Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Rahimah Rahim persembah 'Hidupku Seniku'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rahimah Rahim persembah 'Hidupku Seniku'

Bakal hibur peminat dalam konsert solo pertama di Esplanade
Oct 21, 2017 | 05:30 AM



PENYANYI popular lain setaraf beliau - yang masih laku di peringkat korporat dan mendapat tempat di pentas antarabangsa - pasti tidak mudah diajak bertemu secara santai.



Kata orang, kalau tidak ke hotel lima bintang atau kafe eksklusif dan ditemani pula serombongan pengurus dan pembantu peribadi, peminat mahupun wartawan jangan haraplah dapat bersembang dengan mereka.



Tetapi bintang Singapura yang masih bertahan setelah lebih 40 tahun dalam persada seni - Rahimah Rahim - tidak pernah menuntut layanan seperti itu.



Ajaklah beliau ke kedai kopi dengan hidangan sekadar teh tarik dan epok- epok, beliau boleh berbual panjang tanpa perlu ditemani sembarang pembantu atau pengurus.



'KAK GERL' SENTIASA BERGAYA MENAWAN



Yang penting, ke mana saja Rahimah, yang mesra dengan panggilan 'Kak Gerl', diundang, beliau pasti muncul dengan gaya yang menawan.



Penyanyi yang mencecah usia 62 tahun pada 9 Disember ini ternyata terlalu merendah diri biarpun perjalanan kerjaya seninya sudah berterusan 50 tahun jika kemunculan pertamanya dalam filem menerusi filem Korban Kasih (1961) di ambil kira.



Ini diikuti siri drama TV popular, Pak Awang Temberang, dan banyak lagi.



Dalam bidang nyanyian pula, beliau mempunyai 12 album dan telah puas mewakili Singapura dalam festival-festival muzik antarabangsa serta terlibat muzikal Inggeris arahan Dick Lee seperti Fried Rice Paradise.



Sebab itulah, apabila penerbit konsert Annie Pek bertanya kepadanya mengapa beliau tidak pernah mengadakan konsert solo, Rahimah akui terkejut kerana tidak pernah memikirkan perkara itu.



"Apabila Annie tanya pasal konsert, saya terfikir... kalau saya buat pun, ada ke orang nak datang tonton?" ujar ibu dua anak itu ketika ditemui wartawan baru-baru ini di kantin pejabat Singapore Press Holdings.



Walhal ketika itu beliau sedang terkejar-kejar masa untuk hadiri latihan persiapan bagi konsert sempena program Women of Wings di Resort World Sentosa pada Sabtu lalu.



Pertanyaan penerbit itu ternyata bukan sekadar cakap kosong, sebaliknya konsert solo pertama Rahimah benar-benar diatur.



Dinamakan Hidupku Seniku, konsert itu akan berlangsung di Dewan Konsert Esplanade pada 11 November mulai 8 malam. Pengarah kreatifnya ialah Najip Ali.



"Sebenarnya saya tidak pernah menduga kerjaya nyanyi saya masih boleh bertahan sehingga sekarang sedangkan ramai artis baru yang lebih kreatif dan bagus ada di pasaran sekarang. Sebagai orang lama, saya suka perhatikan perjalanan artis lain dan jadi peminat mereka juga. Saya tak suka melayan perkara remeh-temeh dan lebih suka pandang yang positif," akui beliau yang telah menerima Anugerah Perdana Emas Sempena Pesta Perdana 14 MediaCorp.



Beliau dan penyanyi Anita Sarawak menjadi antara wanita pertama dimasukkan ke dalam Dewan Termasyhur Wanita Singapura, atau Singapore Women's Hall of Fame (SWHF), baru-baru ini.



RAHSIA MAMPU TERUS BERTAHAN



Menoleh ke belakang, Rahimah berkata beliau percaya kemampuannya bertahan hingga sekarang bahkan kini berjaya mendapat tempat sebagai pelakon di Channel 8 Mediacorp ialah kerana komitmen dan disiplin yang dipegang sejak kecil. Bahkan beliau telah dua kali diundang menjadi penghibur dalam acara Perbarisan Hari Kebangsaan.



"Kalau ikutkan, suara saya sebagai penyanyi sebenarnya tak sedap. Banyak sangat kekurangannya. Saya sedar itu. Tetapi saya tutup kelemahan itu dengan kekuatan lain seperti memberi komitmen, disiplin, menjaga penampilan dan persembahan.



"Arwah mak bapak saya adalah seniman yang berdisiplin dan jangkaan terhadap saya adalah tinggi. Mereka adalah pengkritik terhebat saya. Pakaian saya pun mereka kritik. Mereka tak pernah manjakan saya atau terlalu membela jika saya dikritik orang lain tetapi minta saya berfikir dengan tujuan mendidik," cerita Rahimah yang mengeluarkan EP pertamanya, Mana Ibu Mu, pada 1972 dengan iringan kugiran The Commandos.



Kerana disiplin yang ketat, biarpun beliau pernah menyanyi di kelab seperti di Mandarin Court dan Neptune Theatre ketika zaman mudanya, Rahimah berkata beliau "tidak bercampur" termasuk dengan pelanggan dan akan terus pulang ke rumah selepas bekerja.



"Kalau balik lambat, kena kunci pintu," selorohnya.



Tambah beliau: "Daripada kritikan, saya belajar terus membaiki diri dan sentiasa berusaha memberi yang terbaik, sama ada dalam hal menjaga masa mahupun persembahan. Mereka didik saya menjadi penghibur, bukan setakat menyanyi," kata anak sulung kepada penyanyi Allahyarham Rahim Hamid (Nat King Cole Singapura) dan seniwati filem, Allahyarhamha Mariam Baharum.



MASIH JADI BURUAN PENGGUBAH LAGU



Kerana komitmen itu juga, beliau masih menjadi buruan penggubah lagu. Tiga bulan lalu, beliau telah menghasilkan single baru, Gelas-Gelas Cinta ciptaan Fauzi Marzuki dan seni kata ditulis oleh Siso dari Kopratasa.



Single tersebut yang turut menampilkan ahli dikir barat terkenal Malaysia, Megat Nordin, akan dilancarkan di Malaysia.



"Saya menyanyi dengan loghat Kelantan kerana mahu menarik perhatian Seberang. Single ini bukan bertujuan mahu bersaing dengan penyanyi baru... sekadar memberi isyarat kepada peminat di Malaysia bahawa saya masih aktif," ujarnya.



Untuk konsert bulan depan, kata Rahimah, sesuai dengan pendekatan mahu berkongsi perjalanan seninya secara peribadi, beliau telah mengundang dua adiknya, Rahman dan Rozie, untuk sama-sama berkongsi cerita dan membuat persembahan.



Selain itu, sepupunya, penyanyi Mahani Mohamed (sebelah bapa) dan Fauziah Ahmad Daud (sebelah ibu) turut diundang menyerikan suasana.



Indra Shahril Ismail sebagai pengarah muzik, Najip Ali sebagai pengarah kreatif dan Hafeez Glamour, yang menulis skrip, turut membut penampilan di pentas.



"Banyak kisah yang mungkin tidak pernah didedahkan akan dikongsi adik-beradik dan sepupu,'' ujarnya.



  • Konsert Hidupku, Seniku akan berlangsung pada 11 November di Dewan Konsert Esplanade, 8 malam. Tiket boleh dapatkan di Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >