Sanisah Huri, Yusnor ukir 'asmara' di Malam Sastera

PEMENTASAN 'Malam Sastera: Asmara Dalam Lagu' bakal menyaksikan biduanita Sanisah Huri mendendangkan 12 lagu popular pelbagai irama yang menyusur perjalanan seninya selama 50 tahun.

Sewaktu pertemuan di pejabat Berita Harian kelmarin, biduanita yang tidak lekang dengan senyuman itu menyatakan keutamaannya ialah memastikan penonton terhibur oleh persembahannya.

"Saya akan menghiburkan penonton dan peminat bukan dengan menyanyikan lagu sahaja, malah berkongsi kisah menarik di sebalik lagu dan pengalaman bermakna sepanjang perjalanan seni saya," katanya.

Malah, beliau benar-benar meneliti setiap lagu yang bakal dinyanyikan pada 5 November di Auditorium Ngee Ann Kongsi di National Gallery Singapore - dahulunya bangunan Dewan Bandar Raya, yang menempatkan Mahkamah Tinggi.

Bangunan yang menghadap Padang itu tidak jauh dari stesen MRT City Hall, menggunakan pintu keluar 'B' bersebelahan Gereja St Andrew's Cathedral.

Malam Sastera juga menempa sejarah tersendiri kerana ia acara julung-julung kali di mana biduanita bersuara lunak ini tampil bernyanyi secara solo tanpa diiringi penyanyi lain.

Persembahan eksklusif secara langsung selama satu setengah jam itu bukan saja mengetengahkan lagu popular yang menjadi trademark Sanisah, bahkan lebih hebat lagi, penonton dapat menikmati lagu-lagu malar segar beliau - yang ada antaranya telah dinyanyikan dan dirakamkan semula penyanyi popular hari ini.

Antara lagu pilihannya ialah yang berirama ago-go, cha-cha, joget dan sentimental.

Kesemua lagu itu akan didendang secara live dengan iringan kumpulan tujuh pemuzik berpengalaman.

Persembahan ini turut menampilkan penulis seni kata dan penggubah lagu mapan, Yusnor Ef - antara individu yang berperanan penting dalam mengharumkan nama Sanisah Huri.

Kehadiran Yusnor, yang dipanggil ramai sebagai 'Cikgu', akan menjadikan acara ini unik kerana mereka bersama-sama saling mengukir 'asmara' dalam lagu.

"Ramai bertanya kepada saya tentang kegemilangan dunia hiburan tahun 1960-an, 1970-an dan 1980-an masa Sanisah, jadi kali ini saya akan ceritalah," kata Cikgu Yusnor.

Ditanya apakah lagu yang bakal didendangkan pada malam itu, kedua-dua mereka dengan senyuman penuh makna memberikan jawapan serupa: "Biarlah rahsia."

Acara yang dianjurkan secara bersama oleh Berita Harian dan Majlis Seni Kebangsaan dengan sokongan Perkamus ini diadakan sempena meraikan Pesta Penulis Singapura dan ulang tahun ke-60 akhbar ini.

Tiket-tiket berharga $80 tiap satu boleh dibeli menerusi talian hotline Sistic di 6348-5555 atau menerusi tempahan di laman https://www.sistic.com.sg/events/cswf2017y

Potongan harga atau diskaun 20 peratus diberikan untuk mereka yang berusia 55 tahun ke atas dan anggota sepenuh masa Perkhidmatan Negara (NS).

Selain itu, pembelian sekurang-kurangnya empat tiket akan menikmati potongan harga 20 peratus.

Bagi pembelian 10 tiket ke atas pula akan dapat menikmati diskaun 30 peratus.

Tiket bagi acara Singapore Writers Festival 2017 - SWF STAGE: Malam Sastera IV: The Icons of Music ini juga boleh didapatkan di kaunter-kaunter Sistic di pusat beli belah serata negara termasuk di Bedok Mall, Bukit Panjang Plaza, Esplanade, Hougang Mall, JEM, JCube, Nex, Tampines Mall, Tiong Bahru Plaza, Westgate dan White Sands.