Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Rindu peminat pada heroin Hindustan terubat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rindu peminat pada heroin Hindustan terubat

Rani Mukherjee bintangi filem Mardaani 2, hidup watak pegawai polis, Shivani Shivaji Roy, yang tegas dan berani
Jul 19, 2019 | 05:30 AM



SUATU ketika dahulu, pelakon jelita Bollywood, Rani Mukherjee tidak pernah membayangkan kerjaya dalam bidang lakonan walaupun dilahirkan dalam keluarga seni.



Namun, percubaan yang dianggap sekadar 'suka-suka' dalam menjayakan filem bapanya yang dirakam dalam bahasa Benggali, Biyer Phool, pada 1996, membuatnya terpaut pada kerjaya di layar perak.



Nama Rani, 41 tahun, kemudian disebut-sebut setelah beliau mencipta kejayaan komersial bagi filem Ghulam.



Namun, ramai yang mengingati anak pengarah Ram Mukherjee dan penyanyi latar Krishna Mukherjee ini sebagai gadis jelita Tina Khanna yang memikat hati Rahul (lakonan Shah Rukh Khan) dalam filem Kuch Kuch Hota Hai.



Biar wataknya seketika, namun impak lakonannya yang menguntum senyum manis penuh keikhlasan dan renungan mata sayu terpahat di minda ramai hingga ke hari ini.



Ramai yang merindukan Rani setelah empat tahun beliau menyepi daripada dunia filem setelah berumah tangga dengan pengarah filem 'pecah panggung', Aditya Chopra, 48 tahun.



Bagaimanapun, laman India Today melaporkan jelitawan ini kini lebih bersikap memilih dalam menjayakan projek seninya.



Keutamaan Rani adalah dalam menghidupkan filem dengan naskhah bernas dan membawa kesan buat masyarakat.



Tahun lalu, beliau kembali dengan semangat baru menerusi filem komedi, Hichki.



Lakonan bintang yang telah meraih tujuh Anugerah Filmfare bagi lakonan cemerlang sepanjang kerjaya lebih dua dekad itu dipuji pengkritik filem.



Beliau menjayakan watak wanita Naina dengan gangguan saraf yang dipanggil Sindrom Tourette. Selepas menjalani beberapa sesi wawancara dengan permohonannya ditolak, wanita ini kemudian diterima bertugas di sebuah sekolah elit.



Semangat wajanya membantu pelajar bermasalah di sekolah itu menyedari potensi sebenar mereka.



Ketika ditemui wartawan India Times, Rani, ibu seorang anak kecil, berkata:



"Saya sebenarnya terharu dan bersyukur filem Hichki ini mampu memenangi hati ramai di India, China dan merata dunia.



"Justeru itu, saya kini lebih memilih naskhah filem yang dekat di hati saya sebagai seorang pelakon yang ingin menyumbang pada kesedaran masyarakat menerusi lakonannya."



Beliau juga berterima kasih malah rasa bertuah diberi peluang memilih skrip yang selari dengan prinsip hidupnya.



"Mungkin saya bernasib baik kerana dapat memilih skrip yang saya gemari di samping menjadi pilihan pengarah dan penulis yang yakini kebolehan saya dalam menghidupkan watak-watak yang mereka hasilkan.



"Skrip yang baik malah datang pada masa yang tepat. Saya benar-benar seronok menyampaikan segalanya kepada penonton kerana jika anda menghasilkan filem yang relevan dengan tuntutan masyarakat, itu bererti memang ia ditujukan buat umum menyelami dan menghadam maksud yang tersirat," cerita Rani lagi.



Beliau juga menitikberatkan pembaharuan yang cuba ditonjolkan dalam sesebuah filem dengan harapan isu yang diketengahkan dapat menjadi topik perbualan penonton selepas itu.



"Di dalam Hichki, anda tahu tentang tanda-tanda Sindrom Tourette yang tidak ramai ketahui di India.



"Dalam sebuah filem lagi yang saya pernah jayakan, Mardaani, kita dapat memupuk kesedaran ramai tentang kekejaman dan kesan jenayah penyeludupan kanak-kanak. Kita tidak melihatnya tetapi ia wujud dan menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.



"Filem susulannya, Mardaani 2 akan menjejak gejala yang mengejutkan dan benar-benar berlaku dalam kehidupan nyata. Saya tidak akan berkongsi teras filem ini buat masa ini tetapi nantikannya," katanya.



Ternyata Rani seronok kembali menyarung seragam pegawai polis bagi menghidupkan watak pegawai tegas dan berani, Shivani Shivaji Roy dalam Mardaani 2. Penggambaran di Rajasthan sudah tamat dan filem ini dijadualkan ditayangkan akhir tahun ini.



Hichki pula memenangi beberapa anugerah terbilang di beberapa pesta filem antarabangsa dan turut terpilih bagi tayangan di Pesta Filem Kanak-Kanak Antarabangsa Giffoni di Italy mulai hari ini hingga 27 Julai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >