Santapan musim perayaan, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Gaya Hidup0

PESTA RAYA 2019

Santapan musim perayaan

May 02, 2019 | 05:30 AM

SABAN tahun, ramai yang menantikan Pesta Raya - Pesta Seni Melayu di Esplanade menyemarakkan lagi sambutan Lebaran.

Ia bak acara wajib bagi sebilangan pengamat seni yang menganggap pesta tahunan yang masuk edisi ke-18 itu sebagai ruang meraikan ikon dan khazanah warisan Melayu di Nusantara.

Sesetengahnya pula merupakan penonton bukan Melayu yang mahu menghayati persembahan menghiburkan tanpa membiarkan sempadan bahasa dan budaya menghalang mereka.

Sebahagiannya pula adalah penonton di luar Singapura, misalnya dari Malaysia, Indonesia dan Brunei yang ingin menyaksikan artis kegemaran mereka berkonsert.

Pesta Raya yang ditaja Singapore Press Holdings (SPH) dan siri SPH Gift of Music itu berlangsung selama empat hari antara 27 dengan 30 Jun ini.

Discover Malay Home Based Businesses

Tiket sudah mula dijual di laman, kaunter dan talian Sistic sejak kelmarin.

Dalam pertemuan di pejabat Berita Harian baru-baru ini, pengatur program di Esplanade, Cik Hanie Nadia Hamzah, berkata:

"Kami cuba memahami cita rasa meluas penonton pesta ini dan memastikan agar acara kami tidak meniru persembahan lain yang disajikan penganjur acara Lebaran di serata Singapura.

"Harapan kami tiada juga persembahan tarian, muzik atau teater di luar sana tampak persis apa yang kami sajikan.

"Kerana itu, perancangan bagi pesta ini makan masa. Kami menyedari penonton Singapura yang tahu apa yang mereka mahu agak memilih dan mengutamakan mutu sajian hiburan mereka.

"Sedang kami fahami kecenderungan mereka, kami juga enggan memberi apa sahaja yang mereka sedia maklum dalam zon selesa mereka.

"Kami akur beberapa acara unik dengan nilai-nilai seni tersendiri dari kawasan Nusantara perlu diberi pendedahan buat penonton setempat."

Justeru itu, seperti tahun-tahun sudah, Esplanade mengenalkan sesuatu yang baru buat tatapan semua.

Risiko diambil bagi menghidangkan karya filem bisu dengan iringan muzik gamelan dan orkestra secara langsung, dua tahun lalu. Penerbitan hasil kerjasama karyawan Indonesia, Singapura dan Australia itu diberi nama Setan Jawa.

"Ternyata, acara ini mendapat sambutan daripada mereka yang dambakan kelainan termasuk dalam kalangan pencinta budaya daripada rumpun bukan Melayu," tambah Cik Hanie lagi.

Jika ditanya lima daya tarikan Pesta Raya tahun ini, berikut adalah pandangan penulis.

#1: Pementasan kisah epik karya anak Singapura

Kebiasaannya, pementasan teater di Studio Teater Esplanade membuka tirai acara berbayar dalam Pesta Raya.

Namun tahun ini, sebagai satu kelainan, persembahan alat genderang Melayu, silat, tarian, sajak dan lagu disatukan kumpulan NADI Singapura bagi acara hari ketiga Pesta Raya. Kisah epik tentang ujian dan pembalasan disajikan.

Pementasan Fatih - The Prince & The Drum yang dikomisyen Esplanade itu diarah sutradara mapan Indonesia, Garin Nugroho.

Dengan naskhah tulisan Zulfadli Rashid, ia mengisahkan tentang Putera Fatih dari Kerajaan Sritanmira yang merentasi perjalanan dalam mencari dirinya sendiri.

Dalam kehilangan dan terasa dirinya dikhianati, Fatih diselamatkan curahan kasih sayang ibu bapanya. Perjalanannya penuh pengorbanan dan jerih payah.

Namun, kisah silamnya yang hilang menjanjikan ketenangan dan kejayaan buatnya.

Kata Cik Hanie:

"Pementasan ini makan masa untuk dirancang dan direalisasikan. Kami mengambil masa dua hingga tiga tahun bagi benar- benar bersedia mementaskannya secara gah di Teater Esplanade.

"Biasanya ruang teater besar itu digunakan bagi pementasan muzikal berskala besar seperti Puteri Gunung Ledang dari seberang Tambak.

"Kini, kami berbesar hati dapat menggabungkan pasukan kreatif dari Singapura, Indonesia dan Thailand."

Fatih - The Prince & The Drum yang dipentaskan pada 8 malam, 29 Jun ini dijayakan NADI Singapura, Riduan Zalani, Nizar Fauzie, Rizman Putra, Izzathy Halil, Norhisham Osman dan Wirastuti Susilaningtyas (Indonesia).

#2: Kerja Seni Sekeluarga

Semangat kekeluargaan begitu ketara dalam beberapa persembahan Pesta Raya.

Jika beberapa anggota NADI Singapura mempunyai pertalian keluarga, dua karyawan Indonesia juga berpeluang menjayakan pesta kali ini dengan anak masing- masing.

Garin, 57 tahun, pengarah filem Daun Di Atas Bantal, diamanahkan mengarah Fatih - The Prince & The Drum manakala anaknya, Kamila Andini, 32 tahun, pula dilibatkan sebagai pengarah pementasan teater The Seen and Unseen yang juga dikomisyen bersama Esplanade dan pesta seni pementasan, Asia-Pacific Triennial of Performing Arts (TOPA), yang berpangkalan di Australia.

