Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Ramli Sarip: Sedar diri kalau nak maju di negeri orang

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ramli Sarip: Sedar diri kalau nak maju di negeri orang

Jun 15, 2017 | 05:30 AM



APABILA Papa Rok, Datuk Ramli Sarip, mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur bagi menebarkan daya ilham dan perjalanan seni, arwah ayahnya memberi nasihat yang dipegangnya hingga hari ini.



Kata-kata yang ringkas tetapi menyejukkan hati itu berbunyi begini: "Jangan susah, Ramli. Di sini (Singapura), bumi Allah. Di sana (Malaysia) pun, bumi Allah. Kita hanya harus sedar diri."



Nasihat itu menjadi bekalan Ramli, 64 tahun, dan sering dikongsinya sebagai pedoman buat artis muda masa kini yang sedang membina nama dan kerjaya dalam dunia hiburan yang penuh cabaran.



Dengan penghijrahan anak seni Singapura bagi mencari makan di Malaysia sering digembar-gemburkan malah dilihat sebagai mencuri rezeki artis Malaysia, Ramli berkongsi panduan buat bakat Singapura kekal bertahan, khususnya apabila di rantauan.



Katanya dalam wawancara bersama Gah! di kampus Mediacorp baru-baru ini:



"Kita harus sedar diri sebagai musafir dan juga kembara. Kita tidak boleh masuk campur atau buat ikut suka hati kita apabila di negara orang. Bagaimanapun, kalau pun ada kesilapan, takkan tiada kemaafan sehingga benda kecil ingin dibesarkan? Kita satu rumpun. Apa salah cari makan sama-sama?



"Cara bertahan dalam industri muzik di luar negara mudah sahaja. Apabila kita masuk kampung orang, kita perlu tahu siapa penghulunya dan kita hormati beliau.



"Apa mereka suka atau tak suka, kita perlu tahu dan faham. Saya selalu pastikan saya kaji dahulu keadaan, baik ketika saya ke Indonesia, Kuala Lumpur, Sabah atau Sarawak. Sekurang-kurangnya, kita tidak tersilap langkah dan luputkan segala kekeliruan."



Ramli mengharapkan bakat muda Singapura lebih berani dalam mengetengahkan bakat mereka atau meneroka cara atau konsep persembahan yang mereka belum pernah cuba sebelum ini.



"Jangan takut. Anda tulus dan jujur dalam berkarya. Insya-Allah semuanya mampu dilaksanakan dengan baik. Pastikan anda buat persembahan, bukan pertunjukan. Hargai bahawa menjadi penyanyi itu satu amanah dan tanggungjawab yang tidak boleh diperlekeh, macam juga tugas lain," katanya.



Pada usianya yang sudah melepasi 60 tahun, Ramli yang popular dengan lagu-lagu rakyat, kerohanian dan motivasi seperti Bukan Kerana Nama, Bahasa Terindah, Lagu Zaman dan Istilah Bercinta, pernah ditanya soalan, "Bila nak berhenti menyanyi?"



Katanya:



"Saya kata, kerjaya menyanyi 'ni mana dapat duit Tabung Simpanan Pekerja (CPF)? Mana ada skim persaraan? Saya minat kerja, saya suka kerja.



"Selagi masih ada tulang empat kerat dan dikurniakan Allah kesihatan, kita terus menyanyi kerana inilah cara saya menyampaikan pesanan tertentu yang ingin saya kongsi dengan orang ramai khususnya anak muda."



Zaman sudah pesat berubah dengan persada muzik kini mengikut trend kebanyakan artis lebih terdorong menghasilkan 'single' satu persatu (satu atau dua setiap tahun) dan bukannya album yang makan masa lama seperti dahulu.



"Bakat muda kita fokus pada satu 'single'. Semua berada dalam zon selamat dan hanya mengharapkan lagu itu akan jadi 'hit'. Ramai bikin lagu cinta yang boleh menyentuh perasaan sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi remaja. Tapi pernahkah anak-anak ini bertanya 'Betulkah lagu ni akan diminati dan akan pergi jauh?' Apa perancangan mereka selepas ini?



"Kalau nak kekal lama dalam industri muzik, semangat perjuangan yang disisipkan dengan disiplin perlu ada. Menyanyi ialah tanggungjawab dan mereka dipertanggungjawabkan bagi menghasilkan sesuatu yang bermanfaat buat pendengar," ujar Ramli.



Menggunakan perumpamaan mi goreng mama, beliau berkata:



"Mengapa mi goreng mama yang dibeli dengan harga $3 atau $3.50 itu boleh sampai $20 atau $30 di hotel lima bintang? Kita lihat cara ia disajikan. Nasi lemak bungkus pun ada di hotel dengan harga lebih mahal. Cara ia dipakej menentukan perbezaan. Justeru, bakat kita harus fikirkan tentang pakej karya mereka. Santapan halwa telinga, biarlah yang ada manfaat."



Ramli kini sedang dalam proses menyatukan dalam album kompilasi lagu-lagunya yang bermutu tetapi jarang diputarkan di radio atau diketengahkan di persembahan beliau sepanjang dua dekad lalu.



Katanya lagi: "Seorang pemuzik itu harus berfikir pantas dan mengandaikan sesuatu yang bakal berlaku dalam masa 10 atau 20 tahun mendatang. Ada juga beberapa lagu saya yang dihasilkan pada tahun 1990-an yang menggambarkan keadaan masa kini.



"Muzik memang tiada sempadan. Usahakan lagu yang boleh jadi seperti lagu Cuba, Guantanamera, yang dinyanyikan orang kita dulu atau Burung Kakak Tua yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina, India dan Serani."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >