Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Pulau Ubin imbas nostalgia filem Tuah, Jebat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pulau Ubin imbas nostalgia filem Tuah, Jebat

Jan 18, 2018 | 05:30 AM



Daripada setakat mengemukakan idea kesenian biasa untuk dihadam masyarakat pencinta seni, beberapa anak Melayu mengusahakan projek kesenian yang unik. Ia meliputi kegiatan jelajah lokasi filem lama di kawasan kepulauan dan seni lukisan jalanan yang membuka mata. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



JAUH perjalanan, luas pemandangan. Jangan katakan kawasan darat. Hutan rimba, lautan dan Pulau Sekudu turut menjadi lokasi penggambaran dua filem Melayu lama, Hang Tuah (1956) dan Hang Jebat (1961)



Kededua filem yang mengupas perjuangan perwira era silam serta menyelongkar identiti Melayu dijadikan teras bagi satu kerja seni di Pulau Ubin.



Kerja seni tersebut merupakan sebahagian program jelajah lokasi penggambaran filem Melayu lama di bawah kegiatan Minggu Seni Singapura (SAW), State of Motion: Sejarah-ku. Ia diadakan pada 27 dan 28 Januari ini.



Ini merupakan kali pertama jelajah lokasi perfileman dibuat di luar pesisir pantai.



Orang ramai yang berminat mengetahui sejarah filem Shaw Malay Film Productions dan Cathay-Keris Studio boleh menaiki bot bagi meninjau Pulau Sekudu yang berhampiran dengan Pulau Ubin.



State of Motion: Sejarah-ku merupakan anjuran Arkib Filem Asia (AFA).



SAW pula adalah hasil kerjasama Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).



Ia memperkukuh kedudukan Singapura sebagai destinasi seni terulung Asia.



Sedang idea mengadakan jelajah lokasi perfileman di luar pesisir pantai itu dicetuskan pengkaji filem Encik Toh Hun Ping, penggiat seni Encik Noor Effendy Ibrahim pula ditugaskan mencipta kerja seni berdasarkan filem Hang Tuah dan Hang Jebat.



Jika diimbas semula sejarah filem lama itu, Hang Tuah memaparkan pahlawan muda belia yang berani bernama Hang Tuah.



Dia memimpin teman-temannya dalam satu misi menumpaskan sekumpulan lanun.



Hang Jebat diterbitkan lima tahun kemudian sebagai respons kepada Hang Tuah.



Watak Hang Jebat kembali dan duduk di atas batu-batan Pulau Sekudu bagi membalas dendam terhadap abangnya yang difitnah.



Ketika dihubungi Gah!, Encik Noor Effendy menjelaskan bahawa kolektif seni yang diterajuinya, akulah BIMBO SAKTI, terlibat dalam persembahan tarian bertajuk Cinta Tuah Jebat.



Menurutnya akulah BIMBO SAKTI yang ditubuhkan pada 2016 tiada kaitan dengan sebarang kepentingan bersejarah atau sosiopolitik.



Ia dihasilkan sebagai sebahagian daripada bahan kajian Encik Noor Effendy yang meraih Geran Ciptaan NAC.



"Saya menjadikan kolektif ini sebagai satu ruang meneroka dan ia ditubuhkan dengan bantuan veteran dalam dunia teater, Clarisse Ng. Sebagai penggiat seni dan pencetus kerja seni, kami tidak bermegah atau bersikap diri kami sahaja yang terhebat.



"Lebih mustahak buat kami, kami harus berupaya ketawakan diri kami sendiri. Nilai humor dalam penghasilan kerja seni kian mustahak hari ini," ujarnya.



Cinta Tuah Jebat, jelasnya, meninjau pertarungan terakhir antara Hang Tuah dengan Hang Jebat dengan peserta program jelajah berpeluang mendengar singkapan audio (empat bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil ) sambil menonton persembahan secara langsung.



"Karya seni ini diharap dapat menyerlahkan ketegangan antara dua pahlawan dalam pertarungan yang tidak asing lagi.



"Mereka akan bicarakan soal kesetiaan, pengkhianatan, cinta, balas dendam, kemarahan dan keinginan yang meluap-luap.



"Mereka yang hadir berpeluang mengamati dan menghayati sendiri persembahan interaktif ini," jelas Encik Noor Effendy.



Beliau berharap orang ramai akan datang dengan fikiran terbuka dan keinginan mengetahui lebih dalam lagi tentang mitos dan sejarah Melayu.



Persembahan tarian itu akan diteruskan meskipun hujan dengan 'ponco' disediakan buat penonton.






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >