Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

'Rapper', pelakon cilik antara calon kejutan Golden Globes

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

MENJELANG ANUGERAH GOLDEN GLOBES

'Rapper', pelakon cilik antara calon kejutan Golden Globes

Jan 04, 2020 | 05:30 AM



PELAKON hebat Hollywood yang telah beberapa kali dicalonkan bagi Anugerah Golden Globes seperti Leonardo DiCaprio, Scarlett Johansson, Meryl Streep dan Brad Pitt sekali lagi tersenarai bagi anugerah gilang-gemilang tahun ini.



Namun, dalam kalangan calon bukan calang- calang itu wujud nama-nama baru yang disifatkan sebagai bakat 'underdog' yang boleh menggegarkan seisi dunia Hollywood dengan kemenangan mereka yang tidak diduga.



Salah seorang daripada mereka ialah 'rapper' yang dikenali dengan nama pentas Awkwafina yang kini bergelar pelakon. Bakat dengan nama sebenar Nora Lum, 31 tahun, kacukan Cina-Korea itu dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem Muzikal atau Komedi) hasil lakonan cemerlangnya dalam The Farewell arahan Lulu Wang.



Filem ini mendapat perhatian kritik dengan Awkwafina memainkan peranan utama sebagai penulis bernama Billi yang mengunjungi neneknya yang sakit di China.



Saingan beliau dalam kategori ini ialah Cate Blanchett (Where d' You Go, Bernadette), Emma Thompson (Late Night), Beanie Feldstein (Book Smart) dan Ana de Armas (Knives Out).



Dalam satu wawancara podcast The Big Ticket yang ditukil laman Variety, Awkwafina menjelaskan beliau sebenarnya tidak tahu cita-citanya ketika meniti usia remaja di New York.



"Saya sebenarnya jenis yang mudah resah. Saya ingat perasaan serba tidak tahu tentang apa yang saya ingin lakukan apabila dewasa. Saya bukannya pandai sangat untuk bergelar angkasawan atau mengecapi cita-cita sebagai doktor atau peguam seperti ramai kanak-kanak lain. Saya cuma ingin pastikan apabila saya dewasa, saya O.K. dan tidak menyusahkan orang lain," katanya dengan bersahaja.



SUKA BERGURAU



Beliau kemudian menyedari bakat terpendamnya adalah berlawak. Dirinya sendiri tidak tahu bagaimana humor menjadi basahan hidupnya selepas ibunya meninggal dunia ketika usianya empat tahun.



"Saya memang suka bergurau dan buat orang lain ketawa. Saya adalah 'badut' dalam bilik darjah. Saya tak malu. Saya buat apa sahaja agar orang lain tertawa," katanya.



Awkwafina bermula sebagai 'rapper' pada 2012. Beliau kemudian muncul dalam filem Ocean's 8, Crazy Rich Asians dan The Farewell.



Kalau beliau memenangi Anugerah Golden Globes lusa, beliau adalah bakat Asia pertama yang menetap di Amerika dan dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Filem Muzikal atau Komedi).



Awkwafina malah rasa bertuah sebab memiliki rancangannya sendiri, Awkwafina Is Nora From Queens, yang disiarkan di Comedy Central. Beliau juga bakal muncul dalam filem Marvel, Shang-Chi and the Legend of the Ten Rings.



Ditanya tentang pencalonannya bagi Anugerah Golden Globes itu, beliau berkata:



"Saya masih dalam mimpi. Tak tahu apa yang saya rasakan tentang kejayaan. Saya gembira apabila ditawarkan menjayakan Ocean's 8 dahulu. Cuma kerana saya terlalu sibuk setiap hari, saya tak ingat bagaimana segalanya bermula dan kadangkala saya tertanya-tanya, 'Apa saya buat di Hollywood? Bolehkah saya penuhi jangkaan ramai?"



Menurutnya, beliau kadangkala mengalami emosi ganjil yang membenci dirinya sedikit.



"Namun, apabila saya tidak puas hati dengan kebolehan saya dan terasa masih banyak lagi untuk dicapai, itu bererti saya tidak mudah besar kepala. Saya tak nak terlalu yakin saya akan menang! Lagi pun, kejayaan saya ini adalah kerana filem The Farewell itu mempunyai jalan cerita yang hebat," jelasnya.



Dalam pada itu, pelakon cilik, Roman Griffin Davis, 12 tahun, bagaikan terkejut apabila diberitahu dia menerima pencalonan Anugerah Golden Globe bagi Pelakon Lelaki Terbaik (Filem Muzikal Atau Komedi) bagi peranan sulungnya dalam filem satira antikebencian Jojo Rabbit.



Laman Deadline melaporkan bahawa Davis adalah antara pelakon lelaki paling muda yang dicalonkan The Hollywood Foreign Press Association dalam sejarah Golden Globes.



Saingannya pula bukan calang-calang. Mereka terdiri daripada pelakon hebat, Daniel Craig (Knives Out), Leonardo DiCaprio (Once Upon A Time... In Hollywood), Taron Egerton (Rocketman) dan Eddie Murphy (Dolemite Is My Name).



Dalam Jojo Rabbit yang berlatarbelakangkan Perang Dunia Kedua dan bersandarkan buku tulisan Christine Leunens, Davis adalah Jojo Betzler, anggota kumpulan belia Hitler yang marahkan ibunya kerana menyembunyikan gadis Yahudi di bumbung rumah mereka. Watak Jojo ini selalu 'ditemani' rakan dalam angan-angannya iaitu pemimpin kuku besi Adolf Hitler.



ANAK SENI PERFILEMAN



Davis adalah anak pakar seni perfileman Ben Davis dan penulis serta pengarah Camille Griffin.



Sejak kecil lagi, dia tahu lakonan akan menjadi kerjayanya sepanjang hayat.



"Di rumah semua orang berbual tentang filem dan pawagam. Kami mempunyai bahasa atau budaya filem yang dicorak bersama.



"Apabila saya ke set penggambaran ayah dan lihat caranya merakam filem, saya terasa seperti set itu adalah rumah saya.



MATANG



"Saya juga sentiasa mengagumi industri filem dan menjunjung tinggi karyawan dalam bidang lakonan. Rasanya lakonan adalah kemahiran hebat yang wajar dipelajari," katanya.



Kematangannya juga menyerlah. Davis ingin menjayakan filem yang menitikberatkan jalan cerita dan pesanan penting buat masyarakat dunia.



"Saya terharu dicalonkan menerima Anugerah Golden Globes dengan filem bebas bakal dijayakan tahun depan.



"Impian saya dapat menyebar pengajaran kepada orang ramai menerusi filem. Saya ingin teroka seberapa banyak isu dalam filem.



"Inilah perkara paling bermakna dalam dunia pembikinan filem. Kalau kita boleh mengajak penonton belajar sesuatu daripada kerja seni, misi murni kita sudah dicapai," katanya.



Siaran langsung Anugerah Golden Globes disiarkan dari The Beverly Hilton, Beverly Hills, California.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >