saya," katanya.

Bukan sahaja 4PM dan pencapaian NYAA Emas itu mengubah sikap mereka yang kerap ponteng sekolah, bahkan ia juga membuat mereka lebih peka terhadap golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat.

Itulah kesan yang dirasakan seorang lagi penerima anugerah itu, Encik Lukman Hakim Abdul Rahman, 20 tahun, pelajar ITE Kolej Timur dalam kursus Nitec Tinggi dalam pengurusan kemudahan.

Beliau berkongsi pengalamannya melibatkan diri dalam program 4PM 'Ramadhan On Wheels', dengan beliau membantu mengemas rumah dan mengagih makanan kepada keluarga berpendapatan rendah pada bulan Ramadan.

"Saya hanya dapat tahu tentang isu ini apabila saya pergi ke rumah mereka dan melihat keadaan sekitaran mereka dengan mata saya sendiri," kata Encik Lukman.

Encik Jordan Ng, 20 tahun, seorang lagi penerima anugerah di bawah 4PM, turut bersetuju dengan sentimen ini.

Beliau yang sedang mengambil kursus pengurusan kemudahan bersepadu itu berkata:

"Melibatkan diri dalam program khidmat masyarakat memang benar menunjukkan betapa pentingnya kita membantu mereka yang memerlukan."

Cik Fadillah Razali, penolong pengurus 4PM, turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian belia di bawah naungan persatuan itu.

"Kami berharap empat belia ini akan menjadi inspirasi kepada belia kami yang lain untuk mencapai kecemerlangan.

"Tahun ini, empat belia kami mencapai NYAA Emas, tahun depan insya-Allah 15, dan kami berharap jumlah ini akan terus berlipat ganda pada masa akan datang," katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian