Subuh
5:46
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:28
Maghrib
7:14
Isyak
8:25

Rumah Minang kini lebih besar

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Rencana
33
0

Rumah Minang kini lebih besar

Perniagaan diperkukuh, buka cawangan di Our Tampines Hub
Dec 10, 2017 | 05:30 AM

MENERAPKAN sains dan pengetahuan ke dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) milik keluarga.

Ini bagi memastikan perniagaan keluarga Encik Mohd Ariff Mohd Zin dapat terus bersaing dalam suasana ekonomi yang mencabar hari ini.

Encik Mohd Ariff, 28 tahun, merupakan generasi ketiga perniagaan restoran Rumah Minang yang dimulakan pada 1954.

Sejak beliau menimba ilmu selama dua tahun di Institut Kulinari Amerika dan meraih ijazah Sarjana Muda dalam Kulinari Halus, Encik Mohd Ariff bersama keluarganya memainkan peranan penting dalam mengembangkan perniagaan milik keluarga itu.

"Apa yang saya pelajari bukan sekadar mengenai memasak, malah mengenai pengurusan perniagaan termasuk sumber tenaga kerja, pengurusan syarikat, perakaunan, ekonomi dan pemasaran selain sains makanan dan pengetahuan produk.

"Alhamdulillah semua pengetahuan itu mula saya terapkan dengan perlahan dalam usaha sama-sama mengembangkan perniagaan keluarga kami ini," katanya yang bertindak selaku ketua cef.

Sejak menamatkan pengajiannya itu tahun lalu, Encik Mohd Ariff telah sama-sama terlibat dalam langkah menukar jenama, atau rebranding, dan pemasaran selain memperkenal konsep kos pemakanan dalam perniagaannya itu.

Beliau turut membantu mengasingkan tugasan antara adik-beradiknya, selain membantu melancarkan langkah restoran itu melebarkan sayap ke sebuah cawangan baru di Our Tampines Hub (OTH).

Selain beliau, yang bertanggungjawab ke atas bahan dan barangan masakan, abangnya, Encik Mohd Hazmi, 34 tahun, bertindak selaku ketua pengendalian harian.

Kakaknya, Cik Nur Syahida, 31 tahun, pula menguruskan penjualan dan isu kewangan, sementara adik lelakinya, Encik Mohd Nazri, 27 tahun, bertanggungjawab menguruskan segmen katering.

Encik Mohd Ariff mempunyai seorang lagi adik, Cik Nur Atikah, 20 tahun, yang masih menuntut dalam jurusan Sains Farmaseutikal tahun ketiga di Politeknik Temasek (TP) dan menawarkan khidmatnya setiap hujung minggu atau semasa ada kelapangan di restoran itu.

Ibunya, Cik Zulbaidah Marlian, 58 tahun, yang juga pengarah syarikat itu bersama bapanya, Encik Mohd Zin Haron, 61 tahun, bertindak 'mengawal mutu' lauk-pauk yang dimasak.

"Sebelum ini, banyak kali juga arahan berbeza disampaikan kepada pekerja.

"Kini, dengan adanya penugasan kerja, kami masing-masing tahu apa yang perlu kami lakukan.

"Pastinya kini pengendalian syarikat kami lebih lancar," katanya lagi.

Sejak dahulu lagi, Rumah Minang menjual sajian Minangkabau seperti nasi padang dan yang paling popular pastinya rendang daging.

Selain di Kandahar Street, cawangan barunya dibuka di bangunan OTH pada 17 Julai lalu.

Dengan ruang yang boleh menempatkan sekitar 40 pelanggan pada satu-satu masa, restoran di OTH itu begitu popular sekali pada waktu makan tengah hari.

Restoran yang turut menjual kuih-muih tradisional itu dibuka dari 10 pagi hingga sekitar 8.30 malam.

Ternyata barisan pelanggan yang sanggup beratur membuktikan bahawa lauk-pauk yang dijual di situ mendapat respons baik pelanggan.

Sedang mereka beratur, Cik Zulbaidah melayan tetamu dengan begitu mesra sekali.

"Seperti adat Melayu, tetamu perlu diberi layanan.

"Sebab itulah saya kelihatan macam 'mak pengantin' apabila ramai pelanggan di restoran kami," kata Cik Zulbaidah yang mempunyai sembilan cucu.


"Apa yang saya pelajari bukan sekadar mengenai memasak, malah mengenai pengurusan perniagaan termasuk sumber tenaga kerja, pengurusan syarikat, perakaunan, ekonomi dan pemasaran selain sains makanan dan pengetahuan produk."
- Encik Mohd Ariff Mohd Zin, lulusan Sarjana Muda dalam Kulinari Halus.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3