Selebriti M’sia Nelissa Nezam belum buat keputusan tentang suami

KUALA LUMPUR - Belum mencapai kata putus berhubung status rumahtangga dibina bersama aktor, Ammar Alfian, Nelissa Nezam menjelaskan masing-masing kini memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak mereka, Kyro Shakur.

Nelissa memberitahu BH Online, beliau tidak mempunyai jawapan berhubung hala tuju perkahwinannya selepas mendakwa suami berlaku curang ketika dirinya sedang sarat hamil.

Menjadikan media sosial sebagai medan untuk berkongsi luahan emosi, Nelissa mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung perkara itu.

“Perkara yang berlaku antara saya dan Ammar bukan lagi rahsia, namun buat masa ini kami belum membuat sebarang keputusan berhubung hala tuju rumah tangga. 

“Saya ingin meneruskan kehidupan, namun berbeza pula dengan Ammar yang mahukan sesuatu berbeza. Apabila tiba masanya nanti, kami pasti akan kongsikan kepada umum berhubung keputusan yang diambil.

“Isu timbul ketika saya sedang hamil enam bulan dan kami perlu menunggu sehingga saya selamat melahirkan. Fokus ketika ini pula adalah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak kami yang masih kecil (sebulan setengah).

“Menjadikan media sosial sebagai medium untuk berkongsi rasa, saya menerima banyak maklum balas daripada wanita yang berdepan masalah sama. 

“Saya tidak mahu golongan wanita takut atau malu apabila dianiaya, sebaliknya mereka perlu bangkit bagi mempertahankan hak. Perkara begini sukar dijangka, dan saya sendiri tidak menduga berdepan dengan situasi sedemikian,” kata Nelissa.

Mei lalu, Nelissa mendedahkan perbualannya dengan Ammar menerusi WhatsApp di Instagram Story yang mendakwa pelakon sasa itu berlaku curang terhadapnya.

Menurut Nelissa, keluarga dan rakan antara individu yang sentiasa memberikan kata-kata semangat supaya dia kuat menghadapi dugaan. -Agensi berita.