The Seen and Unseen tentang sepasang kembar, Tantri dan Tantra, yang mengenali erti harapan dan kehilangan, dipadankan daripada filem Kamila dengan tajuk serupa.

Ia dipentaskan di Studio Teater Esplanade pada 28 dan 29 Jun ini.

Diva Indonesia, Hetty Koes Endang, 61 tahun, juga akan menggegarkan Dewan Konsert Esplanade pada 28 Jun ini. Beliau akan mendendangkan lagu-lagu malar segarnya seperti Jodoh dan Kasih. Anaknya, Afifah Qamariah, 20 tahun, juga akan menyertainya dalam konsert ini.

#3: Kembali ke persada nyanyian

Peminat duo SleeQ pastinya menanti- nantikan salah seorang anggotanya, Syarif, 29 tahun, kembali menyanyi semula.

Sebagai menanti kelahiran album solonya kelak, Syarif akan tampil dalam persembahan Syarif - Dan Seterusnya di Studio Annexe Esplanade pada 28 Jun ini. Beliau bekerjasama dengan bekas penyanyi utama Urban Xchange, Trisno Ishak, bagi ‘kelahiran semulanya’ dalam persada nyanyian.

Band ‘indie’ Indonesia legenda Padi juga akan membuat persembahan bersama band ‘indie’ Malaysia Hujan di Dewan Konsert Esplanade pada 30 Jun ini.

Mereka kini dikenali sebagai Padi Reborn, satu isyarat kembalinya mereka ke industri muzik dengan semangat baru.

#4: Budak Baru Nak Up (BBNU) di Singapura

Dalam era media sosial ini, kumpulan penyanyi muda dari Malaysia ini mempunyai lautan peminat mereka sendiri.

Penyanyi dari peraduan realiti Big Stage, Andi Bernadee, 27 tahun, yang popular dengan lagu Melayu dengan rentak Latin, Donde, akan membuat persembahan di ruang legar Esplanade pada 7.30 malam, 29 Jun ini. Beliau akan ditemani tiga lagi penyanyi muda, Amir Hassan, Kuchai Mars dan Bunga.

#5: Hirup udara malar segar

Jika tahun lalu, Studio Annexe Esplanade bersemarak dengan persembahan lagu klasik Melayu dan Inggeris daripada kumpulan Tarakucha!, peluang bagi anda berjoget disediakan kumpulan The Jazz Djogets.

Pada 10.30 malam, 28 Jun ini, kumpulan seramai tujuh orang dengan vokalis Rudy Djoe dan Namie Rasman akan mendendangkan lagu Melayu, Indonesia, Inggeris, Brazil dan Jepun malar segar.


"Setiap acara dalam Pesta Raya ini memenuhi keperluan penonton daripada pelbagai lapisan usia, latar belakang dan kecenderungan.
"Kami peka tentang kerencaman yang ditawarkan buat penonton kanak-kanak, generasi anak muda yang terdedah pada muzik ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) mahupun golongan veteran.
"Dalam memastikan kesinambungan budaya, kami berharap acara Pesta Raya akan terus menarik golongan yang rasa terinspirasi daripada hasil warisan seni Melayu termasuk mereka yang bukan Melayu.
"Kepekaan terhadap warisan seni inilah yang membuatkan kami ingin terus menyajikan persembahan seni yang dapat menekankan perihal identiti, takrifan tentang budaya serta kepekaan orang kita terhadap khazanah budaya agar ia tidak pupus ditelan zaman."

- Pengatur program Esplanade, Cik Hanie Nadia Hamzah.


JUALAN TIKET

Tiket-tiket bagi acara berikut boleh ditempah menerusi laman, talian dan kaunter Sistic.

* Fatih - The Prince & The Drum
Butiran: 29 Jun, 8 malam di Teater Esplanade
Tiket: $25, $40, $55 dan $70

* Hetty Koes Endang
Butiran: 28 Jun, 8 malam di Dewan Konsert Esplanade
Tiket: $45, $65, $85 dan $110 (bertemu Hetty dan mendapat poster yang ditandatangani)

* Hujan x Padi Reborn
Butiran: 30 Jun, 8 malam di Dewan Konsert Esplanade
Tiket: $55, $80 dan $110 (bertemu dua band ‘indie’ ini dan poster yang ditandatangani)

* The Seen and Unseen
Butiran: 28 Jun (8 malam) dan 29 Jun (3 petang dan 8 malam)
Tiket: $35

* Kunto Aji - Mantra Mantra Live
Butiran: 27 Jun, 8 malam di Studio Annexe Esplanade
Tiket: $30

* Syarif - Dan Seterusnya
Butiran: 28 Jun, 8 malam di Studio Annexe Esplanade
Tiket: $27

* The Jazz Djogets Show - Singapura Boleh Djoget!
Butiran: 28 Jun, 10.30 malam di Studio Annexe Esplanade
Tiket: $27

* Akeem Jahat & The Mobbin Hoodies
Butiran: 29 Jun, 10 malam di Studio Annexe Esplanade
Tiket: $27

* Teroka! Kerana Nila (Teater Kanak-Kanak)
Butiran: 28 Jun (11 pagi) dan 29 Jun (4 petang) di Studio Resital Esplanade
Tiket: $20

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Perkataan Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map